Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.

Wednesday, June 25, 2008

Caj PTPTN Dirangka Ikut Syara'


Akhbar Berita Harian bertarikh hari ini, melaporkan bahawa pihak pengurusan PTPTN akan mengenakan caj PTPTN mengikut hukum syara' seperti yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Walau bagaimanapun malangnya perkara ini masih dalam pertimbangan dan tiada keputusan tetap yang diumumkan berkaitan perkara ini. Seharus dan semestinya perkara ini perlu dilaksanakan sejak dahulu lagi, kerana ini melibatkan soal agama yang sudah termaktub secara jelas dalam al-Quran. Riba' walaupun telah ditukar kepada apa jua nama baru tetap haram. berkesempatan bertemu Mufti Perlis baru-baru ini, beliau amat membantah dengan kadar caj perkhidmatan 3% yang dikenakan pihak PTPTN kepada peminjamnya. Begitu juga yang ditegaskan oleh Ust Zaharudin Abd Rahman dalam kuliahnya di Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya dalam satu majlis ilmu anjuran Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya (PMIUM) pada tahun lepas.

Sebenarnya isu caj perkhidmatan PTPTN ini telah lama dikaji oleh mahasiswa sendiri sama ada dilihat dari perspektif agama mahu pun kebajikan mahasiswa itu sendiri. Namun, segala usaha selama ini dipandang enteng oleh pihak PTPTN sehinggalah pada hari ini pihak Majlis Fatwa Kebangsaan menggesa pengurusan PTPTN untuk menukar caj perkhidmatan 3% kepada caj yang berlandaskan syara' iaitu menyebut secara jelas caj pengurusan dan pentadbiran yang terpaksa ditanggung oleh pihak PTPTN.

Semoga langkah yang bakal diambil oleh pihak PTPTN membuka mata kepada semua pihak bahawa pentingnya penerapan muamalah secara Islam diaplikasikan dalam kehidupan, bukan lagi sistem ekonomi yang berlandaskan kapitalis yang mana mengamalkan ekonomi bebas dengan maksud menghalalkan segala bentuk jual beli tanpa memandang sama ada berlaku riba', penipuan atau sebagainya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...