Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.

Tuesday, December 30, 2008

Intifada Tahun Baru Bermula

Salam Ma'al Hijrah buat sahabat-sahabat seperjuangan..1429H telah pun melabuhkan tirainya dengan pelbagai coretan cerita dan sejarah yang tersimpan kemas dalam poket ingatan kita. Pastinya segala cerita dan pengalaman lepas yang menarik mahupun perit menjadi pengajaran berharga untuk terus mengemudi pelayaran hidup di dunia yang fana ini dalam erti mencari keredhaan Ilahi.


Bandar Gaza selepas dibedil jet pejuang Israel

Ma'al Hijrah 1430 ini kita digemparkan dengan pencerobohan oleh Israel laknatullah secara zalim ke atas Gaza. Sehingga hari ini ratusan umat Islam yang terkorban, 21% yang terkorban dan cedera parah adalah di kalangan kanak-kanak manakala 14% adalah wanita. sebanyak 14 buah masjid juga musnah dengan serangan yang tidak berperikemanusiaan itu.

Isu berkaitan Palestin ini sudah hampir 60 tahun berlaku sehingga umat Islam yang lainnya seakan-akan lali dengan berita pengeboman dan serangan ini. Apakah kita juga sudah terkena bius tersebut? Apakah tiada rasa marah dengan tindakan Israel ini? Apakah tiada rasa simpati dan kasihan dalam diri kita melihat saudara seagama kita diperlakukan sedemikian?

Pemimpin negara-negara Islam yang punya kuasa, apakah cukup dengan hanya mengecam tindakan Israel tersebut semata-mata menjaga periuk nasi negara sendiri? Hari ini Israel, malah sejak dahulu lagi Israel bertindak zalim dan kejam ke atas umat Islam, dan pemimpin-pemimpin di negara-negara Islam bersidang dan hanya sekadar mengecam tindakan Israel tersebut tanpa ada tindakan yang teguh daripada umat Islam seluruhnya.

Maruah Islam dihinjak-hinjak tanpa rasa belas oleh Israel. Apa perasaan kita? Apa tindakan kita? Ya, kalau ratusan tahun dahulu Salahudin al-Ayubi menyatukan kembali amir-amir negara umat Islam, bersatu menentang tentera Salib dan akhirnya diberi kemenangan oleh Allah, apakah tidak akan berlaku pada masa sekarang?

Renunglah kembali, di mana peranan kita? Gerakan dakwah di Malaysia ini tidak diuji dengan serangan secara terang-terangan, sedang saudara seagama kita di Palestin diseru dengan jihad al-qithal. Janganlah kita sekali-kali terlena dengan kondisi sekarang, tapi tetaplah berazam untuk terus mara menegakkan agama Allah. Dua sahaja pilihan yang perlu ditanam dalam diri kita sama ada gugur sebagai syahid atau hidup dalam kemenangan Islam.

Sunday, December 21, 2008

Bila Terkena Batang Hidung Sendiri...




Bila penulis menyelak surat khabar di internet semalam dan hari ni, ada satu topik yang membuatkan penulis tergelak. Bukan cerita pasal perkahwinan Mawi dan Ekin, bukan juga pasal status janda Abby, tapi cerita pasal lirik lagu Dr Asri (Mantan Mufti Perlis) yang telah diharamkan oleh RTM.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Adilah Shek Omar, mengesahkan RTM mengharamkan penyiaran lagu Aku Bukan Musuh Harta. Sebabnya kerana lirik lagu itu dikatakan tidak sesuai dan kasar.

"Kita tidak luluskan lagu ini kerana liriknya kasar…"

Lagu itu merupakan satu daripada lapan lagu puisi Dr. Asri yang dimuatkan di dalam album ‘Yang Benar Tetap Benar’ nyanyian Kopratasa dan beberapa penyanyi lain.

Saraf-saraf di otak penulis berputar ligat. Apa sebenarnya lirik lagu tersebut yang dikatakan tidak sesuai dan keras? Penulis terus membaca…

Antara lirik yang penulis dipetik daripada akhbar tersebut…

Ya telah kaya para pendusta,

syarat mereka lupakan Yang Esa,

harta rakyat semua disebat,

harta awam semua dibekam,

hukum syaitan mereka bertuhan..

Jika lirik tersebut menyelewengkan aqidah atau ada unsur-unsur yang tidak sepatutnya penulis bersetuju diharamkan. Penulis masih bingung, apakah kerana liriknya terkena batang hidung orang yang mengharamkan atau menjaga kepentingan orang di sekilingnya? Memang jika dicermati lirik lagu ini bersifat telus sebab penggunaan bahasanya bukanlah berbunga-bunga atau menggunakan kaedah bahasa yang sastera, tapi isinya jelas berkaitan gejala rasuah yang melanda masyarakat kita hari ini. Dalam masa sekarang pun kerajaan memang sedang berusaha ke arah itu seperti yang diuar-uarkan (wallahu ‘alam).

Penulis terus berfikir, apakah yang sedang melanda masyarakat hari ini? Buat penggerak dakwah Islam, teruslah berdakwah moga nur Islam menyinari bumi ini..

Friday, December 12, 2008

Inzar di Eid Adha

Eid adha yang disambut pada kali ini memperlihatkan kepada kita beberapa kebesaran Allah yang maha hebat..Jika 26 Disember dahulu kita digemparkan dengan tsunami, namun Disember pada kali ini Allah memperlihatkan kekuasaan-Nya dengan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan di Selangor. Bermula dengan tanah runtuh di Hulu Yam yang mengorbankan 2orang adik-beradik, diikuti dengan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang merupakan kediaman golongan-golongan elit.

Dalam kejadian terbaru di Bukit Antarabangsa ini 4 orang telah disahkan terkorban manakala seorang lagi mangsa dipercayai masih hilang. 14 buah banglo di Taman Mewah dan Taman Bukit Utama juga habis tertimbus.

Antara rumah yang terkorban

Inilah satu lagi bencana alam yang Allah turunkan kepada kita sebagai inzar dan peringatan buat kita. Jika peringatan pertama telah Allah berikan dengan runtuhnya Highland Towers pada 11 Disember 1993, namun tangan-tangan manusia ini masih rakus menggondolkan gunung-ganang dan bukit-bukau yang menjadi pasak bumi ini. Nah! Allah beri isyarat kedua kepada kita supaya kita berfikir yang sedar akan kesilapan kita.

"Dia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu dan Dia biakkan padanya berbagai jenis binatang; dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat"
Surah Luqman: ayat 10


Saban hari ana menatap wajah-wajah hiba di kaca televisyen kerana terkorbannya nyawa dan harta benda. "Ini mesti ada yang tak bayar zakat..." seorang saudara ana memberi komen bila mana melihat kejadian di kaca televisyen.

"Biarlah golongan elit ni tau pula penderitaan orang-orang miskin..selalu hidup senang..biar diorang rasa pula apa yang orang miskin rasa..." seorang lagi menambah.

Ana yang berada di situ hanya mendengar pandangan mereka. Ada benarnya..Mungkin juga ini adalah salah satu pembersihan harta oleh Allah untuk orang yang tidak membayar zakat atau dosa-dosa yang terpalit pada harta benda mereka.

Ana agak terkilan bila beberapa orang menteri ada mengeluarkan kenyataan.."Jika ini adalah kesilapan manusia kenapa ia tidak terjadi 15 tahun dahulu.." Kenyataan ini seolah-olah menyalahkan Allah yang menurunkan bencana alam kepada masyarakat Malaysia pada hari ini.

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
Surah al-Ahzab:72

Orang-orang yang beriman akan melihat bencana alam ini sebagai bukti kekuasaan Allah serta peringatan untuk diambil pengajaran oleh manusia agar tangan-tangan manusia ini tidak rakus merosakkan bumi ini kerana halobanya pada nikmat dunia. Fikir dan nilailah sebagai seorang yang beraqidah dengan Allah, serta pandanglah setiap sesuatu itu dengan teliti agar kita tidak terpesong dari jalan yang benar.

Dalam mentadbir bumi ini kita sebagai khalifah yang ditaklifkan oleh Allah perlu mengimarahkan bumi ini dengan sebaik-baiknya agar dapat memberi manfaat kepada manusia dan hidupan lainnya.

Patri Istana Kasih Hingga ke Puncak

(Tazkirah untuk mereka yang sudah ke gerbang perkahwinan)

Hujung tahun ini nampaknya ramai dianugerahkan oleh Allah kelapangan dan rahmat-Nya untuk membina istana kasih (perkahwinan). Ramai sahabat dan orang-orang terdekat dengan ana sudah pun merintis sunnah Rasulullah itu.

Pertamanya buat akak ana sendiri...
Ana ucapkan jutaan tahniah! Ana mendoakan semoga pernikahan ini membawa nur Islam dan mendapat limpah rahmat serta kasih sayang daripada Allah. Semoga pernikahan ini membawa sakinah, rahmah dan mawaddah dalam mencari cinta Ilahi.


Foto yang sempat ana adobe buat akak ana (baru trial & error)


Buat sahabat ana Fatin dan Haafizuddin...
alfu mabruk! Moga pernikahan antum membawa sinar dan gerakan dakwah jua membina generasi dakwah. Semoga dilimpahi rahmat serta kasih sayang-Nya dalam meneruskan gerak kerja Islam, insyaAllah...


Kenangan sahabat-sahabat muslimat di walimah Fatin & Haafizuddin 29 Nov lalu

Buat junior ana (Hidayah) dan senior ana (Ust Hisom, Ust Hafiz Habil, Kak Shahidra dll) yang bakal melangsungkan pernikahan juga ana ucapkan tahniah semoga dipermudahkan oleh Allah dalam membina bait muslim ini. Mudah-mudahan segalanya mendapat redha Allah...



Istana kasih bukan Tembok Pemisah

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir"
Surah ar-Rum: ayat 21


Allah memberi anugerah perkahwinan kepada manusia agar manusia ini mendapat rahmat dan menyempurnakan fitrah hidupnya. Namun, kadang-kadang perkahwinan itu hanya dipandang terlalu kecil dengan membayangkan hanya cukup sekadar hidup suami isteri, anak-anak tanpa melihat keluarga sebagai nukleus untuk membentuk masyarakat muslim. Janganlah sekali-kali menjadikan perkahwinan itu sebagai tembok besar untuk orang Islam hari ini meneruskan gerak kerja dakwah Islam. Jangan terlalu cepat menikmati kehijauan pohon perkahwinan sehingga lupa membantu menebas lalang dan semak disekelilingnya, seterusnya memperbanyak pohon hijau itu menjadi ladang Islam yang besar untuk dipetik hasilnya sebagai mujtama' muslim. Menundukkan atau mematikan kemungkaran dalam masyarakat yang berada dalam biah jahiliyyah ini. Pandulah bahtera kasih itu menuju destinasi cinta yang hakiki, moga-moga senantiasa membuahkan keredhaan-Nya.

Allah turut berfirman dalam al-Quran:

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
Surah at-Taubah: ayat 24


Kasih Hingga ke Puncak

Lihatlah perkahwinan itu adalah satu anugerah yang Allah berikan kepada hamba-Nya untuk kita sama-sama berfikir. Pandanglah perkahwinan itu sebagai satu rahmat daripada Allah untuk hamba-Nya. Rahmat untuk menguatkan umat Islam hari ini dengan Islam. Perkahwinan yang menyulam kasih sayang hingga ke puncak cinta agung Ilahi dan redha-Nya insyaAllah..

Wednesday, November 26, 2008

Satu Falsafah Kehidupan


Dengan perjuangan kita dilahirkan....

Di dalam gerak tangis kita mulai membuka mata,
Di dalam bedungan ibu
kita menggerakkan badan
melepaskan ikatan bedung,
Lepas dari asuhan ibu kita merangkak,
kita angsur tegak dan kita jatuh,
lalu kita tegak lagi dan jatuh lagi.
kemudian tegak untuk pergi berjuang
ke medan permainan,
lalu ke medan hidup,
lalu ke medan perjuangan dalam batin kita sendiri,
menegak yang baik dan melawan yang buruk.
Selama hidup kita kerjakan demikian,
menjalankan titah perintah Tuhan Yang Maha Esa.
Berapa pun yang dapat kita kerjakan,
harus kita syukuri.

Setiap hari dan masa kita
hitunglah laba dan rugi,
Sampai kelak datang panggilan,
Panggilan yang tidak dapat ditakkhirkan
walau satu saat dan
tidak dapat ditaqdimkan
walaupun satu saat
Panggilan yang tidak dapat dielakkan
oleh setiap yang bernyawa.

Maka terbukalah pintu kubur,
Maknanya pindahlah kita
dari hidup fana kepada hidup baqa
dari hidup dunia kepada hidup akhirat
Demikianlah kita menempuh hidup,
lahir; berjuang dan akhirnya mati.

Betapa juapun kita harus percaya
bahawa kebaikan juga yang menang
Sebab asal usul kejahatan kita bukan jahat
hanya baik semata.
Kalau kejahatan pernah menang
hanyalah lantaran dorongan nafsu
Bila nafsu telah reda
kebaikan jualah yang kita junjung.

Sebab itu hendaklah kita percaya penuh dengan iman
dan baik sangka kepada Tuhan
Itulah FALSAFAH HIDUP...

(dipetik dari rumusan buku, Falsafah Hidup, karangan Prof. Hamka)

Wednesday, November 19, 2008

Adakah Anda Intelektual Muslim?


Ana mencapai laptop pagi ni, sementara menanti kehadiran sahabat ana untuk ke Lakium. Hari ni masuk hari kedua program Lakium. Memang agak terlewat untuk ke sana tetapi tanggungjawab dan rasa semangat untuk melihat peserta dan perjalanan program membuatkan ana terpanggil untuk pergi lebih awal pagi ini. Namun apakan daya, kita merancang Allah juga merancang, dan perancangan Allah lebih lagi..Pagi tadi ditakdirkan hujan. Alhamdulillah bukan berpanjangan. LAKIUM..program kepimpinan dan ilmiah yang dianjurkan oleh PMIUM ini merupakan medium melatih intelektual muslim berlandaskan nilai-nilai Islam. Berbicara mengenai Intellektual muslim, ana bawakan beberapa ciri intelektual muslim menurut fahaman Dr. Ali Syari'ati.
  • Yang diberi hikmah oleh Allah (berdasarkan surah al-Baqarah, ayat 269)
  • Yang rukuk dan sujud kepada Allah di waktu dinihari (seperti dalam surah al-Zumar ayat 9)
  • Kritis (surah al-Zumar, ayat 18)
  • Yang gigih mencari ilmu
  • Bertafakkur dan berzikir kepada Allah (surah ali Imran, ayat 7)
  • Yang memegang amanah Allah
  • Menegakkan perintah Allah
  • Bersabar mendirikan solat
  • Murah hati dan menolak segala kejahatan (surah al-Ra'd, ayat 19-22)
  • Yang sanggup mengiktibari sejarah (surah Yusuf, ayat 111)
  • Yang gigih berdakwah dan menegakkan prinsip tauhidn(surah Ibrahim, ayat 52)
  • Yang berani kerana benar (surah al-Maidah, ayat 100)
  • Yang takut kepada Allah (surah al-Talaq, ayat 10)
berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan di atas menurut pendapat Dr Ali Syari'ati, cube kita nilai kembali berapa ramai intelektual muslim yang menepati ciri-ciri tersebut. Moga-moga kita juga menuju ke arah itu. wallahu 'alam..

Saturday, November 15, 2008

PROGRAM BARU PMIUM..Jom Join!!!

Jom Join! Program masa cuti anda! Pasti memberi makna!


LAKIUM adalah singkatan kepada LATIHAN KEPIMPINAN ULAMA MUDA MALAYSIA atau lebih sin0nim dengan nama LATIHAN KEPIMPINAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA.

LAKIUM adalah satu program yang diusahakan oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya dengan kerjasama Persatuan Ulama Malaysia (PUM). LAKIUM ini adalah medium untuk memberi kefahaman Islam yang jelas berkaitan dengan aqidah di samping penerapan nilai-nilai Islam yang syumul.


Pasti memberi ketenangan kepada anda!
Antara pemandangan tapak program yang menghijau dan menyejuk mata



Antara kemudahan outdoor yang disediakan (obsacle)


Lagi aktiviti outdoor!!


Flying fox


Program tarbiyah dan pembinaan sahsiah ini menawarkan pelbagai aktiviti yang selari dengan nilai-nilai Islam merangkumi aspek pembinaan sahsiah, leadership, spiritual mahu pun fizikal.
Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Sudah tiba masanya kita mengorak langkah membina karisma seorang mahasiswa muslim!

Tuesday, October 28, 2008

Ziarah yang bermakna

Dalam hambatan waktu menyiapkan bekalan secukupnya ke medan jihad peperiksaan, terlintas di benak fikiran untuk meng "up date" blog yang sudah lama kiranya dibiarkan sepi. belum mampu menjadikan penulisan blog ini sebagai satu passion buat diri ana ini.

BERKUNJUNG & BERZIARAH


Kita masih lagi berada di 10 terakhir bulan Syawal, pastinya ramai yang mengambil kesempatan menjemput sahabat handai ke rumah masing-masing untuk mengeratkan silaturrahim. Buat adik Nabiilah, mohon maaf tidak dapat hadir di hari terbuka pada Ahad lepas sebab baru pulang menziarah negeri serambi Mekah, menjengah dan mengambil mutiara berharga dari Nilam Puri. dan semalam berkesempatan bersama sahabat2 yang lain ke rumah auntie kepada senior kami (Syeikh Umar) di Subang Jaya, auntie Yam dan Uncle Cui (maaf kalu tersalah eja). Turut hadir ialah saudara Muhammad Haafizudin (YDP PMIUM), saudari Nur Fariza (NYDP PMIUM) dan saudara Dzul Khairi (Presiden GAMIS).

Uncle Cui dan Auntie Yam

Pasangan ini amat memuliakan tetamunya. Walaupun undangan tidaklah ramai, namun kami disambut penuh kegembiraan seperti yang tergambar pada raut wajah mereka. Moga pasangan ini diberi keberkatan dan kemurahan rezeki oleh Allah, insyaAllah.



Kenangan muslimin bersama Uncle Cui


Kenangan muslimat bersama Auntie Yam


UJIAN BUAT KITA

Berkunjung bukan sekadar berziarah, tapi sempat menghidupkan rumah pasangan ini dengan pengisian ilmu oleh Ust Dzulkhairi. Pengisian ilmu pada malam itu bagai muhasabah berharga kepada kami. Ya..setiap kita bila diberi taklifan pastinya akan melepaskan taklifan juga pada satu masa. Maka, selepas melepaskan taklifan itu adalah medan ujian yang sangat besar untuk berjuang di jalan Allah ini. Pada waktu itulah Allah menguji sama ada selama ini kita bekerja untuk jawatan atau memang ikhlas kerana-Nya.

Dulu..

Kita punya jawatan
Kini..

Kita tiada taklifan

Dulu..
Kita punya portfolio tetap

Kini..
Kerja kita untuk semuanya


Allah akan menguji kita sama ada kita benar-benar ingin terus berjuang di jalan-Nya atau sebaliknya..Moga-moga kita diberikan kekuatan istiqamah dalam lapangan dakwah ini.

SEDEKAH

Begitu juga dengan sedekah, yang mana amalan yang tidak akan terputus hingga ke akhirat. "Orang kaya yang bersyukur lebih baik dari orang miskin yang pemurah". Waktu senang adalah ujian terbesar buat kita kerana kita diuji dengan keselesaan dan kekayaan, berbanding kemiskinan yang biasanya membuatkan kita sering mengharapkan Allah. Jika sekarang kita sudah terbiasa tidak punya duit, namun masih mampu bersedekah fi sabililah, tapi bila kita diuji dengan wang yang banyak (selepas bekerja), kita akan berkira-kira sama ada ingin terus bersedekah atau tidak di jalan Allah kerana terbayang di fikiran kita pelbagai macam perkara yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu. Moga-moga kita sentiasa menjadi orang-orang yang besyukur sama ada waktu kita senang atau susah. Amin.
" Jika kamu bersyukur (dengan nikmat-Ku), maka akan Aku tambahkan lagi (nikmat-Ku) kepada kamu, namun jika kamu ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih"

Inilah antara beberapa mutiara yang sempat ana kongsikan buat sahabat2 dari ziarah kali ini. Ziarah mengerat ukhuwwah, tazkirah mengingatkan kita pada Allah...

Friday, October 10, 2008

Kemenangan untuk yang bersyukur

Masih tidak terlambat kiranya untuk menyampaikan Salam lebaran buat teman-teman dan sahabat-sahabat seperjuangan...

Dalam kebutuhan waktu menyiapkan assignment, sempat juga mencuri masa mencoret sesuatu dalam teratak maya yang usang dan tandu
s dengan penulisan dan hasil karya ini. teringat akan ayat Allah, "Berilah peringatan sesungguhnya ia berguna untuk orang mukmin.." menulis sesuatu yang berguna buat teman-teman juga memberi manfaat selagi hasil penulisannya berbentuk inzar atau memberi input berguna.



MUHASABAH RAMADHAN

Bahang Syawal membawa pergi Ramadhan Karim yang penuh barakah. Berlalu sudah madrasah tarbiyah, muncul pula medan menifestasi iman kita selama sebelas bulan, menguji sejauh mana kekuatan rohani kita melawan segala macam bentuk ujian di dunia fana ini. Berlalunya Ramadhan, apakah seperti berlalunya bulan-bulan lain dalam hidup ini...apakah terkesan tarbiyah selama sebulan yang dikurniakan Allah kepada kita? Apakah kita berpuas hati dengan pencapaian ibadah atau taqarrub kita pada Ramadhan lalu?Memang tidak layak untuk kita menilai amalan kita cuma sebagai pembakar semangat dalam meneruskan pencarian cinta Ilahi dan redha-Nya.. Kita pun tidak dapat menjangka apakah kita berpeluang ditemukan semula dengan bulan Ramdhan akan datang..kerana ajal dan maut berada dalam pengetahuan Allah dan di luar had keupayaan ilmu manusia. Ajal atau maut bakal datang menjemput kita bila-bila waktunya sebagaimana yang termaktub di Luh mahfuz..sama ada kita bersedia atau tidak..dalam keadaan sihat atau sakit..teringat akan arwah sahabat sekuliah dengan ana di UM yang dijemput pulang oleh Allah dalam sekelip mata pada hari raya ke-5 dalam satu kemalangan jalan raya. al-Fatihah untuk arwah Nur Hazwani Zakaria..moga ruhnya ditempatkan oleh Allah bersama hamba-hambaNya yang soleh, insyaAllah.


KEMENANGAN


Dalam berbicara soal kemenangan pada bulan Syawal ini, apakah erti kemenangan pada pandangan kita? Apakah kemenangan seperti kita memenangi tempat dalam suatu pertandingan atau bagaimana? Kemenangan Syawal ini adalah untuk mereka yang menggunakan sebaik-baiknya peluang Ramadhan untuk menambah rasa cinta dan taqwa kepada Allah. Hamba yang merebut peluang keemasan untuk meraih redha-Nya. Bukan setakat amalan wajib tapi amalan sunat yang mampu menampung kekurangan dalam memberi persembahan hadiah terbaik kepada Allah..inilah hamba-hamba Allah yang bersyukur dengan segala kurniaan Allah selama kita berada di dunia ini. bagaimanakah kemenangan yang diraih ini disambut oleh hamba-Nya ini? Apakah dengan hanya berpakaian segak, cantik bergaya, atau hidangan yang lazat atau juga dendangan lagu raya yang menjadi kegemaran masyarakat sekarang ini cukup untuk menyambut kemenangan ini?


Sahabat-sahabat...

Biarlah kemenangan Ramadhan ini kita sambut dengan rasa rendah diri dan bersyukur sebanyak-banyaknya kepada Khaliq, Pencipta kita. Biarlah tarbiyah selama sebulan di bulan Ramadhan menjadi batu asas untuk kemenangan Islam di bumi Allah ini. Biarlah ia membawa kepada kebangkitan Islam dan seterusnya kemenangan umat Islam secara keseluruhan dalam menegakkan kalimah Allah. Menifestasi iman ini kita tonjolkan dengan melahirkan kecintaan kita kepada Islam melalui pengorbanan untuk Islam, menyiapkan diri untuk meneruskan jihad di bumi Allah ini sehingga Islam tertegak kembali. "Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.."

Saturday, August 9, 2008

Its Time Begins


salam ramadhan karim buat sahabat-sahabat sekalaian..

terasa lama tak memncoret sesuaatu di ruangan ini. ucapan syukur tidak terhingga kepada Allah kerana diberikan kesempatan waktu untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadhan pada kali ini. pastinya Ramadhan kali ini membawa makna dan pengertian yang berbeza kerana usia yang meningkat dewasa dan pengalaman hidup yang ditempa selama hampir setahun berbanding pengalaman Ramadhan lepas. pastinya banyak cerita-cerita yang baru dikutip di pertengahan perjalanan hidup yang panjang ini. cerita-cerita yang mengajar erti hidup seorang hamba di hamparan bumi yang terbentang luas ini. terasa banyak lagi untuk dicore
tkan pada ruangan ini tapi masa amat mencemburui. banyak lagi kerja-kerja yang memerlukan komitmen diri.


sempena bulan mulia ini, jambangan doa buat diri kita semua semoga diberi kekuatan iman untuk menambah manisnya iman dalam diri, indahnya perjalanan mencari nur Ilahi, asyiknya dalam naungan cinta hakiki...moga-moga keredhaan-Nya bakal kita kecapi...


Banyakkan amal, tingkatkan taqwa moga beroleh cemerlang yang tiada taranya dunia dan akhirat..insyaAllah
semoga Allah memberi kesempatan waktu yang lain untuk menyampaikan sesuatu dalam ruangan ini. bab puasa pun belum habis berbicara..moga ketemu lagi dalam tulisan mendatang.

sekian..
salam Ramadhan...

Friday, August 8, 2008

Niat: Cinta atau Cita-Cita?


Perjalanan kita sehari-hari banyak mengajar kita erti kehidupan. Apa tidaknya setiap perkara baru yang datang kepada kita adalah pelajaran baru buat kehidupan kita. Belajar bukan setakat dalam bilik-bilik kuliah mahu pun kelas tutorial, bahkan pelajaran paling berharga adalah bila kita cuba menghadapi ujian setiap hari. Natijah daripada penyelesaian itu kemudiannya kita ukur untuk pelajaran akan datang. Belajar bukan seakat kita mendengar kuliah, tapi belajar juga boleh dilakukan melalui observasi atau pengalaman. Orang selalu kata, belajarlah daripada pengalaman hidup. Konteks belajar terlalu luas. Kita bukan sahaja perolehi ilmu daripada guru semata-mata, bahkan anak kecil juga mampu menjadi guru. namun hari ini, kesilapan paling besar kita ialah apabila kita belajar tapi kita tak amalkan. kita hayati apa yang kita dapat. bahkan paling sedih bila kita belajar (dalam konteks P & P) kerana segulung ijazah. Teringat ketika program Minggu Haluan Siswa sewktu di Nilam Puri, Prof. Abd Aziz yang waktu itu adalah Pengarah APIUM pernah mengatakan bahawa betulkan niat kita menuntut ilmu iaitu untuk mencapai redha Allah. Itulah perkara paling utama. Andai kita menjejakkan kaki ke universiti hanya semata-mata segulung ijazah, maka kita akan dapat ijazah sahaja. Namun, jika niat kita kerana Allah, insyaAllah kita mampu amalkan ilmu yang kita dapat ke arah meraih redha Allah. Kita ini membawa panji-panji Islam yang sentiasa diperhatikan oleh masyarakat. Maka perkara pertama adalah membetulkan niat belajar kita. Teringat hadith nabi berkaitan niat ini. "Sesungguhnya setiap amalan itu disertai dengan niat..".

M
asalah utama masyarakat kita hari ini bila mana persoalan niat ini masih tidak settle lagi. Ini yang terjadi bila mana pelajar tidak mengamalkan apa yang diajarkannya. Tak peliklah bila melihat ustaz yang segak berkopiah tapi masih jalan bersama bukan mahramnya. Gadis ayu terbuka auratnya sedangkan dia tahu menutup aurat itu wajib. dan macam-macam lagi. Kenapa? Sebab dia tahu tapi tak amalkan. Kata pepatah Arab: Ilmu tanpa amal ibarat pohon tak berbuah.."

Dengan rasa rendah diri ana ingin berkongsi pengalaman. Bukan tujuan menunjuk, na'uzubillah..Ana berasal dari sekolah menengah kebangsaan biasa di Johor. Tapi alhamdulillah masih aliran agama. Nak diceritakan bahawa perkara-perkara berkaitan tarbiyah, ikhtilat belum pernah ana dengar sungguh pun mengaji bahasa Arab. Kehidupan sebagai muslim yang sangat basic. Masa ana berada di Tingkatan 4, dalam satu program Pembimbing Rakan Sebaya, sahabat-sahabat dari sekolah lain asyik bercerita pasal sekolah maahad di tempat ana. Bercerita pasal perbandingan pelajar agama dan bukan agama yang tiada bezanya. Sampai ana berjanji dalam diri ana untuk menonjolkan konteks pelajar Islam itu sendiri. Dalam erti kata nak clear image pelajar agama. Alhamdulillah, ana ke Nilam Puri yang terkenal dengan jolokan bumi tarbiyah. Asalnya niat untuk meneruskan dalam bidang Usuluddin atau Syariah, tapi dapat Sains Gunaan dengan Pengajian Islam. Satu kos yang ana pun tak tahu hujung pangkalnya pada masa itu. Bila ana mendengar amanat Prof. Aziz tadi, ana bagai tersentak dari lena. Ana cuba mengikhlaskan niat belajar semata-mata kerana Allah. Alhamdulillah, banyak sangat mutiara berharga yang ana perolehi terutama berkaitan agama seterusnya ana cuba aplikasikan dalam kehidupan ana. Alhamdulillah, kehidupan ana lebih terarah. Allah memudahkan ana dalam urusan belajar.
Kesimpulannya, dalam kita menyelusuri perjalanan hidup ini, arahkan matlamat kita untuk meraih mardhatillah..Cinta Allah..perkara yang sukar digapai tapi nikmat hakiki pasti dirasai. Setiap rona-rona kehidupan ini dinilai hikmah di sebalik ciptaannya. "Sesungguhnya Allah tidak menjadikan langit, bumi dan di antara keduanya dengan sia-sia.." Berfikiran positif untuk belajar perkara baru, diaplikasi dalam perilaku, moga kehidupan dilimpahi redha Allah itu tujuan yang satu...

Wednesday, July 23, 2008

Pemimpin dulu dan sekarang....


Hari ini sempat ana menjengah ke laman Berita Harian Online yang dah lama rasanya tidak ana lawati. Apabila membaca akhbar berkaitan 14 Mercedez Benz yang dipertahan oleh Ahmad Said untuk kegunaan kerajaan Exco Negerinya, ana terpanggil untuk merespon isu. Berkenaan yang mana lebih jimat antara kereta Perdana atau Mercedez Benz bukan topik utama ana. Tapi isu ini membuatkan ana teringat kisah pimpinan para sahabat dulu. Ana teringat kisah Sa'id bi 'Amir seorang penguasa satu wilayah yang ana lupa namanya. Masa tu, zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal sebagai "Thabib al-Qulub". Nak dikatakan bahawa Sa'id bin 'Amir ni seorang yang zuhud sehinggakan tergolong dalam senarai 'asnaf' yang layak menerima zakat. Apabila senarai itu sampai ke tangan Khalifah 'Umar, terperanjatlah Khalifah kerana baginya seorang penguasa tidak berhak untuk menerima zakat kerana ada insentif untuk penguasa itu sendiri. Namun, orang yang datang kepada Khalifah membenarkan keadaan Sa'id bin 'Amir bahawa dia memang selayaknya menerima zakat. Lalu Khalifah memberikan sejumlah wang sebagai hadiah kepada Sa'id bin 'Amir dengan harapan dia tidak lagi tergolong sebagai orang yang layak menerima zakat. Namun, apabila hadiah itu sampai ke tangan Sa'id, maka menangislah dia kerana bala telah memasuki rumahnya. Lalu disuruh isterinya menghabiskan kesemua wang itu untuk disedekahkan kepada masyarakat.

Itu satu contoh yang berlaku pada zaman dahulu. Jika kita lihat hari ini, pemimpin terlalu menjaga kemewahan dan kesenangan diri sendiri berbanding masyarakat lainnya. Jika hari ini harga minyak meningkat, maka yang menanggung derita adalah rakyat, sedangkan pemimpin kurang terkena dengan tempias atau bahang kenaikan minyak ini kerana mereka punya elaun, punya rumah besar yang semuanya ditanggung kerajaan. Bagaimana pula halnya dengan rakyat sekaliannya??? Ada yang terpaksa melakukan apa sahaja untuk hidup. Berapa ramai pemimpin hari ini punya sifat empati kepada nasib rakyat?

Teringat pesanan Sa'id bin 'Amir kepada Saidina Umar ketika beliau diangkat menjadi khalifah. Lebih kurang katanya begini: "Sesungguhnya kepimpinan itu berada di tengah-tengah lautan fitnah, maka berwaspalah..." Renung-renungkan...

Friday, July 4, 2008

Apakah Petanda Ini Ya Allah???

Penulis mencapai handset yang berirama di sisinya. Alunan ringtone membuat dia tersentak dan terjaga. Matanya terpana pada skrin handset. Tertera nama "Bapa Sedara" pada skrin handsetnya. 3 panggilan tidak berjawab. Hatinya berdegup kencang. Tidak pernah bapa sedaranya menelefon pada waktu-waktu begini. Sel-sel neuron di mindanya berputar ligat. Dia pantas menekan butang hijau menjawab panggilan itu. Dadanya makin berdegup kencang. Air matanya mula bergenang dan sukar diempang tatkala mendengar suara di hujung talian. Hatinya luruh.

"Mak dah meninggal..."

Suara yang hinggap ke gegendang telinganya dirasakan bagai halilintar. Handset di tangannya terjatuh ke lantai. Wajah ibunya terawang-awang di benak fikirannya. Ingatannya berputar pada seminggu lepas, tatkala dia sempat pulang menjenguk ibunya walaupun dalam kebutuhan waktu. Air matanya makin banyak membasahi pipi. Namun, dibiarkan sahaja mengalir tanpa dikesat.

Wajah ibu kembali dalam kotak ingatannya. Dia teringat akan kesempatan pulang ke rumah hari itu. Belum pernah ibunya meminta dia pulang ke rumah sepanjang perantauannya menimba ilmu. Berkesempatan makan tengah hari bersama ibunya menyebabkan dia tidak dilepaskan peluang untuk menatap wajah ibu yang kian dimamah usia yang sudah lama tidak ditatapnya. Mudah sungguh air matanya mengalir. Cepat-cepat dikesat dengan hujung lengan bajunya, risau kalau- kalau ibunya perasan. Sayunya melihat wajah yang banyak berkorban sepanjang hidupnya.

Imbauan sejarah Disember 1991, membuat hatinya bertambah sayu. Wajah tenang ibu itu yang menyambutnya ketika dia sampai bersama neneknya pada hari pemergian ayahnya. Kagum sungguh dia pada ibu sewaktu itu. Ketenangan mengiringi pemergian ayah. Sewaktu itu dia masih budak hingusan, yang belum mengerti erti kehidupan sebenar.

Tak tergambar ketabahan ibunya membesarkan dia bersama 2orang kakaknya yang juga sewaktu itu masih mentah lagi. Berbelas tahun memerah keringat membesarkan dia dan kakaknya seorang diri membuatkan dia meletakkan idola hidupnya pada suatu ketika dahulu adalah insan bernama ibu. dan sekarang ketiga-tiga anak ibunya berjaya ke menara gading berkat doa dan usahanya juga.

Lembaran-lembaran kenangan bersama ibunya diselak satu per satu dari dairi ingatannya. Air matanya meluncur deras. Dia menangis tanpa bicara. Kenangan 2hari terakhir bersama ibunya itu terus menjengah kotak ingatannya. Dia sempat solat berjemaah bersama ibu. Dia berdoa kepada Allah untuk kesejahteraan ibu, ayah, keluarga dan seluruh umat Islam dunia dan akhirat. Juga kesihatan yang baik untuk mendambakan kasih pada Allah sehari-hari baik dari segi fizikal mahupun mentalnya. Doanya diaminkan ibu. Syukur sungguh dia pada hari itu. Lalu, selesai solat dia bersalaman dengan ibu dan mengucup dahi ibunya penuh kasih sayang. jarang-jarang dia dapat lakukan sedemikian dan bukan senang diberi nikmat waktu untuk pulang menziarahi ibu.

Masih ingat lagi, tatkala bersalaman dengan ibunya sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Dia tergocoh-gocoh bersalaman dan mencium dahi ibunya kerana sudah terlambat untuk ke stesen bas. Dia hanya ada 10minit untuk menapak ke stesen yang tidak jauh dari rumahnya. Bimbang akan ketinggalan bas. Namun, dia sempat berpesan pada ibu untuk menjaga kesihatan dengan baik.

1 Julai hari itu adalah hari ulang tahun ibunya yang ke-60. Tapi dia tak berkesempatan mengucapkan selamat pada ibunya. hanya sempat berpesan kepada kakaknya yang sulung untuk menyampaikan salam ulang tahun buat ibunya tercinta.
membilang hari-hari yang akan diharunginya tanpa insan bernama ibu di sisi menambahkan kepiluan pada hatinya.

"Ya Allah, berilah kekuatan pada hamba ini untuk menghadapi ujian-Mu..amiin. Tetapkanlah hati hamba-Mu ini dengan musibah yang Engkau timpakan ke atas hamba-Mu ini agar hatinya sentiasa berpaut dan mengharapkan redha-Mu..." Dia berdoa dalam hati. Dipandang sekeliling yang masih gelap. Oh ya Allah, hamba-Mu ini hanya bermimpikah? Dia menekan butang pada handsetnya melihat peti panggilan yang masuk. Tiada panggilan baru yang masuk. Astaghfirullah...Dia mengucap panjang. Air matanya terasa hangat di pipi. Lalu dikesatnya. Dia mengucap lafaz syukur kerana itu hanyalah mimpi. Dia buka peti pesanan yang masuk. Dia baru menerima pesanan ringkas dari sahabatnya Nasirah.
" Slm.nenek sdara nas kat seksyen 17/2, baru je menggl kul 4 td. Alfatihah, semoga ruhnya dicucuri rahmat."
Innalillah....
Walaupun hanya mimpi namun perasaannya masih tidak menentu. Mimpi itu segar sungguh dalam ingatannya. Bila diceritakan kepada sahabat-sahabat serumahnya, ramai yang bersyukur kerana itu hanyalah mimpi. Ada juga sahabatnya yang berasa pelik kerana sejak kebelakangan ini dia sering kali menerima mimpi yang buruk. Walaupun dia tahu tiada keperluan untuk mempercayai mimpi-mimpinya, tapi tetap timbul persoalan pada dirinya. Apakah petanda ini ya Allah? Hanya kepada Allah dia memanjatkan doa dan berserah. Bersangka baik dengan Allah walau apa ujian yang Allah kurniakan kepada kita selaku hamba-Nya. Tak semua mimpi membawa petanda. Dia menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi. Hargai insan dan nikmat yang kita ada sebelum tibanya saat tiada.
Teringat pada bait kata-kata...
"Cintakan manusia, manusia kan mati..
Cintakan bunga, bungakan layu..
Cintalah Allah, cinta yang kekal hakiki..
Itulah cinta sejati...."

Thursday, July 3, 2008

Salahudin Al-Ayubi, Perang Salib dan Kesan Ke Atas Eropah


Salahuddin al-Ayubi & Perang Salib

Salahuddin al-Ayyubi Nama lengkapnya Salahuddin Yusuf I bin Amir Najm al-Din Ayyub yang digelar 'al-Malik al-Nasir'. Beliau telah dilantik menjadi wazir kerajaan Fatimiyyah bagi menggantikan Shirkuh dan pada masa yang sama dilantik menjadi panglima tentera Syria oleh Nur al-Din.[Brockelmann,hal.225] Di barat beliau digelar 'Saladin'. Salahuddin dilahirkan di Takrit pada 532 H/1138 M berasal daripada keturunan Kurdi. Beliau pernah menjadi Gabenor Ba`labaek pada zaman Zanki. Ketika berusia 17 tahun beliau mula berkhidmat dengan Nur al-Din di Damsyik. Salahuddin seorang panglima tentera, pemimpin dan pentadbir negara yang berbakat tinggi dan sangat popular pada zaman Perang Salib. Beliau telah melibatkan diri dalam peperangan ini di kawasan Mesir, Palestin dan Syria. Beliau telah berjaya menyatupadukan umat Arab dan Islam serta mengukuhkan kedudukan mereka yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin sebelum ini bagi menghadapi Perang Salib. Beliau mula terkenal pada tahun 559 H/1164 M apabila beliau menyertai ekspedisi bersama-sama Shirkuh yang dihantar oleh Nur al-Din dari Syria bagi menentang tentera Salib yang dijemput oleh Shawar di Mesir, sepertimana yang dinyatakan di atas. Dalam ekspedisi ini tentera Salahuddin berkubu di Jizah, sementara tentera Salib pimpinan Amaury I berkubu di Fustat, iaitu bersetentangan dengan Jizah. Dalam peperangan ini Salahuddin berjaya menewaskan Amaury I. Dari Jizah, Kaherah, Salahuddin mara ke Iskandariah bersama Shirkuh. Apabila bandar dan pelabuhan Iskandariah ditawan, Shirkuh mara pula ke selatan Mesir dengan mewakilkan Salahuddin menjaga Iskandariah. Sepeninggalan Shirkuh, tentera Salib menyerang Iskandariah. Sebelum pertempuran berlaku, pihak Islam dan Kristian mengadakan perjanjian damai pada bulan Syawal 562 H/Ogos 1167 M. Perjanjian ini dikatakan anjuran pihak Kristian kerana mereka takut diserang oleh tentera Nur al-Din dari Syria. Lebih-lebih lagi kubu pertahanan mereka di Harim telah jatuh kepada tangan Nur al-Din. Namun begitu, Amaury I telah melanggar perjanjian itu kerana selepas 14 bulan perjanjian itu ditandatangani beiiau menyerang Mesir. Serangan ini bermula dari Bilbays pada bulan Muharam 564 H/November 1168 M. Dalam serangan ini ramai penduduk Bilbays dibunuh. Oleh sebab tindakan yang ganas itu menyebabkan wazir Mesir, Shawar terpaksa membuat persiapan untuk membalas tindakan tentera Salib itu. Antara persiapan yang dibuat adalah dengan meminta bantuan daripada Nur al-Din dari Syria, seperri yang disebutkan di atas. Walau bagaimanapun, hanya selepas ketibaan Salahuddin barulah tentera Amaury terpaksa berundur dari Mesir pada 1 Rabiulakhir 564 H/2 Januari 1169 M. Dalam pada itu Shawar cuba belot dan merancang membunuh Shirkuh menerusi bantuan tentera Salib. Hal ini dapat diketahui oleh Salahuddin lalu beliau menyerang dan membunuh Shawar. Dengan kematian Shawar, maka jiwa Khalifah al-Adid berasa lega dan seterusnya melantik Shirkuh menjadi wazir pada 17 Rabiulakhir 564 H/18 Januari 1169 M. Setelah Shirkuh meninggal dunia tempatnya diganti oleb Salahuddin. Pada masa yang sama Nur al-Din melantik Salahuddin sebagai panglima angkatan tentera Syria. Sejak itulah nama Salahuddin menjadi masyhur. Sebaik sahaja diangkat menjadi wazir Mesir, Salahuddin mengambil langkah segera menghapuskan pegawai-pegawai tentera kerajaan Fatimiyyah yang tidak jujur. Untuk menjamin keutuhan kerajaan Mesir, Salahuddin terpaksa memerangi habis-habisan tentera Salib.
Pada pihak orang Kristian Mesir pula menyedari bahaya kenaikan Salahuddin, lalu meminta bantuan dari negara-negara Eropah. Pada waktu itu tentera-tentera Salib dari negara-negara Eropah seperti Perancis, Jerman, England dan Itali telah bergabung tenaga dengan tentera Byzantine untuk menyerang Mesir. Bagi pihak Mesir pimpinan Salahuddin mendapat sokongan padu daripada Nur al-Din di Syria. Sekumpulan armada Byzantine dan tentera laut dari Itali muncul di perairan Damietta. Salahuddin meminta bantuan daripada Nur al-Din. Nur al-Din mengirim tentera bantuan pimpinan bapa Salahuddin. Dalam peperangan ini tentera Salib pimpinan Amaury terpaksa menarik diri dan membuat perjanjian damai dengan membayar wang ufti kepada Salahuddin. Pada 566 H/1171 M peperangan bermula semula. Pada tahun inilah Salahuddin menawan bandar Hulwan. Pada tahun berikutnya Nur al-Din mengisytiharkan Mesir sebagai wilayah pemerintahan Abbasiyah. Tidak lama kemudian, Khalifah al-Adid meninggal du-nia. Dengan itu maka berakhirlah pemerintahan Fatimiyyah di Mesir. Sebaik sahaja tentera Salib menarik diri dari Damietta (Dimyat), Salahuddin membuat persiapan untuk menyerang Palestin. Pada 1172 M beiiau menyerang pelabuhan Aylan di pantai Laut Merah sebagai merintis jalan ke Palestin. Setelah itu Nur al-Din meminta bantuan daripada Salahuddin untuk menyerang kubu pertahanan tentera Salib di Kerak dan Shawbak yang terletak di timur Jordan, tetapi permintaan ini tidak dapat dipenuhi oleh Salahuddin kerana beiiau tepaksa pulang bagi memadamkan api pemberontakan di Mesir. Apabila Nur al-Din meninggal dunia pada akhir tahun 569 H/1174 M tempatnya diganti oleh anaknya Ismail Malik al-Salih. Oleh sebab usianya masih kecil (11 tahun) kekuasaan dipegang oleh penasihat-penasihatnya. Mereka ini kurang yakin terhadap Salahuddin lalu mencari jalan untuk mendapatkan pertolongan daripada tentera Salib[ibid hal.227]. Akan tetapi Salahuddin cepat sedar lalu menyerang Syria dan berjaya menawan Hims.
Pada akhir tahun 1172 M Aleppo pula menyerah kalah. Oleh itu Ismail terpaksa menandatangani perjanjian damai -dengan Salahuddin dan berjanji tidak akan memusuhi negeri Mesir lagi. Ini bermakna bahawa ancaman dari Syria tidak wujud lagi. Berikutan daripada peristiwa inilah Salahuddin diberi gelaran 'Sultan' oleh Khalifah Abbasiyah di Baghdad. Bagi memperkuatkan kedudukan pemerintahan Mesir, Salahuddin terpaksa pula menguasai pintu masuk di pantai selatan Laut Merah. Pada 1173 M beiiau menghantar saudaranya Turanshah ke sana. Pada waktu itu terdapat beberapa buah kerajaan kecil: kerajaan Hamdan di San'a', dan Najjah di Zabid. Akan tetapi kerajaan-kerajaan ini telah dapat dikalahkan dengan mudahnya oleh Turanshah. Pada 569 H/1174 M Salahuddin telah menghadapi serangan tentera Norman dari Sicily di perairan Iskandariah. Setelah tiga hari bertempur akhirnya tentera Norman terpaksa berundur pulang. Dalam pada itu Raja Amaury di Baitul Maqdis meninggal dunia dan tempatnya diganti oleh Baldwin IV. Dengan itu kedudukan Salahuddin menjadi semakin kukuh dan meyakinkan. Bagi memperkukuhkan kedudukan tentera Islam Salahuddin menyeru negara-negara Islam supaya bersatu di bawah suatu pemerintahan. Walaupun seruan ini tidak dipersetujui oleh setengah-setengah pihak termasuk pemimpin Syria, tetapi azam dan cita-cita suci Salahuddin itu terkabul.
Pada bulan Zulkaedah 57(3 H/Mei 1175 M, Khalifah Abbasiyah mengisytiharkan Salahuddin sebagai pemimpin (Sultan di Mesir), Nubiah, Yaman, Magribi, Palestin, dan kawasan tengah Syria. Salahuddin menggelarkan dirinya Sultan al-Islam wa al-Muslimin. Pada tahun ini jugalah beliau membina sebuah kota pertahanan di Kaherah. Pada bulan Jamadilawal 575 H/November 1177 M beliau menyerang Palestin. Rajanya bernama Baldwin IV cuba menyekat serangan itu, tetapi segera ditewaskan oleh tentera Salahuddin. Pada bulan Muharam 576 H/Jun 1179 M Baldwin IV tewas sekali lagi di Marj Ayun dan ramai daripada pemimpin dan pembesarnya ditawan. Pada tahun berikutnya suaru perjanjian damai diadakan antara kedua-dua pihak selama dua tahun. Pada tahun 577 H/1181 M Ismail al-Malik al-Salih yang memerintah Halab meninggal dunia. Pada bulan Safar 579 H/Jun 1183 M keseluruhan negeri Syria termasuk Halab diletakkan di bawah kekuasaan Salahuddin. Peperangan antara tentera Islam dengan tentera Salib terus berlaku. Pemerintahan Baitul Maqdis pada ketika itu di bawah Guy De Lusignan yang telah menggantikan Baldwin IV. Perjanjian damai yang ditandatangani antara orang Islam dengan orang Kristian selama dua tahun itu sering dicabuli akibat tindakan Raynald of Chatillon, yang memerintah Kerak yang terletak di timur Laut Mati, sering menyekat perjalanan perniagaan antara Damsyik dengan Hijaz dan antara Hijaz dengan Mesir. Begitu juga beliau mengganggu keselamatan orang-orang haji yang hendak pergi ke Hijaz. Hal ini sudah tentu tidak boleh dibiarkan oleh Salahuddin. Beliau telah menyediakan bala tenteranya dari Mesir yang dibantu oleh tentera Syria yang berhimpun di Harim. Kedua-dua pasukan tentera ini telah disatukan dekat Tasik Gennesareth (Galilee).
Pada pihak raja Kristian di Baitul Maqdis juga menghimpunkan tenteranya. Akhirnya mereka bertempur di suatu tempat bernama Hittin, dan tentera Islam mencapai kemenangan yang besar. Dalam pertempuran di Hittin Ini Raja Baitul Maqdis telah ditawan. Akibat daripada peristiwa ini juga banyak kubu pertahanan tentera Salib dapat ditawan. Selain Baitul Maqdis, Palestin keseluruhannya jatuh kepada tangan orang-orang Islam.
Selain itu Beberapa buah bandar lagi seperti Ladhiqiyah, Jabalah, Sahyun, Saimin dan Burziyah jatuh kepada tangan orang Islam. Setelah itu diikuti dengan penawanan ke atas Safed, Kauhab, Karak dan Shawbak.
Setelah kejatuhan Baitul Maqdis, pihak negara-negara Eropah mengisytiharkan Perang Salib yang baru. Tokoh-tokoh tentera Salib di Eropah telah berhimpun termasuklah Frederick I Philip (dari Perancis) dan Richard the Lion Hearted (dari England). Mereka datang dengan lambang-lambang salib untuk mengambii semula Baitul Maqdis. Mereka mendarat di Pelabuhan Tyre di bawah pimpinan Frederick I. Tentera Islam pimpinan Salahuddin sedang berkubu di Acre pada 14 Rejab 585 H/28 Ogos 1189 M. Tentera Salib mengepung bandar Acre, tetapi segera ditewaskan oleh tentera Salahuddin.
Raja Guy De Lusignap bersama Frederick I dan Richard the Lion Hearted hanya dapat menyaksikan kehandalan tentera Salahuddin tanpa dapat membuat apa-apa. Kelebihan tentera Islam ketika itu ialah adanya perpaduan di kalangan orang-orang Islam di bawah pimpinan Salahuddin serta keimanan dan keyakinan yang teguh di kalangan tentera Islam ketika menentang orang-orang kafir. Sementara tentera-tentera Salib telah berpecah sesama sendiri dan masing-masing tamak akan kuasa.
Pada tahun 1191 M tentera Salib datang menyerang semula di Peringkat Ketiga dengan tentera dan semangat yang baru dan telah melakukan pengepungan ke atas Pelabuhan Tyre. Pada 12 Julai 1192 M sebahagian tentera Islam telah dapat ditawan di Acre (Akka). Salahuddin merayu supaya orang-orang tawanan itu dibebaskan, tetapi pihak tentera Salib meminta bayaran yang sangat tinggi bagi membebaskan orang-orang tawanan itu. Salahuddin enggan membayarnya. Justeru itu berlaku pembunuhan secara kejam ke atas orang tahanan oleh tentera Salib. Sejak peristiwa itu kedua-dua pihak berusaha mengadakan perjanjian damai. Al-Malik al-Adil, saudara Salahuddin mewakili orang-orang Islam untuk mengadakan perjanjian damai. Pada 2 November 1192 M, perjanjian damai antara Saiahuddin dengan Richard the Lion, Hearted diadakan di Ramalah. Pihak orang Islam mengekalkan kekuasaannya di Palestin termasuk Baitul Maqctis dan membenarkan orang-orang Kristian menziarahi tanah suci itu. Hanya beberapa bulan selepas itu, iaitu pada bulan Safar 589 H/Februari 1193 M Salahuddin jatuh sakit dan meninggal dunia di Damsyik ketika usianya 55 tahun.
Kematian Salahuddin telah menjadi kenangan abadi kepada umat Islam setelah beliau berjaya manyingkirkan kuasa orang Kristian dari Baitul Maqdis. Beliau menjadi terkenal menerusi Perang Salib bukan sahaja di wilayah timur tetapi juga wilayah barat. Kedudukan beliau yang istimewa dalam sejarah dapat menyamai ketinggian dan kemasyhuran Khalifah Harun al-Rasyid dan Baybars Mamluk. Mereka ini ialah lambang kejayaan dan ketinggian umat Islam dalam sejarah. Memang tiada amir atau sultan dalam sejarah Islam yang menghabiskan hidupnya dengan membuat kebajikan terhadap agama, bangsa dan negara seperti yang dilakukan oleh Salahuddin. Semasa beliau hidup seluruh keluarganya bersatu padu dan taat setia kepadanya. Kewibawaan Salahuddin dan kepintarannya serta kejujuran dan keadilannya amatlah terserlah. Beliau berpeluang mendapatkan kemewahan hidup dan kekayaan tetapi segala peluang itu tidak diambilnya malah digunakannya untuk kepentingan agama dan rakyat. Beliau sangat memusuhi gerakan tentera Salib tetapi tidak pula bermusuhan secara individu terhadap pemimpin-pemimpin mereka. Beliau sentiasa bersedia berundingdan berdamai dengan mereka asalkan mereka benar-benar jujur dan ikhlas.
Oleh sebab itu beliau dianggap sebagai pemimpin agung bukan sahaja oleh orang-orang Islam tetapi juga orang bukan Islam terutama di Eropah. Sikap adil dan saksama beliau terhadap musuh yang ditawan telah diakui oleh semua pihak.
Beliau ialah penaung para cendekiawan dan telah membina semula kota Baitul Maqdis. Sebagai penaung para cendekiawan dan para ilmuan, Salahuddin mendapat tempat yang istimewa di kalangan ahli-ahli geografi dan sarjana-sarjana moden. Antara para sarjana yang muncul pada zamannya ialah Muhammad al-Katib al-Isfahani. Al-Isfahani ialah bekas setiausaha politik kepada Nur al-Din di Damsyik.
Setelah itu beliau menjadi setiausaha politik kepada Saiahuddin. Setiap ekspedisi yang dilakukan oleh Salahuddin disertai oleh al-Isfahani termasuk ekspedisi penaklukan ke atas Baitul Maqdis. Tokoh yang kedua ialah Baha al-Din bin Shaddad, iaitu hakim dan kadi tentera Saiahuddin di Baitul Maqdis. Begitu juga al-Qadi al-Adil, sebagai pegawai dengan tugas-tugas khas di Askalan, ialah seorang tokoh yang menyediakan rekod-rekod rasmi pada zaman Salahuddin tetapi malangnya banyak rekod yang disimpan itu tidak dapat ditemui. Berkenaan dengan sosio-budaya orang Islam pada zaman Salahuddin telah direkodkan oleh Usamah bin Munqidh.
Salahuddin ialah penganut mazhab Sunni dan menjadi penaung ahli-ahli teologi Sunni. Namun begitu, beliau tidak menzalimi penganut-penganut Syiah di Mesir dan tidak menganggap mereka sebagai kafir atau terkeluar daripada ajaran Islam.
Menurut rekodnya hanya berlaku sekali sahaja (1191 M) apabila dia telah menghukum seorang Parsi yang datang dari Asia Kecil untuk menyebarkan ajaran Gnosticism di Halab. Konsep Gnosticism ini membawa ajaran Batiniyah yang dipengaruhi oleh ajaran Neo-Platonisme dan Neo-Pythagoreanisme dan juga ajaran agama Kristian.
Salahuddin ialah seorang yang aktif dalam pembinaan kota Baitul Maqdis dan Kaherah. Di Baitul Maqdis beliau bertanggungjawab membina semula Masjid al-Aqsa. Pada zaman tentera Salib berkuasa, Masjid al-Aqsa dijadikan istana raja. Di Kaherah beliau telah membina sebuah madrasah berhampiran dengan makam Imam Shafi'i. Beliau turut membina kubu pertahanan di Kaherah. Beliau jugalah yang mencantumkan bandar Kaherah dengan Fustat pada tahun 1179 M.

Selepas Salahuddin Al-Ayyub

Sebelum meninggal dunia Salahuddin telah membahagi-bahagikan wilayah kekuasaan kerajaannya yangdipanggil kerajaan Ayyubiyah kepada kaum keluarganya. Anak sulungnya al-Malik al-Afdal, sebagai ketua keluarga diberi kuasa ke atas Damsyik dan selatan Syria; sementara anaknya yang kedua iaitu al-Malik al-Aziz memerintah Aleppo dan utara Syria; bapa saudara mereka memerintah Mesopotamia. Hanya selepas setahun Salahuddin meninggal dunia, kaum keluarganya telah berpecah. Salah seorang daripada mereka yang memerintah Beirut cuba mengganggu dan menyekat kaum pedagang Kristian dan merompak harta benda mereka. Pihak Kristian telah mengadu hal ini kepada al-Malik al-Adil dan al-Malik al-Aziz, tetapi aduan ini tidak dipedulikan. Justeru itu, pihak Kristian meminta bantuan tentera dari Eropah. Pada tahun 1197 M pasukan tentera dari Jerman datang menyerang bumi Islam dan membunuh ramai orang Islam. Al-Malik al-Adil tidak sabar melihat tindakan kejam tentera Salib itu, lalu meminta bantuan daripada kesemua tentera Islam di bawah pemerintahan kerajaan Ayyubiyah. Suatu pertempuran sengit telah berlaku berhampiran dengan Ghazzah, tetapi kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Setelah itu, pada tahun yang sama, tentera Salib tewas lagi di Yafa. Pada bulan Jun 1189 M suatu perjanjian damai selama tiga tahun antara orang Islam dengan orang Kristian ditandatangani. Pada tahun 1200 M al-Malik al-Adil telah berjaya menyatukan seluruh wilayah Ayyubiyah di bawah pemerintahannya termasuk Aleppo dan Yaman. Dalam pada itu beliau membahagi-bahagikan kuasa pemerintahan kepada anak-anaknya. Di Mesir kuasanya dibahagikan kepada anaknya ai-Kamil; Damsyik kepada Mu'azzam; sementara Mesopotamia kepada Awhad, Fa'z dan Ashraf sebagai wakil-wakilnya.
Walaupun dikatakan kaum keluarganya berpecah dan berlaku huru-hara dalam negeri, tetapi kerajaan Ayyubiyah telah berjaya memelihara kekuasaannya dan menangkis serangan-serangan tentera Salib. Dalam tempoh beberapa tahun tentera Salib kehilangan arah, dan tujuan peperangan bagi mendapatkan semula tanah suci Baitul Maqdis hampir dilupakan hinggalah menjelang tahun 1217 M telah muncul Raja Andrew dari Hungary.

Beliau telah melancarkan serangan ke atas Mesir. Pada waktu itu al-Malik al-Adil baru sahaja meninggal dunia sewaktu tentera Salib menyerang Damietta. Tempat beliau diganti oleh anaknya, al-Kamil. Dengan angkatan tenteranya yang kuat al-Kamil telah berjaya menyingkir tentera Salib dari Damietta. Pada tahun 1228 M Frederick II telah melancarkan serangan ke atas Baitul Maqdis. Al-Malik al-Kamil cuba berdamai dengannya bagi menyelesaikan masalah beliau dengan saudaranya Mu`azzam yang memerintah Damsyik. Sebaik sahaja Frederik II, tiba di Palestin Mu`azzam dikatakan telah meninggal dunia dan tempatnya diambil alih oleh salah seorang saudaranya yang memerintah di Mesopotamia. Perbincangan antara al-Malik al-Kamil dengan Frederick II terus diadakan. Dalam perundingan ini kedua-dua pihak bersetuju bahawa al-Malik al-Kamil terus memerintah Syria, tetapi Baitul Maqdis bersama Bethlehem, Nazareth dan kawasan-kawasan menuju ke Jaffa dan Saida (Sidon) diserahkan kepada tentera Salib.
Pada 18 Mac 1229 M Frederick II dengan rasminya dimahkotakan sebagai raja di tanah suci Baitul Maqdis.Al-Malik al-Kamil telah menggunakan peluang perjanjian damai itu untuk memperluaskan kuasanya ke sebelah utara di kawasan wilayah Seljuq. Hal ini telah menimbulkan perasaan iri hati oleh saudaranya Ashraf yang memerintah Damsyik. Akan tetapi al-Kamil terselamat apabila Ashraf meninggal dunia sebelum apa-apa terjadi. Tidak lama selepas itu (1238 M) al-Kamil pula meninggal dunia. Hanya dua tahun selepas itu pula anaknya al-Adil yang memerintah Mesir diancam oleh saudaranya al-Salih. Al-Salih dengan bantuan tentera Turki dari Khwarizm yang telah berjaya membebaskan diri daripada serangan Mongol telah berjaya menawan semula Baitul Maqdis daripada tangan tentera Kristian pada tahun 1244 M. Sebelum itu (1239 M) Baitul Maqdis ditawan oleh Daud Amir Kerak buat sementara waktu apabila berlaku perjanjian damai dengan Frederick. Dalam pada itu kekuasaan al-Salih ke atas Damsyik terlepas kepada tangan bapa saudaranya, Ismail. Setelah kedudukan al-Salih di Baitul Maqclis menjadi kukuh, wilayah Damsyik pula jatuh kepada tangannya (1245 M). Dengan itu hampir seluruh pemerintahan Ayyubiyah diperintah oleh al-Salih. Ini bermakna bahawa pemerintahan Ayyubiyah telah bersatu semula, di bawah pemerintahan al-Salih yang digelar Najm al-Din.

Pada masa pemerintahan al-Salih, telah berlaku beberapa siri peperangan dan perebutan kuasa di kalangan kaum keluarganya pada satu pihak dan dengan tentera Salib dan tentera Turki Khwarizm pada pihak yang lain. Pihak Turki sedia memihak kepada sesiapa sahaja di kalangan keluarga al-Salih yang telah menawarkan keuntungan yang lebih besar kepada mereka. Pada tahun 1248 M setelah sekian lama berada di Damsyik dalam kempen menentang Yusuf II yang memerintah Aleppo, al-Salih diberitahu tentang serangan tentera Salib keatas Mesir. St. Louis IX raja Perancis telah memulakan serangan ke atas Damietta (Dimyat).
Oleh sebab pada ketika itu al-Salih ditimpa sakit menyebabkan barisan tenteranya menjadi kucar-kacir. Akibat daripada itu Damietta jatuh kepada tangan tentera Salib. Damietta atau Dimyat terletak di utara negeri Mesir di tebing kiri Sungai Nil. la merupakan suatu kawasan yang strategik bagi negeri Mesir dan telah memainkan peranan penting dalam siri peperangan menentang tentera Salib; dan ia juga merupakan pintu masuk ke kota Kaherah. Al-Salih meninggal dunia pada 23 November 1249 M dan tampuk pemerintahan Ayyubiyah dikendalikan buat sementara waktu oleh isterinya, Shajarah al-Durr bagi menanti ketibaan anaknya al-Malik al-Mu`azzam Turanshah dari Mesopotamia. Apabila Turanshah tiba dan berkuasa di Mesir beliau telah membawa tenteranya berjihad menentang St. Louis IX di Damietta. Dalam peperangan ini beliau telah berjaya merampas bandar itu dan seterusnya menyekat kemaraan tentera Salib ke kota Kaherah dan seterusnya berjaya rnemusnahkan kapai-kapal musuh dan St. Louis IX sendiri ditawan pada bulan April 1250 M. Setelah kira-kira sebulan mereka dibebaskan. Suatu perjanjian telah dibuat dan St. Louis IX dipaksa membayar wang ganti rugi sebanyak 800 000 dinar dan menyerahkan Damietta kepada orang Islam. Perjanjian damai ini diadakan selama 10 tahun. Dalam tempoh tersebut tentera Salib tidak boleh menyerang orang Islam.

Angkatan tentera Islam pada ketika itu dikendalikan oleh Baybars daripada keturunan hamba Qipcaq yang telah dibeli oleh Turanshah dari Mesopotamia. Beliau juga dikatakan bertanggungjawab di atas pembunuhan al-Malik al-Salih. Sikap Turanshah memihak Baybars telah menimbuikan kebencian dan kemarahan setengah-setengah pihak. Kesempatan ini telah digunakan oleh musuh-musuhnya. Pada tahun 648 H/1250 M Turanshah, yang dikatakan juga seorang pemboros, telah dibunuh. Selepas Turanshah dibunuh maka kerajaan Ayyubiyah pun jatuhlah dan naik pula kerajaan Mamluk. Shajarah al-Durr, janda Sultan al-Malik al-Salih telah berkuasa dan beliau telah berkahwin dengan salah seorang panglima berketurunan hamba bernama Izz al-Din Aibak yang berpangkat Atabeg. Kuasa dan pengaruh Aibak adalah di tangan Shajarah al-Durr. Keadaan ini sudah tentu menyulitkan Aibak yang menyebabkan beliau merancang membunuh Shajarah al-Durr pada tahun 1257 M. Akan tetapi sebelum rancangan ini dilaksanakan Aibak lebih dahulu yang dibunuh. Shajarah-al-Durr dikatakan tidak mendapat sokongan daripada golongan Mamluk dan sekaligus dituduh membunuh Aibak. Oleh sebab itu beliau kecewa lalu membunuh diri atau mengikut pendapat lain beliau dibunuh oleh musuh-musuhnya.

Dengan itu maka naiklah Nur al-Din Ali al-Mansur, putera Aibak. Setelah itu Baybars al-Zahir dilantik sebagai Sultan Mamluk. Baybars yang telah lama me-libatkan diri dalam kegiatan ketenteraan menentang tentera Salib telah meneruskan usaha jihadnya menentang musuh Islam itu. Pada tahun 1268 M beliau telah berjaya menawan bandar Antakiyah daripada tangan orang Kristian. Dengan kejatuhan bandar penting Antakiyah ini maka tidak ada lagi harapan bagi tentera Salib untuk memerangi sebarang wilayah di Syria dan Mesir. Sejak itu mereka menumpukan ke kawasan Tunisia. Pada tahun 1270 M tentera St. Louis IX telah mendarat di Tunisia.
Serangan St. Louis IX ini merupakan serangan tentera Salib kali kelapan. Serangan ini hanya bermatlamat untuk memusnahkan umat Islam dan bukan kerana tujuan asal untuk membebaskan Baitul Maqdis. Akan tetapi serangan ini telah dapat dipatahkan oleh tentera Sultan Tunisia, Muhammad al-Mustansir Billah iaitu Sultan kerajaan Hafsiyah (1249-1277 M).16 Pada tahun itu juga (1270 M) St. Louis mati dibunuh di Tunisia. Setelah itu tumpuan tentera Salib beralih ke Sepanyol.

Kesudahan Perang Salib

Tentera Islam telah mencapai kemenangan dan Baitul Maqdis dapat dikembalikan semula kepada tangan orang Islam. Walau bagaimanapun peperangan ini telah mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda dan bangunan serta nyawa wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Di samping itu, ramai pula para mujahid Islam yang terkorban dan mati syahid bagi mempertahankan maruah agama dan negara. Ekonomi orang Islam juga turut terjejas akibat peperangan. Namun begitu kesedaran dan penyatuan umat Islam menyebabkan ekonomi mereka kembali pulih dan memperoleh keuntungan yang besar hasil perdagangan dengan negara Eropah Barat pada zaman pemerintahan al-Mamalik. Pihak tentera Salib dari Eropah Barat, walaupun mengalami kekalahan di medan peperangan dan Baitul Maqdis terlucut daripada tangan mereka, tetapi telah memperoleh banyak keuntungan daripada peperangan tersebut, sama ada dari segi agama, politik, ekonomi ataupun sosial. Antara sebab-sebab kekalahan tentera Salib ialah kerana wujudnya persengketaan antara istana dengan gereja atau antara raja dengan pihak paderi (Paus) masing-masing berlumba-lumba mencari kuasa dan-pengaruh yang menyebabkan perpecahan berlaku sesama mereka. Sebab kedua, wujud kelas-kelas dalam masyarakat Eropah seperti golongan saudagar, golongan agama,. golongan pemerintah, golongan hamba dan golongan feudal. Masing-masing Cuba meluaskan kuasa dan pengaruh. Pihak hamba cuba membebaskan diri daripada beienggu tuan-tuan tanah (golongan feudal). Dengan adanya sifat iri hati dan benci-membenci antara satu sama lain ini menyebabkan semangat perjuangan di kalangan tentera Salib menjadi luntur. Sebab ketiga, munculnya tokoh-tokoh pejuang Islam yang tidak tahu penat atau jemu seperti Imad al-Din Zanki dan Salahuddin al-Ayyubi yang telah berjaya menyatukan umat Islam. Sebab keempat, munculnya tentera Mongol yang dianggap oleh tentera Salib sebagai pemusnah tentera Islam. Tetapi tentera Mongol dapat ditewaskan oleh tentera Islam dalam peperangan di Ain Jalut dan seterusnya mereka memeluk agama Islam. Dengan itu, maka kecewalah tentera Salib.

Kesan Perang Salib


Perang Salib telah berlangsung selama kira-kira 200 tahun. Tumpuannya bukan sahaja ke atas Baitul Maqdis atau Syria, tetapi di seluruh negara Islam di timur dan di barat termasuk Iraq, Mesir, Asia Kecil, Tunisia, Maghribi, Andalus dan Sicily. Malah serangan tentera Salib telah sampai di pantai Hijaz, tujuannya untuk mengancam keselamatan tanah suci Makkah dan Madinah. jadi, tidak syak lagi bahawa dengan berlakunya peperangan ini dan berlakunya pertembungan antara orang Islam dengan orang Kristian dalam tempoh yang begitu lama telah meninggalkan kesan yang besar dalam hubungan antara kedua-dua belah pihak.

Maklumat
Tentang Negara Islam

Sebelum berlaku Perang Salib lagi hubungan antara orang Islam dengan orang Kristian di Eropah sudah terjalin, tetapi hubungan mereka pada ketika itu hanya terbatas di kalangan pihak pemerintah. Mereka telah bertukar-tukar hadiah dan pemberian bagi menjalin hubungan diplomatik menerusi perwakilan masing-masing. Atau menerusi kunjungan orang-orang beragama Kristian ke Baitul Maqdis bagi mengerjakan ibadat; mereka tidak dibenarkan bergerak secara bebas di negara-negara Islam. Walaupun terdapat sedikit sebanyak hubungan perdagangan antara Mesir dan Syria dengan negara-negara Eropah Barat sebelum berlaku Perang Salib, tetapi hubungan perdagangan ini amatlah terbatas. Akan tetapi apabila Perang Salib meletus, maka keadaan ini telah berubah. Pada ketika itu beribu-ribu orang Kristian dari Eropah Barat datang dan tinggal di Syria. Dalam pada itu mereka tidak terputus hubungan dengan negara asal mereka. Pada masa ini jugalah aktiviti pelayaran dan perdagangan dilakukan secara meluas di kawasan Laut Mediterranean. Mereka bergerak bebas di kawasan perairan di sebelah timur. Pada masa ini jugalah mereka berpeluang menyaksikan kedudukan masyarakat dan rumah-rumah orang Islam dengan dekat. Setelah itu ilmu dan pengalaman yang diperoleh itu dibawa diceritakan kepada rakan-rakan mereka yang kembali ke Eropah. Dengan cara Ini pengetahuan mereka tentang orang Islam menjadi semakin nyata dan jelas. Pengetahuan ini telah membuka jalan kepada mereka untuk menjajah negara-negara Islam, bermula dari Sepanyol, setelah itu Asia Barat, dan akhirnya ke sebelah timur hingga ke Nusantara.

Perdagangan


Dari segi perdagangan memanglah penting dan menjadi faktor pendorong, selain faktor agama, kepada negara-negara Eropah Barat, terutama Itali, untuk melancarkan Perang Salib. Akibat daripada peperangan ini telah memberikan keuntungan yang besar kepada mereka. Para pedagang Eropah telah mengadakan aktiviti perdagangan antara negara-negara Islam di timur dengan negara Eropah di barat. Mereka telah mendirikan pusat-pusat perdagangan tetap di beberapa kawasan seperti Acre (Akka), Saida (Sidon), Ladhikiyah, dan lain-lain. Dari pusat-pusat perdagangan ini mereka mengeksport barangan dari timur dan dibawa ke Eropah. Barangan tersebut seperti kain tenunan daripada kapas, kain sutera, pinggan mangkuk, batu-batu permata dan bijana-bijana yang diimport dari India dan Sri Lanka; barangan seperti gading, permaidani, ubat-ubatan, rempah, bau-bauan diimport dari Asia Barat. Kesemua barangan ini sangat diperlukan oleh masyarakat Eropah pada ketika itu dan barangan tersebut hanya diperolehi dari negara-negara di timur. Oleh sebab aktiviti perdagangan di kawasan pantai Syria pada abad ke-12 M dikuasai oleh orang Eropah, maka barangan dari Asia Barat dapat dibawa dengan banyaknya ke Eropah. Barang-barang tersebut dibawa melalui pelabuhan Damsyik, setelah itu dibawa ke pelabuhan-pelabuhan di selatan Syria dan dari sana terus dibawa ke Eropah. Barang-barang perdagangan dari timur seperti India, Sri Lanka dan Nusantara dibawa menerusi pelabuhan-pelabuhan di Laut Merah, dari Sana dibawa ke Dimyat dan Iskandariah dan setelah itu ke Eropah. Pada mulanya aktiviti perdagangan banyak tertumpu ke kawasan Syria oleh sebab penguasaan tentera Salib di situ. Tetapi menjelang abad ke 13 M, oleh sebab serangan tentera Mongol ke atas wilayah itu menyebabkan aktiviti perdagangan beralih ke kawasan Laut Merah, iaitu di Dimyat dan Iskandariah di Mesir. Pemerintahan Mamluk Mesir sangat mengalu-alukan penyertaan para pedagang luar kerana ia boleh memberikan keuntungan yang besar kepada kerajaan Mesir. Dengan terjalinnya hubungan perdagangan dengan negara-negara Eropah ini menyebabkan kerajaan Mamluk menjadi makmur dan kaya raya. Di sepanjang pemerintahannya antara abad ke 13-15 M banyak pembangunan telah berlaku di kota-kota besar seperti Kaherah dan Iskandariah dengan menggunakan perbelanjaan yang besar hasil yang diperoleh daripada aktiviti perdagangan. Politik Perang Salib juga telah membawa kesan yang positif sama ada secara langsung atau tidak langsung terhadap negara-negara Islam, terutama dalam bidang politik. Di peringkat permulaan Perang Salib, negara-negara Islam di Syria dan Asia Kecil tidak bersatu; pada waktu itu terdapat kerajaan-kerajaan kecil yang diperintah oleh Atabeg. Keadaan ini berlaku sewaktu pemerintahan Abbasiyah di Baghdad mengalami zaman keruntuhannya. Pada akhir abad ke-11 M kerajaan Fatimiyyah di Mesir juga sedang mengalami keruntuhan. Pada waktu itulah tentera Salib datang menyerang dan berjaya menawan Baitul Maqdis. Mereka seterusnya mendirikan wilayah-wilayah kecil di sekitar Syria dan utara Iraq bagi menggantikan pemerintahan Islam. Kejayaan mereka disebabkan perpecahan yang berlaku antara negara-negara Islam iaitu Mesir, Iraq dan Syria. Pada abad berikutnya masyarakat Islam benar-benar lemah akibat perpecahan dan memerlukan seorang pemimpin yang dapat menyatukan semula umat Islam bagi menghadapi serangan tentera Salib. Maruah umat Islam dapat dikembaiikan dengan kemunculan tokoh-tokoh seperti Imad al-Din Zanki, Nur al-Din Mahmud dan setelah itu Salahuddin al-Ayyubi. Salahuddin bukah sahaja dapat mendirikan sebuah kerajaan baru Islam yang kuat di Mesir, iaitu kerajaan Ayyubiyah, tetapi juga berjaya merampas semula Bairul Maqdis daripada tangan tentera Kristian berikutan kemenangan tenteranya di Hittin. Akan tetapi selepas kematian beliau, keadaan umat Islam menjadi lemah semula disebabkan perbalahan yang berlaku di kalangan kaum keluarga Salahuddin. Di samping itu, muncul pula tentera Mongol yang telah memusnahkan kota-kota Islam. Akan tetapi dengan kemunculan kerajaan Mamluk (Mamalik)di Mesir telah menyelamatkan umat Islam daripada diancam tentera Mongol selepas memenangi dalam perang di Ain Jalut. Pada masa yang sama kerajaan Mamluk berjaya menyingkir tentera Salib dari bumi orang Islam. Ini bererti dengan adanya cabaran tentera Salib menyebabkan umat Islam cepat sedar dan segera bersatu. Kesan politik yang positif daripada Perang Salib juga dapat dilihat dari sudut melemahkan kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine merupakan benteng pertahanan yang kukuh bagi tentera Kristian sejak berabad-abad lamanya. Gerakan tentera Salib sendiri sering bersandarkan bantuan dan sokongan kerajaan Byzantine ketika menentang kerajaan Seljuq. Akan tetapi akhirnya kerajaan Byzantine sedar bahawa gerakan tentera Salib adalah lebih berbahaya daripada kerajaan Seljuq. Oleh sebab itu berlaku pertentangan sesama mereka khususnya perebutan kuasa ke atas wilayah-wilayah di Syria yang ditakluki oleh tentera Salib khususnya ke atas wilayah Antakiyah. Perbalahan ini sudah tentu melemahkan kekuatan dan semangat kerajaan Byzantine yang pada ketika itu sangat-sangat diperlukan oleh tentera Salib bagi menentang tentera Islam. Pada tahun 1204 M tentera Salib telah menyerang Constantinople dan sekaligus melenyapkan kerajaan Byzantine dan telah digantikan dengan sebuah kerajaan feudal selama setengah abad. Walaupun kerajaan Byzantine telah dapat dihidupkan semula pada tahun 1261 M tetapi keadaannya terlalu lemah untuk menandingi kekuatan baru Islam di bawah pimpinan kerajaan Turki Uthmaniyah. Kerajaan Byzantine berakhir pada abad ke-15 M. Kesan Tamadun di Barat Sejarah telah membuktikan bahawa Eropah Barat pada zaman pertengahan hingga abad ke-11 M masih dalam kemunduran. Pada masa yang sama orang-orang Islam di timur dan Sepanyol hidup dalam keadaan makmur dan ber-tamadun. Dengan tercetusnya Perang Salib menyebabkan keadaan di Eropah Barat berubah dan menjadi lebih makmur dan maju. Antara sebab-sebab berlakunya kesedaran dan kemakmuran di Eropah Barat pada abad ke-12 adalah kerana tercetusnya Perang Salib.


Perkembangan Ilmu Pengetahuan


Dalam tempoh Perang Salib selama lebih 200 tahun itu orang Eropah telah berpeluang menimba ilmu pengetahuan daripada orang Islam. Sepertimana biasa perkembangan ilmu pengetahuan memerlukan keadaan dan suasana tenang dan aman. Oleh sebab keadaan di Syria dan Mesir dalam tempoh Perang Salib dari abad ke-11 M hingga ke-13 M sentiasa dalam keadaan peperangan maka tidaklah berlaku perkembangan ilmu pengetahuan secara meluas di situ. Akan tetapi keadaannya berbeza di Sepanyol dan Sicily. Ketika Syria dan Mesir diserang oleh tentera Salib, di Sepanyol (Andalus) dan Sicily berlaku kegiatan ilmiah seperti penulisan dan terjemahan. Namun begitu, masih terdapat juga hubungan intelektual antara orang Kristian dengan Islam di negeri Syria khususnya yang bersangkutan hal-ehwal peperangan seperti seni peperangan, pembinaan kubu pertahanan orang Islam dan sebagainya telah ditiru oleh orang-orang Eropah. Mereka telah belajar cara bertahan, cara menggunakan senjata manjanik, menggunakan perisai dan cara berkomunikasi menerusi burung merpati. Mereka juga belajar cara membina kubu pertahanan. Sebagai contoh, kubu pertahanan Chateau Gaittard dan kubu pertahanan Norwich yang dibina di Eropah Barat pada abad ke-12 M menyamai kubu pertahanan orang Islam di Syria.
Di samping itu, mereka turut.terpengaruh dengan cara hidup orang Islam seperti jenis makanan. Beberapa jenis tumbuhan dan tanaman yang terdapat di kawasan Laut Mediterranean seperti padi, limau, tembikai, bawang putih dan tebu telah dibawa dan ditanam di Eropah. Begitu juga barang-barang perubatan seperti akar kayu, rempah, gam yang diimport dari negeri-negeri timur dibawa ke Barat. Mereka tertarik juga dengan kolam-kolam air yang dibina di Syria. Akhirnya mereka membawa pulang idea pembinaan kolam renang dan cara-cara menggunakannya.


Kesan Sosial dan Politik


Perang Salib juga telah mengubah masyarakat Eropah daripada dikongkong oleh gereja kepada kelahiran golongan feudal dan saudagar. Golongan feudal berusaha meluaskan kawasan tanah dan wilayah kekuasaan mereka. Golongan saudagar pula berlumba-lumba mencari barang-barang perdagangan dan pasaran serta membuat berbagai-bagai urusan dan perjanjian perdagangan dengan negara-negara luar termasuk negara-negara Islam. Kedua-dua golongan di atas sentiasa mencari peluang dan kepentingan diri mereka sendiri. Hal ini sudah tentu boleh melemahkan tentera Salib. Pada waktu itu juga pengaruh gereja mula merosot. Institusi gereja dan ajaran agama Kristian sering dicabar. Sebelum Perang Salib berlaku, masyarakat Eropah Barat telah dikongkong oleh golongan feudal yang maha tuan-tuan tanah telah berkuasa dan bermaharajalela ke atas kaum tani. Mereka dipaksa mengerjakan tanah pertanian untuk kepentingan tuan-tuan tanah yang terdiri daripada kaum pemerintah dan bangsawan. Akan tetapi setelah berlakunya Perang Salib menyebabkan sistem feudalisme itu tergugat kerana setiap rakyat Eropah tidak kira kaya atau miskin terpaksa menyertai peperangan. Pihak tuan-tuan tanah tidak berupaya menyekat para petani daripada menyertai peperangan demi mempertahankan maruah gereja dan agama Kristian. Oleh itu pemilik-pemilik ladang menghadapi masalah ke-kurangan pekerja. Keadaan ini secara beransur-ansur telah melenyapkan sistem feudalisme di Eropah. Sistem feudalisme juga melibatkan politik dan pentadbiran. Dengan adanya sistem ini secara tidak langiung melemahkan sistem pemerintahan pusat kerana setiap pembesar wilayah yang sekaligus menjadi ketua golongan feudal mempunyai kuasa dan tentera sendiri. Mereka ini bebas menentukan raja yang hendak dipilih. Ertinya raja yang dipilih itu pula boleh dilucutkan bila-bila masa sahaja oleh golongan feudal. Dengan tercetusnya Perang Salib keadaan ini telah bertukar dengan kuasa raja dan kerajaan pusat menjadi lebih berkuasa. Malah golongan feudal dipaksa memberi sumbangan bagi mempertahankan maruah agama dan bangsa. Ramai di kalangan mereka telah tampil ke hadapan untuk rnemberikan sumbangan harta benda, wang dan juga tenaga. Jika sebelum ini tentangan mereka ditujukan pada raja, tetapi dalam Perang Salib tentangan itu dihalakan pada orang Islam. Malah ada di kalangan mereka terpaksa berhutang dan bergadai bagi membiayai Perang Salib. Keadaan ini sudah tentu boleh melemahkan pengaruh golongan feudal. Di samping itu, timbul pula persaingan di kalangan raja-raja di Eropah.
Kesan Ekonomi

Selain kesan sosial dan politik terdapat juga kesan ekonomi ke atas masyarakat Eropah akibat Perang Salib. Bagi mengendalikan peperangan ini memerlukan tenaga dan wang yang banyak. Untuk mendapatkan wang tersebut ramai antara mereka terpaksa menjual dan menggadai harta. Peluang ini telah diambil ke-sempatan oleh orang-orang Yahudi untuk membeli harta benda tersebut. Kaum Yahudi merupakan kaum yang paling aktif dalam bidang ekonomi di Eropah. Hasil pembelian harta benda tersebut mereka menjadi kaya-raya. Kesempatan ini juga digunakan oleh mereka bagi menambah kekayaan dengan cara memberi pinjaman dan mengenakan bunga yang tinggi. Justeru itu mereka dibenci oleh puak Kristian, lantas mereka diseksa pada masa Perang Salib. Kesan Perang Salib juga menyebabkan munculnya sistem cukai dalam bentuk barn bagi menggantikan sistem lama yangdiamalkan oleh golongan feudal. Louis VII orang yang mula-mula memperkenalkan sistem cukai baru ini. Tujuannya bagi mengumpulkan wang sebanyak mungkin bagi menanggung beban peperangan dalam serangan tentera Salib Peringkat Kedua. Kadar cukai baru ini ialah satu persepuluh bagi harta benda yang boleh dipindahkan ke atas tokoh-tokoh agama. Dengan nama Perang Salib juga Richard the Lion Hearted mengenakan cukai satu persepuluh ke atas tokoh-tokoh agama. Cukai ini dikenali sebagai Salahuddin Tithe. Jelaslah bahawa Perang Salib telah membawa implikasi ke arah perubahan sistem ekonomi di Eropah. Ini merupakan titik permulaan kepada pembaharuan sistem cukai zaman moden. Kesan Perang Salib dan hubungan antara Barat dan Timur juga telah me-makmurkan beberapa kota atau bandar di Eropah seperti Venice, Barcelona, Marseilles, Narobonne dan lain-lain. Sektor pertanian pula telah beralih ke sektor perdagangan dengan kemunculan tokoh-tokoh perniagaan. Dengan kemajuan yang dicapai oleh pusat-pusat perniagaan di bandar-bandar pantai selatan Eropah telah menjadi ikutan oleh bandar-bandar lain di Eropah. Setiap bandar itu menjadi sebuah unit politik dan ekonomi yang bebas. Kesan Perang Salib ini juga telah membawa kepada perkembangan pembinaan jalan perdagangan, pembinaan jalan raya, pasar membeli-belah serta penggunaan lebih banyak kapal dan pengangkutan laut sama ada bagi tujuan perdagangan atau lainnya. Justeru itu memerlukan lebih banyak syarikat perkapalan bagi mengendalikan pelayaran antara negara-negara Eropah dengan negara-negara di sebelah timur.

Bidang Agama


Golongan Paus merupakan penaja Perang Salib dan mereka telah terlibat dalam peperangan itu dari awal sehingga akhir. Kemunculan Paus bukan sahaja untuk membela agama Kristian tetapi juga bertujuan memperluaskan kuasa gereja dan kepentingan mereka sendiri. Hal ini tidak disenangi oleh pihak istana yang diwakili oleh Maharaja Byzantine. Justeru itu telah menimbulkan perebutan kuasa dan pengaruh antara golongan Paus yang mewakili golongan agama dengan keluarga istana yang mewakili golongan politik dan pemerintah. Atau dengan kata lain, persaingan kuasa antara golongan agama dengan golongan sekular. Pihak gereja telah menggunakan segala pengaruhnya untuk mendapatkan sokongan orang ramai. Bagi menjayakan perang suci ini sudah tentu memerlukan pengorbanan harta benda dan tenaga. Antara cara yang digunakan oleh gereja untuk mendapatkan wang yang banyak adalah dengan mengeluarkan arahan supaya setiap orang memberikan sumbangan. Pada akhir abad ke-12 M pihak gereja telah mencipta suatu undang-undang baru, iaitu sesiapa yang tidak mampu pergi berperang mereka boleh. membayar wang dengan kadar yang telah ditentukan. Sesiapa yang berbuat demikian akan diampunkan dosanya dan taramya samalah seperti orang yang pergi berperang. Bagi tujuan ini pihak gereja telah menyediakan sejenis borang yang dinamakan 'Borang Pengampunan' (Indulgences, Arab: Sukuk al-Ghufran). Borang-borang ini dijual pada orang ramai. Justeru itu pihak gereja berjaya mengumpulkan wang yang banyak.24 Keadaan ini sudah tentu menggugat pengaruh istana. Oleh sebab itulah, maka zaman Perang Salib dikenali sebagai 'Zaman persaingan antara Paus dengan Maharaja'. Walaupun pihak gereja menjadi kaya-raya sejak adanya amalan pengampunan dosa di atas, tetapi dari segi yang lain pula mereka terpaksa membayar cukai sabanyak satu persepuluh yang dikenakan oleh pihak pemerintah, khususnya pemerintah Inggeris dan Perancis sepertimana yang dinyatakan di atas. Sebelum ini mereka dikecualikan daripada sebarang cukai. Pihak gereja telah membantah tindakan kerajaan itu dan mengatakan keengganan mereka untuk menjadikan harta benda gereja sebagai sumber ekonomi negara. Kesan lain daripada peperangan ini adalah pada permulaan abad ke-13 M, pihak gereja telah mengubah sikap dan cara menyebarkan agama Kristian daripada cara berperang kepada cara lemah lembut (diplomasi) dengan menghantar golongan mubaiigh Kristian ke negara-negara Islam. Perubahan ini berlaku di-sebabkan mereka menyedari bahawa langkah awal yang menggunakan kekeras-an dan kekuatan tentera tidak mendatangkan hasil yang diharapkan, malah kerugian nyawa dan harta benda yang banyak yang terpaksa ditanggung oleh mereka di sepanjang Perang Salib. Bagi tujuan ini pada tahun 1219 M pihak gereja Eropah Barat telah menghantar Pope St. Francis of Assisi ke Mesir untuk menghadap Sultan al-Malik al-Kamil bagi tujuan menjelaskan kedudukan ajaran agama Kristian. Setelah itu diikuti oleh beberapa orang lagi paderi ke Mesir dengan harapan supaya rakyat Mesir menerima ajaran Kristian. Louis IX dari Perancis turut menyebarkan agama Krisdan di kalangan tentera Mongol dengan menghantar paderinya bernama William of Rudruquis. Pada tahun 1253 M, Louis IX telah mengarahkan penubuhan sebuah persatuan mubaiigh Kristian. Antara tokoh yang terkenal dalam persatuan ini ialah Raymond Lull dari Sepanyo!. Antara aktiviti persatuan ini ialah mengajar bahasa Arab kepada para mubaiigh Kristian supaya mereka boleh menerangkan agama Kristian kepada orang-orang Arab dan seterusnya dapat membaca kitab-kitab Arab bagi memahami budaya dan pemikiran orang Islam khususnya yang berbangsa Arab. Kegiatan mubaligh Kristian bukan hanya terbatas di negeri Arab tetapi juga di kawasan Afrika dan Asia. Bagi mengendalikan gerakan mubaligh Kristian yang lebih berkesan memerlukan pemahaman tentang banyak bahasa yang digunakan oleh golongan sasaran. Oleh itu pada tahun 1311 M mereka telah mendirikan enam buah institut bahasa untuk mengajar bahasa-bahasa timur di Eropah. Boleh dikatakan kegiatan mubaiigh Kristian ini bermula berikutan kegagalan mereka dalam Perang Salib. Walaupun gerakan ini gagal mempengaruhi orang Islam dan orang Mongol yang kernudiannya memeluk agama Islam, tetapi mereka berjaya menarik ramai penganut agama Buddha dan yang tidak beragama kepada agama Kristian.

Pengetahuan Geografi
Walaupun tentera Salib dari Eropah Barat gagal dalam peperangan dan gagal dalam gerakan mubalighnya, tetapi dari segi maklumat geografi negara-negara Islam yang diperoleh oleh mereka telah membuahkan hasil yang besar. Sebelum berlakunya Perang Salib mereka tidak begitu mengenali keadaan kedudukan geografi negeri-negeri Asia Kecil termasuklah Syria dan Mesir. Akan tetapi dalam tempoh Perang Salib banyak buku tentang geografi telah ditulis dan mendedah-kan kedudukan geografi negeri Syria, Mesir dan Iraq yang menjadi sasaran utama mereka, serta menunjukkan jalan-jalan yang boleh dilalui antara Baitul Maqdis dengan negeri-negeri Eropah Barat. Apabila sasaran tentera Salib menjadi semakin luas maka lebih banyak pula negeri yang diketahui mereka bukan sahaja dari segi lokasi tetapi juga bentuk muka bumi, gunung-ganang, sungai, cuaca, pemakanan dan sebagainya. Apabila kegiatan ekonomi clan perdagangan berubah dan bertambah luas di kawasan Laut Mediterranean dalam tempoh Perang Salib maka kajian tentang keadaan Laut Mediterranean itu pula dibuat serta peta tentangnya dilukis dengan terperinci bagi memudahkan urusan pelayaran. Hal ini dilaksanakan pada akhir abad ke-13 M. Daripada kegiatan mubaiigh Kristian yang bermula pada abad ke-13 M telah membuka mata orang Eropah untuk datang ke negeri-negeri sebelah timur. Misalnya, paderi-paderi dihantar oleh Raja Louis IX kepada kaum dan Raja Mongol telah menyaksikan negeri-negeri yang dikuasai oleh tentera Mongol di Asia Tengah. Berdasarkan maklumat yang diperoleh pada tahun 1271 M, Marco Polo telah memulakan pelayarannya ke benua Asia rrvelalui Mawsil, Baghdad dan Khurasan hinggalah ke istana Raja Mongol. Dari sana beliau meneruskan pelayarannya ke negeri-negeri sebelah timur sehingga ke India, Burma dan China. Dalam perjalanan pulang beliau melalui Sumatera, India dan Pars (Parsi) dan sampai di negerinya Venice pada tahun 1295 M. Dalam tempoh pelayarannya beliau telah mencatatkan segala yang disaksikannya dan kemudiannya dibuku-kan. Walaupun Marco Polo dan rakan-rakannya terdiri daripada ahli perniagaan dan bukan ahli agama, tetapi aktiviti perniagaan dan rancangan memperluaskan aktiviti tersebut merupakan salah satu sasaran penting gerakan tentera Salib. Dalam pada itu mereka dapat meneruskan gerakan mubaligh Kristian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...