Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.

Wednesday, June 25, 2008

Caj PTPTN Dirangka Ikut Syara'


Akhbar Berita Harian bertarikh hari ini, melaporkan bahawa pihak pengurusan PTPTN akan mengenakan caj PTPTN mengikut hukum syara' seperti yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Walau bagaimanapun malangnya perkara ini masih dalam pertimbangan dan tiada keputusan tetap yang diumumkan berkaitan perkara ini. Seharus dan semestinya perkara ini perlu dilaksanakan sejak dahulu lagi, kerana ini melibatkan soal agama yang sudah termaktub secara jelas dalam al-Quran. Riba' walaupun telah ditukar kepada apa jua nama baru tetap haram. berkesempatan bertemu Mufti Perlis baru-baru ini, beliau amat membantah dengan kadar caj perkhidmatan 3% yang dikenakan pihak PTPTN kepada peminjamnya. Begitu juga yang ditegaskan oleh Ust Zaharudin Abd Rahman dalam kuliahnya di Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya dalam satu majlis ilmu anjuran Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya (PMIUM) pada tahun lepas.

Sebenarnya isu caj perkhidmatan PTPTN ini telah lama dikaji oleh mahasiswa sendiri sama ada dilihat dari perspektif agama mahu pun kebajikan mahasiswa itu sendiri. Namun, segala usaha selama ini dipandang enteng oleh pihak PTPTN sehinggalah pada hari ini pihak Majlis Fatwa Kebangsaan menggesa pengurusan PTPTN untuk menukar caj perkhidmatan 3% kepada caj yang berlandaskan syara' iaitu menyebut secara jelas caj pengurusan dan pentadbiran yang terpaksa ditanggung oleh pihak PTPTN.

Semoga langkah yang bakal diambil oleh pihak PTPTN membuka mata kepada semua pihak bahawa pentingnya penerapan muamalah secara Islam diaplikasikan dalam kehidupan, bukan lagi sistem ekonomi yang berlandaskan kapitalis yang mana mengamalkan ekonomi bebas dengan maksud menghalalkan segala bentuk jual beli tanpa memandang sama ada berlaku riba', penipuan atau sebagainya.

Tuesday, June 24, 2008

Apabila Aqidah Bukan Akarnya


Merujuk MyMetro secara online http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20080623095636/Article/index_html dan pastinya banyak lagi kes-kes seperti ini yang tidak diuar-uarkan memperlihatkan betapa masyarakat Islam pada hari ini sudah hanyut tanpa aqidah yang benar. Aqidah yang boleh diibaratkan seperti akar tunjang dalam diri adalah paksi utama keyakinan kita kepada Allah. Masyarakat hari ini terlalu meringan-ringankan agama sehingga sanggup menghina Al-Quran. Lalu terfikir dalam diri, lantaran kerana masalah dalam kehidupan, lalu terus menyalahkan Pencipta (Allah Yang Maha Kuasa). Di manakah nilaian seorang hamba pada Penciptanya? Orang yang mempunyai keimanan dalam diri tidak akan sanggup membuat perkara seperti ini kerana orang yang beriman dengan sebenar-benar iman meyakini qada' dan qadar Allah kepadanya dan melihat musibah yang menimpa dirinya adalah satu hikmah dan ujian daripada Allah.

Kembalilah kepada perkara yang paling basic iaitu keyakinan dan keimanan kepada Allah S.W.T. bukan sekadar lafaz penyaksian kita bahawa hanya Allah Tuhan yang perlu disembah, akan tetapi kebergantungan kita kepada Allah dalam setiap waktu dan bagaimana kita menterjamahkan keimanan kita dalam amal ibadah, perbuatan sehari-hari dan setiap perkataan dan perilaku kita.

Maka, perbuatan menghina al-Quran yang merupakan mukjizat teragung yang dianugerahkan kepada nabi Muhammad S.A.W adalah satu perbuatan yang boleh membatalkan syahadah. Kita perlu mencari penyelesaian daripada masalah ini, pada pandangan ana, pendidikan di rumah dan di sekolah menjadi faktor utama untuk penerapan aqidah dan pemahaman serta praktikaliti tentang Islam dalam kehidupan. Bak kata pepatah " melentur buluh biar dari rebungnya". silibus Pendidikan Islam yang sedia ada juga perlu diharmonikan dan penerapan perkara yang fundalmental seperti aqidah, penerapan Islam secara praktikal dan menyeluruh amat perlu diterapkan dalam silibus Pendidikan Islam seawal Sekolah Rendah. hari ini pelajar hanya mempelajari Pendidikan Islam untuk mendapat keputusan cemerlang tanpa melihat kepentingan subjek ini berkaitan dengan kehidupan keseluruhannya, maka teknik pengajaran & pembelajaran juga perlu diambil kira untuk memastikan penerapan perkara basic tentang Islam ini perlu dihayati oleh pelajar seterusnya diaplikasi dalam kehidupan.

Semua pihak perlu memandang serius akan perkara ini kerana ini adalah isu dan masalah besar umat Islam pada hari ini yang jauh dari panduan aqidah yang benar. Semua pihak perlu berperanan untuk memperbetul keadaan dan mencegah untuk masa akan datang.

Sunday, June 22, 2008

Penulisan: Pengalaman Berharga



Menulis adalah antara minat ana sejak alam persekolahan. Bermula dengan tingkatan 4 sebenarnya. Dulu ana bukanlah berminat dengan bidang penulisan, nak dikatakan Penulisan (Bahasa Melayu) pun dapat B masa UPSR dulu. Kalau ada kerja sekolah untuk buat karangan tak pernah sempurna. Tapi masa di Tingkatan 4 dulu, masa tu tak masuk kelas sebab ada aktiviti lain, jadi kawan ana kata kat ana cikgu ana, namanya cikgu Baharudin Yatim suruh buat karangan dan kena hantar next weeknya. Tiba-tiba semangat menulis tu timbul dalam diri. Dia minta kami buat cerpen pendek sempena Hari Guru. Balik rumah, masa berwuduk ana dapat idea nak tulis cerpen. Jadi lepas solat Asar(Ba'da Asr), ana pun mula menulis sampai ke maghrib. then, malam tu jadilah cerpen ana yang pertama tajuknya "Setitis Embun Pagi" yang mengisahkan seorang guru dan seorang anak murid.

Kisahnya begini...Wajah guru baru yang mengajar pelajar itu serupa dengan wajah ibunya. Pengalaman pahit akibat didera oleh ibu membuat dia sangat takut pada guru baru itu sehingga guru itu mengambil tindakan untuk bertemu dengan neneknya. Setelah mengetahui cerita sebenar yang wajahnya hampir menyerupai wajah ibu pelajar teesebut dan ibu pelajar itu telah dimasukkan ke penjara kerana tuduhan mendera anak, guru itu mula mengambil hati dan berbaik dengan pelajar tersebut. Namun,segala-galanya terlalu pantas berlalu sehinggalah guru tersebut terpaksa bepindah ke tempat lain.Begitulah sinopsisnya...
Masa ana sedang duduki exam mid sem, Cikgu Baharudin datang kepada ana..masa tu baru habis paper, dia kata ana dapat surat jemputan ke Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor. Rupa-rupanya cerpen ana tu dihantar ke pertandingan menulis peringkat negeri. Alhamdulillah, ana peolehi tempat pertama.

Bertitik tolak daripada situ, ana seterusnya mengikuti Perkampungan Penulis Muda Peingkat Negeri. Lepas SPM, ana banyak juga menulis puisi dan cerpen. Tapi taklah sampai dipublish. Sejak menjejakkan kaki ke Asasi Nilam Puri dan kampus Universiti Malaya, ana dah lama meninggalkan arena penulisan. dan sekarang rasanya ana cuba sekali lagi untuk berkecimpung semula dalam bidang penulisan ini. Sekarang mula belajar menulis artikel pula.
Doakan ana dapat menyiapkan sebuah novel. Target ana habis belajar, maka siaplah novel ana, insyaAllah...

Friday, June 20, 2008

Selamat Datang ke Kampus UM!




Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum...

Welcome to New Life...

Selamat Datang ke Kampus UM!!

Buat adik-adik yang berjaya mendapat tawaran dan bakal menjejakkan kaki ke kampus Universiti Malaya, jutaan tahniah diucapkan jua lafaz kesyukuran yang tidak terhingga kerana nikmat Ilahi kepada kita. Dalam beribu-ribu pelajar yang memohon untuk menjejakkan kaki ke menara gading, kitalah insan yang terpilih untuk mendalami ilmu Allah dalam pelbagai jurusan. Melangkah ke alam kampus, bermakna kita sedang bertapak ke alam realiti mahasiswa. Kita bukan lagi budak sekolah, tapi kita bakal bergelar mahasiswa yang memerlukan daya pemikiran yang lebih kritis dan kritikal dalam menilai sesuatu perkara. Mahasiswa perlu mempunyai idealisme tersendiri.

Dalam mengharungi cabaran alam kampus yang lebih mencabar berbanding alam persekolahan, ilmu dan keyakinan diri perlu agar kita tidak hanyut dalam dunia lain. Ilmu bukan sahaja ilmu pelajaran yang kita perolehi semasa di sekolah, tapi ilmu merangkumi ilmu agama dan ilmu kehidupan lainnya seperti ilmu bersosial (bermuamalah) dan lain-lainnya. Kenapa penekanan kepada aspek ini ditekankan dalam wacana ini? ini kerana ilmu dunia dan ukhrawi dilihat sangat perlu disepadukan agar pelbagai pengarauh-pengaruh yang tidak sihat mampu kita tangkis secara bijaksana.

Alam kampus adalah cerminan dunia masyarakat sebenar, kampus adalah medan penyediaan individu yang berilmu sebelum berhadapan masyarakat. tapi, jangan sesekali kita hanya melihat kampus sebagai medan ilmu seperti yang kita perolehi dalam dewan kuliah, namun cabang ilmu yang lebih luas melalui pengalaman berpersatuan dan berkokurikulum. amat malang jika kita hanya mengamalkan 3K semasa berada di alam kampus (Kuliah, kolej dan kafe).

Pembinaan sotf skill dan kendiri individu juga dibentuk melalui program-program ilmiah dan kokurikulum. inilah medan melatih bakat kepimpinan mahasiswa yang dikatakan bakal menjadi peneraju utama negara pada masa depan. Mahasiswa jangan menjadi seperti katak di bawah tempurung yang hanya mampu berpencak dalam bidang jurusan masing-masing, tetapi jahil isu semasa. Mahasiswa yang terkenal dengan julukan "juru bicara ummah" sepatutnya mengetahui isu-isu berkaitan masyarakat agar kita merasai derita, kemelut yang melanda dalam masyarakat, seterusnya mungkin mampu keluar dengan buah fikiran yang bernas dalam membantu kerajaan menyelesaikan isu berkaitan masyarakat.

Buat akhirnya, paradigma kita perlu berubah apabila menjejaki ke alam kampus, buangkan paradigma budak sekolah yang tidak relevan untuk dibawa ke alam kampus. bina paradigma dan sikap yang lebih matang sebagai seorang yang bergelar mahasiswa. Akhir kalam, selamat menghaungi dan menikmati pengalaman alam kampus!!

Ujian Tarbiyah Dari Allah


Salam buat teman-teman. sesungguhnya hidup kita ini tidak lari daripada ujian dan cabaran yang mana memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapinya. Seawal kita terjaga dari lena hinggalah kita melelapkan mata semula, pelbagai bentuk cabaran yang kita hadapi. Namun hari ini, kebanyakan dari kita hanya menganggap ujian dan cabaran hanya dalam bentuk musibah yang menimpa kita, sedangkan ujian Allah maha luas. Ujian Allah meliputi kekayaan, kesenangan, kesakitan, kesusahan dan kesengsaraan. Manusia sering melihat ujian hanya dari sudut kesusahan sedangkan ujian kekayaan dan kesenangan, pangkat dan harta adalah ujian yang lebih hebat kerana kebanyakan kita mudah sedar dan kembali kepada Allah jika menghapai kesusahan, namun berapa ramai yang mengingati Allah ketika berada dalam kenikmatan dan kesenangan hidup???

Kesyukuran kita mudah terungkap apabila kita kecapi kesenangan setelah hadirnya kesusahan, namun sukar sekali mengungkapkan kesyukuran dengan berbuat dalam keadaan kita sentiasa berada dalam kesenangan tanpa merasai kesengsaraan. inilah yang dikatakan kufur nikmat.

Firman Allah dalam al-Quran : "Jika kamu bersyukur (dengan nikmat-Ku), maka akan Aku tambahkan lagi nikmat kepadamu, namun jika kamu kufur maka azab-Ku amatlah pedih"

Kesimpulannya, buat renungan bersama segala nikmat dan musibah yang Allah berikan kepada kita, pandanglah sebagai satu tarbiyah daripada-Nya, yang mana menuntut kesabaran yang tinggi dalam menghadapinya. Keimanan dan keyakinan yang mendalam terhadap Allah akan membuat kita berasa bahagia dalam menghadapi ujian Allah. Ingatlah, selepas kesusahan pasti akan hadirnya kesenangan. Gandakan amalan, tingkatkan keimanan moga-moga beroleh kemenangan di sisi Allah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...