Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.

Wednesday, November 25, 2009

Nafas yang Bersambung


Segala puji-pujian jualah buat Sang Pencipta yang Maha Esa lagi Berkuasa, sehingga tiadalah tandingan selayaknya untuk Dia. Maha Suci Allah dari memiliki persamaan dengan segala sesuatu pun. Maka tekuni dan hayatilah firman Allah yang dinukilkan dalam surah al-Ikhlas itu.

Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Allah itu Esa. Dialah tempat bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan Dia setara dengan segala sesuatu pun”.

Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta kaum kerabat baginda, juga kepada para sahabat, dan seterusnya buat sekalian hamba yang menundukkan diri mereka kepada al-Khaliq, moga-moga sentiasa dalam lembayung rahmat-Nya.

Maka, tiadalah perkataan yang dapat menggambarkan perasaan ini, tatkala jari-jemari ini menari-nari menekan papan kekunci, menitipkan sesuatu buat para pembaca, seterusnya mewarnakan kembali laman yang kian usang ini, lantaran tiada santapan minda untuk pembaca yang berkunjung sejak beberapa lamanya. Kemaafan jualah penulis pohonkan atas segalanya.


Adapun hampir sepurnama sudah mengikut ilmu hisab, penulis membiarkan laman ini kosong tanpa tamu pena, sedangkan pelbagai cerita jualah yang ingin penulis kongsikan bersama para pembaca. Cerita yang sedikit sebanyak terkandungnya pengajaran yang boleh kita petik sebagai panduan hidup akan datang. Sememangnya pengajaran dan pelajaran itu sentiasalah berlegar-legar dalam kehidupan kita sehari-hari, maka amat rugilah jika kita tidak melihat, merenung dan mengambilnya sebagai hikmah yang hilang.

Teringat penulis akan syair yang dikarang oleh Imam as-Syafi'e atas sebab cintanya yang begitu mendalam terhadap ilmu;

" Tidak patut aku bersikap ghairah terhadap sesuatu,

apabila aku tidak punya ghairah terhadap ilmu,

Bagaimana tidak, selama tiga puluh tahun,

ia merupakan pengubat hati, penenang otak

dan penyelamatku dalam duka cita..."


Begitu juga dengan cita-cita yang pernah diungkapkan oleh Ibn Hazm;

"Cita-citaku adalah ingin mendapatkan ilmu yang banyak. Lalu ilmu itu aku sebarkan ke seluruh pelusuk negeri ini. Aku juga akan menyeru orang-orang untuk mengikuti al-Quran dan hadis di saat kita lupa. Aku juga akan pergi ke seluruh pelusuk negeri ini untuk berjuang tidak kenal menyerah".

Terkesanlah hati penulis pada kata-kata itu sehingga penulis sendiri pun merenung dan mencari-cari di manakah hikmah itu tersembunyi di sebalik helaian kisah kehidupan dan berusaha juga mencari dan menyebarkan ilmu itu walaupun sedikit.

Adapun menurut ilmu hisab itu, tiga puluh hari itu bukanlah angka yang kecil jika dibandingkan dengan angka satu atau jua angka dua puluh sembilan. Maka apabila disandarkan tiga puluh hari pada peredaran bulan, sudah banyak kali bertukar fasanya, dari anak bulan, bulan sabit, bulan separa, bulan purnama dan berputar semula sehingga bertemu semula dengan anak bulan. Maka untuk angka tiga puluh hari yang telah berlalu dalam diari hidup penulis itu, pastinya sudah banyak juga tercatatnya peristiwa-peristiwa yang mewarnai kehidupan ini, mungkin ada peristiwa yang menggembirakan, juga peristiwa yang membuat hati pilu, sedih, marah atau juga pelbagai lagi emosi lain yang banyaknya hasil tindak balas sistem saraf pada aktiviti dan tindakan serta persekitaran.

Namun, bukanlah hajat penulis ini untuk mencoret setiap aktiviti atau memberi maklum akan diari kehidupan penulis pada tiga puluh hari yang sudah. Penulis lebih suka menyaring dan memilih cerita yang pada kiraan penulis boleh memberi ingat dan diambil intipati pengajaran oleh pembaca berkenaan cerita atau peristiwa tersebut.

InsyaAllah untuk entri yang seterusnya akan penulis berkongsi pengalaman dan ilmu berkaitan kehidupan sebulan lalu, agar sedikit sebanyak dapat diambil iktibar. Adapun untuk entri pada kali ini, sukalah penulis berkongsi ilmu barang sedikit berkaitan keperluan sebagai penuntut ilmu yang sempat penulis baca karangan Dr. 'Aidh bin Abdullah al-Qarni, dalam buku beliau "Aku, Buku dan Cinta". Dalam buku beliau ada mengatakan bahawa Imam al-Mawardi menukilkan dalam kitabnya yang berjudul Adab al-Dunya wa al-Din;

"Ketahuilah setiap sesuatu yang diinginkan pasti memiliki penggerak dan penggerak itu ada dua macam; hasrat dan rasa takut. Seseorang penuntut ilmu, harus memiliki hasrat dan rasa takut; hasrat untuk mendapatkan pahala daripada Allah bagi orang yang mengharapkan keredhaan dan menjaga perintah-Nya, dan rasa takut daripada hukuman Allah bagi orang yang meninggalkan perintah dan memandang remeh ancaman-Nya.

Ketika hasrat dan rasa takut itu bersatu, ia akan membawa kita kepada kewujudan ilmu dan hakikat zuhud, kerana hasrat adalah pendorong terkuat untuk belajar dan rasa takut adalah penyebab utama dalam berzuhud.

Orang bijak pernah berkata:

"Inti dari ilmu adalah hasrat keinginan. Buahnya adalah kebahagiaan dan inti daripada zuhud adalah rasa takut."

Ketika ilmu disertakan dengan zuhud, maka sempurnalah kebahagiaan seseorang manusia dan kemuliaan pun akan dia perolehi. Dan bila mana keduanya tercerai berai, maka alangkah celakanya nasib seseorang manusia. Keduanya akan merosak bila terpisah. Alangkah buruknya bila kita memiliki salah satunya sahaja."

Mudah-mudahan perkongsian yang sedikit ini mampu memberi kesan pada hati kita, melonjakkan rasa mahu, dan menggerakkan anggota kita untuk tindakan bagi memenuhi hasrat kita. Wallahu'alam.



p/s: Maka pastinya para pembaca tertanya-tanya mengapa gaya bahasa penulis ini, agak berlainan dari tulisan-tulisan penulis yang terdahulu. Adalah diceritakan bahawa gaya penulisan kali ini agak terpengaruh dengan bahan bacaan yang baru selesai penulis baca. Mungkin 0.0001% sahaja sama dengan gaya tulisan novel seorang penulis tersohor tanah air, Faisal Tehrani, karyanya “Ketupat Cinta”. Sungguhpun buku itu pada hakikatnya, sudah lama juga dalam simpanan penulis, iaitu sejak dibeli pada pesta buku yang lepas di PWTC Kuala Lumpur, sewaktu terserempak dengan Faisal Tehrani di pesta buku tersebut (29 Rabiul Akhir 1430H bersamaan 25 April 2009) sehinggalah novelis itu selamat bergelar suami. Sudah sekian lama, baru kini juga sempat penulis cermati tulisan beliau.

Friday, October 9, 2009

Salam Bahagia

Salam bahagia buat sahabat-sahabat yang telah melangkah ke alam rumah tangga, mengambil satu lagi sunnah Nabi Muhammad S.A.W baru-baru ini. Buat sahabat-sahabat perjuangan,ukhti Rabihah dan pasangannya,ukhti Noor Hanan dan pasangannya, akh Rahimi dan pasangannya, sahabat lama, Siti Nor Azrin dan pasangannya, juga tidak dilupa kepada junior penulis, akh Fahmi dan pasangan serta senior, ukhti Khairul Izza dan pasangannya, yang selamat diijabqabulkan dalam bulan Syawal ini. Banyak sekali berita gembira yang sampai ke pengetahuan penulis berkenaan sahabat-sahabat seperjuangan yang akan membina istana bahagia tidak lama lagi. Maka, penulis juga berasa gembira untuk menyampaikan ucapan salam bahagia buat semua bakal suami dan isteri yang akan melaksanakan sunnah Rasulullah itu pada tahun ini. Semoga melangkahnya kalian ke fasa seterusnya akan menumbuhkan benih-benih Islam dan seterusnya melahirkan generasi dakwah yang akan menyambung mata rantai perjuangan Islam kelak. Bertambahnya bilangan baitulmuslim ini, penulis mendoakan akan berkembangbiaklah mujtama’ muslim yang dapat menghayati nilai-nilai Islam dalam hidup seterusnya memudahkan jalan untuk pembinaan daulah Islamiyyah.

Jutaan tahniah juga buat kakanda penulis sendiri, Nooranizah Ismail yang selamat melahirkan cahaya mata kembar pada 17 Ramadhan lepas, juga buat ukhti Noor Syuhada Mustafa dan ukhti Nurul Ainain yang juga selamat melahirkan permata berharga masing-masing pada Ramadhan dan Syawal ini. Buat pasangan sahabat seperjuangan penulis yang baru sahaja bergelar ibu dan ayah iaitu Fatin Nuraini dan Muhamad Haafizuddin, semoga zuriat yang lahir ini akan menjadi permata yang akan bersama-sama berjuang menegakkan kalimah Allah di bumi ini.

Anak saudara penulis yang selamat dilahirkan pada 17 Ramadhan 1430H yang lalu

Sunday, August 30, 2009

MENUJU JALAN PULANG


SEBUAH BERITA

Baru beberapa hari umat Islam menjalani ibadah puasa, memasuki madrasah tarbiyah pada Ramadhan kali ini. Tahun ini penulis bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa bersama ibu dan keluarga di kampung, berbanding tahun-tahun sudah yang hanya berkesempatan sehari dua sahaja berpuasa bersama mereka. Sudah pastinya suasana berbeza dengan suasana kampus dahulu. Kalau di kampus, untuk hampir empat tahun syang lalu, pastinya penulis sibuk mengurus program bersama sahabat-sahabat untuk mengisi Ramadhan kepada warga kampus, juga keliling Kuala Lumpur, menunaikan ibadah sunat Tarawih di masjid-masjid, dan kadang kala berbuka puasa di sana bersama sahabat-sahabat seperjuangan.

Lain pula suasana di kampung, menyediakan juadah berbuka dan bersahur sendiri untuk keluarga.

Atuk saudara tiba-tiba muncul ketika penulis sedang mengemas rumah. Hati penulis berdebar-debar.

“Dari mana tuk busu? (panggilan kepada atuk saudara)” Tanya penulis sambil bersalaman.

“Dari ziarah orang meninggal. Tak ada orang maklumkan ke, mak long Lah kamu meninggal malam tadi. Baru lepas kebumi…”

Penulis menggeleng kepala, tanda tiada maklumat yang sampai kepada kami sekeluarga.

Innalillahi wa innailaihi raajiuun…”

Lembaran diari lepas diselak kemas oleh minda penulis. Bermula dengan kepulangan penulis dari Oman beberapa bulan yang lalu, penulis disambut dengan pemergian isteri kepada atuk saudara di Muar,diikuti dengan suami arwah sebulan selepasnya. Kemudian, perginya jiran terdekat dengan penulis, juga berita-berita kematian mengejut daripada orang-orang yang terdekat dengan penulis.

“ Ya Allah, ramainya yang telah Engkau jemput pulang bertemu dengan-Mu, bila pula hamba-Mu ini ingin Kau jemput?”Penulis bermonolog sendirian.


TIKA CAHAYA MENYINAR


Di hujung kamar itu, di bawah samar-samar cahaya, dia merintih sendirian di atas sejadah cintanya. Butir-butir mutiara jernih jatuh berguguran bersama penyesalan atas sikap dan perilakunya pada hari-hari sebelumnya. Dia masih ingat, ketika dalam kembara dalam menuju negeri-Nya, dia terjelepuk di pertengahan jalan, dan disapa oleh seekor rama-rama yang indah. Rama-rama yang berwarna-warni yang menari riang di hadapannya begitu memukau dan mempesona, sehingga membawa dia ke satu daerah yang tidak pernah dia temui sebelum ini. Daerah yang dihiasi bunga-bungaan indah berkembang mekar dan mengharumkan, juga tumbuh-tumbuhan yang tumbuh subur menghijau sehingga membuatkan pemandangan tampak begitu indah. Sedang asyik menikmati keindahan alam, mentari yang bersinar mulai melabuhkan tirainya, dan tiada lagi cahaya yang menerangi daerah itu.

Dia mencari-cari jalan untuk keluar dari daerah itu, namun dia kebuntuan. Jalan yang dia lalui siang tadi, belum pun ditemui. Dia baru tersedar, rama-rama indah bersama taman yang mengasyikkan itu hanyalah nikmat dunia yang berjaya melalaikan dia dari tujuan asalnya, mengembara menuju negeri-Nya. Dia menangis, menyesali kesilapan dan kealpaannya. Dia sedar bahawa nikmat dunia itu telah berjaya melupakan dia pada Kekasihnya. Dia merintih sayu, memohon keampunan pada Tuhannya. Banyak kali dia beristighfar, dan memohon petunjuk dari Tuhannya. Dalam sujudnya, dia merayu dikembalikan pada jalan asalnya.

Ya Allah, jangan Engkau biarkan aku terus dalam kesesatan dan kehinaan di sisi-Mu, maka ya Allah tunjukilah aku jalan yang lurus, kurniakan aku taufiq dan hidayah-Mu…”

Dalam esak tangis itu dia terlihat cahaya putih yang bersinar, seakan tersenyum padanya. Dia berjalan mengikut cahaya itu sehingga menemukan dia kembali pada jalan pertama yang dia lalui. Dia mengucapkan syukur pada Tuhannnya, dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Dia meneruskan perjalanannya seperti biasa dengan semangat yang baru dan lebih berhati-hati dalam mengecapi nikmat dunia di sepanjang perjalanan kembara ini.

Air mata taubat berlinangan membasahi pipi dan sejadah cintanya, biarlah dosa lalu yang menodai cintanya pada Tuhan berguguran. Dia perlu memugarkan kembali cinta dia pada Tuhannya, agar sepanjang kembara menuju negeri-Nya itu sentiasa mendapat lembayung rahmat dan kasih sayang Ilahi. Dia sedar dengan bekalan ilmu dan amal yang sedikit, belum cukup untuk sampai kepada negeri yang ditujunya. Langkahnya perlu diteruskan dan dia pasti perlu berusaha lagi. Dia menengadah ke langit dan menadah tangan memohon agar Tuhannya memberi kekuatan kepadanya untuk meneruskan perjalanan kembara ini, menunjukinya jalan kebenaran dan membalikkan kebatilan.

Kupancarkan karya indahku di ufuk-Nya,

Kusegerakan langkahku menuju negeri-Nya,

Indahnya pemandangan dan suasana malam

gembira, takkan pernah menggoyahhkan tekadku.

Kutinggalkan lembah cinta dengan hati yang berat.

Tapi, kuyakin kelak tidak lagi merasa kesepian dan penderitaan itu.

Kuseru nama Allah Yang Maha Mulia.

Kudakap segenap tulang rusukku kerana takut akan panggilan-Nya.

(Dr. ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni)

Hari esok pasti datang, namun nyawanya belum tentu panjang. Dia kembali tenggelam dalam asyik mengagung Tuhannya.

Sunday, August 23, 2009

Ramadhan Terakhir


"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan bagi orang-orang sebelummu, agar kamu bertakwa"

[Al Baqarah:183]

Ramadhan kembali menjengah diari hidup muslim saat ini. Hadir dengan menawarkan ganjaran yang tiada tolok bandingnya kepada umat Islam untuk berlumba-lumba meraih perhatian dan kasih sayang Allah. Semalam sudah pun bermula ibadah sunat tarawih, yang pastinya hanya ketemu dalam bulan yang mulia ini sahaja. Dan siangnya, bermulalah ibadah puasa buat umat Islam di Malaysia. Alhamdulillah, dapat ketemu Ramadhan al-karim sekali lagi dalam hayat penulis.

Bulan Ramadhan biasanya terkenal dengan jolokan madrasah tarbiyah. Ya madrasah tarbiyah yang mendidik umat Islam untuk menundukkan hawa nafsu dan mentarbiyah umat Islam untuk kembali kepada Sang Pencipta. Fenomena biasa yang kita temui di bulan Ramadhan,

Jika sebelum Ramadhan tiada tudung menutupi kepala, bila tiba bulan Ramadhan bertudung kerana alasannya puasa, nak pahala lebih,

Jika sebelum Ramadhan surau dan masjid-masjid lengang, sehinggakan nak mendapatkan satu saf penuh pun susah, namun bila tiba bulan Ramadhan berduyun-duyun umat Islam ke masjid-masjid, nak tunaikan solat sunat tarawih berjemaah seperti yang dituntut,

jika sebelum Ramadhan nak bersedekah seringgit pun susah, tapi bila tiba Ramadhan sudah jadi pemurah dan derwaman,

dan banyak lagi fenomena yang kita jumpa…”

Memang bagus jika ada golongan yang menghormati bulan Ramadhan seperti yang penulis gambarkan seperti di atas, namun hakikatnya amat malang untuk golongan seperti ini kerana selepas berlalunya Ramadhan, keadaan mereka kembali seperti asal yakni sebelum Ramadhan. Lalu tarbiyah yang diterima dan pengorbanan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan juga berlalu sahaja seperti berlalunya Ramadhan. Maka sudah barang pasti perkara ini sia-sia untuk insan yang benar-benar ingin meraih cinta dan kasih sayang daripada Allah.

Maka, para pembaca yang budiman, apakah maksud madrasah tarbiyah? Adakah hanya terima tarbiyah dan didikan dalam bulan Ramadhan, namun bila habis Ramadhan segalanya kembali asal seperti kehidupan dahulu atau bagaimana? Umat Islam atau muslim yang berjaya dalam bulan Ramadhan ialah apabila dia dapat mengambil peluang mendekatkan dirinya kepada Allah serta merasai penghayatan Ramadhan dan sehingga mencorakkan dirinya ke arah yang lebih baik selepas berlalunya bulan Ramadhan iaitu dalam mengharungi bulan-bulan yang lain dalam konteks mengaplikasikan tarbiyah Ramadhan.

Ambillah peluang keemasan yang Allah khususkan untuk hamba-hambaNya, yang tiada kita temui melainkan dalam bulan yang barakah ini sahaja. Biarlah nafas ini menjadi tasbih, tidur kita menjadi ibadah, tiap tutur menjadi zikir agar setiap laku, perbuatan, dan perkataan serta diam kita ini dikira oleh Allah Ta’ala sebagai amalan soleh. Perbanyakkan doa, dan mohon keampunan daripada Allah kerana bulan Ramadhan itu adalah rahmat, pengampunan dan dihindarkan kita daripada api neraka. Bulan ini, Allah bukakan untuk hamba-hambaNya pintu syurga seluas-luasnya agar hamba-hambaNya merebut peluang ini dalam mendekatkan diri kepada-Nya dan menjadi hamba-Nya yang bersyukur.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:

"Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu neraka dan setan-setan dibelenggu "

(Nombor hadis dalam kitab Sahih Muslim: 1793)

Penulis mengingatkan diri penulis sendiri dan para pembaca sekalian, bahawa Ramadhan yang hadir ini mungkin merupakan Ramadhan terakhir buat kita, kerana bila-bila masa sahaja, malaikat Izrail akan datang menjemput kita untuk bertemu Tuhan. Maka, sebelum tiba saat itu, rebutlah peluang selagi ada ruang, berusahalah meraih cinta-Nya selagi kita masih berupaya sebelum pergi selama-lamanya, ya pergi yang tidak akan kembali. Maka, janganlah kita tergolong dalam golongan yang rugi yang menangisi dan menyesali kehidupan di dunia kerana perbuatan kita yang culas dan alpa daripada mengingatinya.

Semoga Ramadhan ini akan memberi seribu penghayatan dan keinsafan kepada kita untuk terus menambahbaik dan memperbaiki amalan dalam jalan menuju redha Ilahi.

Saturday, July 18, 2009

RANCAKKAN USRAH


Hati penulis berbelah bahagi. Ada tiga pilihan untuk penulis. Pilihan pertama adalah perancangan asal penulis, kedua pula keinginan penulis, dan pilihan ketiga pula, pada perkiraan penulis adalah tanggungjawab penulis. Penulis akhirnya untuk memilih yang ketiga, menjadi fasilitator untuk Kursus Nuqaba’ di salah sebuah universiti swasta. Melewatkan perancangan asal untuk pulang ke Johor dan memadamkan hasrat untuk mengikuti kongres Pendidikan Islam (KO-SPINS) anjuran GAMIS di Shah Alam. Pilihan kali ini dirasakan tepat kerana pembinaan nuqaba’ untuk kelangsungan tarbiyah di universiti tersebut lebih utama.

Penulis bersyukur kerana ditemukan dengan adik-adik serta sahabat-sahabat daripada universiti tersebut, yang dengan rela hati untuk menjadi nuqaba’. Tanpa kesedaran yang tinggi untuk dakwah Islam, pastinya tidak mudah untuk mereka ke program seperti ini. Lebih-lebih lagi mengorbankan waktu cuti semester yang biasanya diisi dengan aktiviti bersama keluarga, juga semester pendek yang sudah hampir kepada peperiksaan akhir. Alhamdulillah, kesedaran Islam itulah yang mengikat hati mereka untuk berdakwah. Penulis sedikit cemburu dengan universiti tersebut kerana program seperti ini mendapat sokongan daripada pihak HEP sendiri. Alangkah bahagianya jika UM seperti itu juga. Namun, semuanya ada hikmah yang Allah ingin kita perhalusi dalam setiap perkara dalam hidup ini. Kita yang perlu merebut setiap peluang yang hadir dalam hidup kita.


USRAH BERSIFAT DINAMIK

Usrah bukanlah perkara yang wajib untuk tarbiyah. Namun, pada waktu ini usrah dilihat sebagai sistem yang terbaik untuk mengukuhkan kefahaman dan mentarbiyah generasi pada masa ini serta membentuk individu muslim yang baik. Usrah merupakan medan dakwah yang dapat memberi kefahaman Islam kepada mad’u di samping mengikat serta mengukuhkan ikatan ukhuwwah, membangunkan kemahiran diri serta bertukar-tukar pandangan mengenai banyak perkara.

Dalam lapangan masyarakat yang dihimpit dengan kehidupan Jahiliyyah dan dipakaikan pakaian mewah sehingga melupakan indahnya kehidupan sebagai seorang muslim, maka para daie pada hari ini perlu bijak dalam mengenal dan memilih pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat.

Tarbiyah itu adalah bersifat dinamik, maka usrah itu juga perlu dipelbagaikan method pelaksanaannya, agar bersesuaian dengan mad’u. Usrah bukan hanya halaqah di surau-surau bahkan konsep usrah ini perlu diperluas, sehingga para daie perlu keluar daripada kepompong minda yang lapuk. Mengenalpasti dan memperhalusi pendekatan usrah berdasarkan mad’u yang punya pelbagai watak dan gaya perlu dipandang serius kerana dakwah ini adalah melalui method yang berhikmah dan sangat halus sehingga mampu terkesan pada hati mad’u seterusnya mengetuk pintu hati mereka untuk terus mendalami ilmu Islam.

Kelesuan usrah pada hari ini dilihat daripada kurangnya kesungguhan para naqib dan rigidnya pendekatan sehingga wujud jurang di antara mad’u dan naqib. Naqib perlu mencari titik sepunya di antara dirinya dan anak-anak usrahnya agar titik sepunya itu menjadi suis agar dapat menyalakan lampu ukhuwwah dan seterusnya menerangi jalan penyampaian dakwah yang lebih berkesan.


ANDA MAMPU MENJADI NAQIB

Naqib memainkan peranan dalam menyampaikan mesej dakwah kepada mad’u dalam membentuk individu muslim yang sebenar. Dalam hal ini, naqib perlu bijak menarik hati mad’u dengan pelbagai pendektan. Naqib perlu mencungkil bakat dan potensi diri yang ada seterusnya mengembangkannya untuk memaknakan dakwah agar terkesan pada hati mad’u.

Pengalaman menjadi naqib menjadikan seseorang mempelajari dan mempraktikkan sendiri ilmu psikologi kerana dalam menarik perhatian mad’u yang pelbagai latar belakang kehidupan kepada dakwah Islam sangat memerlukan psikologi agar dakwah yang kita sampaikan berkesan dan bersesuaian dengan sasaran dakwah.

Sudah menjadi kelaziman bahawa naqib akan menjadi qudwah kepada anak usrahnya. Maka, “islah nafsak wad’u ghairak” sangat perlu diberi perhatian oleh setiap naqib. Diri kita bukanlah sempurna, namun kita sentiasa perlu berusaha menjadi yang terbaik dalam kehidupan seorang muslim baik dari segi ilmu, hubungan dengan Allah akhlak dan sebagainya. Jangan sesekali menjadikan alasan (diri saya masih teruk…saya belum soleh lagi…) sebagai penghalang untuk menjadi seorang daie. Usaha untuk berhijrah dengan kefahaman Islam yang benar perlu diseiringkan dengan penyampaian dakwah. Rasulullah S.A.W bersabda: “Ballighu ‘anni walau ayyah

KESIMPULAN

Dalam membentuk seorang muslim dan penyampaian dakwah Islam, kita perlu mengambil partisipasi bagi mengubah keadaan masyarakat kita pada hari ini yang kontang dan gersang dengan pengetahuan serta kesedaran beragama. Kita perlu menggembleng tenaga, bersama-sama berganding bahu mengislah masyarakat ini agar kembali kepada Allah. Tiadalah insan lain yang perlu kita harapkan untuk meneruskan perjuangan nabi Allah ini melainkan diri kita sendiri. Gerakan dakwah perlu dirancakkan, gerakan tarbiyah perlu bersifat dinamik agar masyarakat ini mampu diislahkan, insyaAllah.

Tuesday, June 9, 2009

Salam Bahagia Dari Oman

Salamullahi 'alaik, buat sahabat dan sahabiah ana di Malaysia. Ana mohon maaf andai terlambat mengucapkan salam bahagia buat sahabat-sahabat yang melangkah ke alam rumahtangga baru-baru ini.

Pertama buat sahabat ana, Nur Munirah Mohd Fadzir bersama pasangannya yang juga sahabat perjuangan ana, iaitu Mohd Syakir Mohd Rusdi yang selamat diijabkabulkan pada penghujung bulan 5 yang lepas. Mohon maaf ana tidak dapat menghadirkan diri ke majlis pernikahan juga walimatul urus (awal bulan 6) baru-baru ini.
Juga buat kak Syaidatul di Kelantan bersama pasangannya yang mendirikan rumah tangga pada 7hb Jun yang lepas.

Juga sekalung tahniah buat akak senior ana, ukhti Rodhiyah bersama pasangannya, akh Zulkifli yang juga walimahnya pada 7hb yang lepas.

Seuntai Doa Dititipkan

Namun, ana titipkan doa semoga bahtera yang kalian bina mendapat redha Allah dunia dan akhirat. Moga bahtera ini menjadi jambatan dalam meraih cinta Allah, dan akhirnya membina generasi dakwah yang bakal menjadi mata rantai perjuangan kelak, insyaAllah...

Wednesday, June 3, 2009

Pengembaraan Lughah- Bahagian 2

Cahaya mentari bersimbahan ke dalam bilik penginapan penulis bersama teriknya mentari yang terasa membakar kulit. Suhu di wilayah Rustaq mencecah 50°C. Penulis memandang ke langit yang membiru tanpa awan, menyingkap kembali keperitan para Rasulullah dan para sahabat yang tegar menegakkan Islam sungguhpun dengan panahan terik matahari yang membakar, kontang dan gersangnya padang pasir tanpa air membuatkan hati penulis sayu. Bertempur di medan jihad demi menegakkan Islam sehingga nur Islam memancar dan menyinari seluruh pelusuk dunia.

Penulis mengucapkan lafaz syukur ke hadrat Ilahi kerana hingga ke saat ini masih diberi nikmat Islam dan iman. Begitu juga dengan keterlibatan penulis dalam program pertukaran pelajar (Kursus Intensif Bahasa Arab) ke Oman ini. Belajar serta mencari pengalaman berharga daripada negara orang.


Pemandangan sekitar Kuliyyah

Oman sebuah negara aman

Sudah hampir seminggu penulis mengembara ke Oman, iaitu sebuah negara yang masyhur sebagai negara yang bersih dan dikhabarkan bahawa negara ini aman daripada pencuri. Negara yang juga kaya dengan minyak ini mempunyai banyak tempat-tempat bersejarah sejak 500 tahun dahulu. Banyak “qal’ah” atau kubu yang dibina daripada tanah semasa mempertahankan negara suatu ketika dahulu. Pelbagai bentuk dapat dilihat pada qal’ah juga pelabuhan (hushun) lama di Oman. Setiap wilayah memiliki sekurang-kurangnya sebuah qal’ah atau hushun.

Pemandangan Oman yang sempat penulis rakamkan



Qal’ah yang kebanyakannya dibina bersama buruj (menara), menjadi tempat pertahanan masyarakat negara ini terutama dalam menentang Portugis suatu ketika dahulu. Oleh yang demikian, seni binanya dibina bersesuaian dengan peranan tersebut, dan dilengkapi dengan senjata. Antara senjata yang digunakan pada masa dahulu adalah (Khanajir-yang menjadi lambing rasmi pada pakaian Sultan dan orang-orang penting negara), pedang-antara yang terkenal ialah pedang ‘Abu Shams’, dan juga senapang. Selain daripada itu, qal’ah dan hushun yang biasanya terletak berhampiran dengan laut, menjadi suatu yang penting dalam urusan perdagangan. Begitu juga berperanan menjadi tempat menuntut dan perluasan ilmu.

Bersungguh mursyid ini menerangkan qal'al dan hushun bersejarah di Oman, ketika ziarah kami ke muzium al-Sayyid Faisal Ibn Ali


Khanajir yang menjadi senjata suatu ketika dahulu, dan sekarang menjadi lambang rasmi negara Oman


Antara haiwan yang terdapat di Oman

Ini pula antara gambar-gambar yang sempat penulis rakamkan buat sahabat-sahabat daripada jendela bas semasa ziarah kami.




Pasar Mathrah yang masyhur di Oman, di Muscat berhampiran dengan laut








Kenangan di hadapan 'Qism 'Alam Sultan Qaboos



Terdapat juga kolam air panas di Oman, antara yang sempat penulis dan sahabiah lain lawati ialah ‘Ain al-Kasfah yang terletak di perkampungan berhampiran gunung, di wilayah Rustaq. Airnya yang bersuhu 45°C, menjadi tumpuan orang ramai untuk mengambilnya sebagai ubat kepada penyakit kulit.


Kejernihan air di 'Ain al-Kasfah



Qal'ah berdekatan 'Ain al-Kasfah



Masjid Sultan Qaboos

Sudah beberapa kali penulis melihat masjid itu daripada jendela bas Kuliyyah iaitu sekali sewaktu pertemuan bersama wakil Menteri Pengajian Tinggi, dan sekali lagi sewaktu ziarah ke museum di Muscat, menyemarakkan perasaan untuk melihat sendiri seni bina dan keunikan masjid tersebut. Akhirnya hajat penulis untuk melangkahkan kaki ke masjid itu termakbul. Kami dibawa melawat ke Masjid Sultan Qaboos yang terletak berhampiran dengan Bandar Muscat.

Masjid yang tersergam indah itu mempunyai seni bina daripada pelbagai negara. Zukhruf-zukhruf yang menjadi hiasan indah di dinding-dinding berbeza mengikut tempat (ruang solat lelaki, perempuan dan bahagian sekitar masjid). Zukhruf-zukhruf tersebut datangnya dari pelbagai negara seperti China, Asbania dan lain-lain. Manakala bahagian syiling masjid pula daripada seni bina Malaysia (hiasan kayu). Dinding-dinding pula diperbuat daripada kayu Hindi dan kayu Ramliah. Terdapat juga ukiran zukhruf yang diukir dengan tangan diperbuat daripada marmar. Manakala ayat-ayat suci al-Quran yang ditulis di dinding-dinding masjid daripada rusm Utsmani dan Diwani.

Bahagian dalam masjid


Ukiran pada pintu masjid


Masjid yang mengambil masa 6 tahun untuk disiapkan ini, walau bagaimanapun hanya digunakan ketika bulan Ramadhan sahaja. Terdapat juga di masjid ini perpustakaan yang dilengkapi kemudahan teknologi, tempat istirehat yang menenangkan, serta tempat mengulangkaji dan membaca yang cukup selesa.


Maktabah yang menyediakan kemudahan yang selesa


Pertemuan yang bermakna


Penulis agak takjub melihat suasana majlis ilmu di Oman ini kerana jumlah lelakinya terlalu ramai, jika dibandingkan dengan jumlah perempuan. Dalam majlis ilmu bersama ‘Aidh al-Qarni yang Dewan Rustaq, di Kuliyyah ini, warna putih memenuhi ruang dewan sehingga tidak tempat tidak mencukupi berbanding warna hitam yang hanya satu bahagian sahaja. Warna putih adalah baju rasmi orang Oman, iaitu baju bagi kaum Adam yang biasanya dipakai oleh kakitangan dan kebanyakan kaum Adam di Oman, manakala ‘Abaa’a yang berwarna hitam adalah pakaian rasmi untuk wanita Omani.

Syeikh‘Aidh al-Qarni

Penulis khusyuk mendengar syarahan daripada ‘Aidh al-Qarni yang pernah penulis kenal sebelum ini melalui penulisan beliau dalam kitabnya ‘La tahzan’, juga beberapa buku lain yang sempat penulis miliki. Bahasa penyampaiannya dalam Bahasa Arab fushah mudah dan ringkas untuk difahami.Banyak sungguh dalil Quran dan Hadith dalam setiap isi pengucapannya. Gaya bahasa yang mudah difahami diselangi dengan beberapa jenaka membuatkan hadirin kagum. Beliau mengajak hadirin yang hadir untuk kembali kepada al-Quran iaitu kitab yang mengandungi segala macam panduan yang dikurniakan oleh Allah kepada umat nabi Muhammad S.A.W. Teerkandung di dalamnya kisah-kisah, tamsilan-tamsilan, segala ilmu berkaitan sians, ekonomi, muamalat mahupun ilmu lainnya.


Nabi Muhammad S.A.W pula adalah qudwah hasanah yang terbaik dalam dakwah baginda. Kewajiban bagi kita sebagai umatnya untuk mengikuti sunnah nabi Muhammad S.A.W, kerana padanya terdapat segala akhlak yang disebutkan di dalam al-Quran. Beliau mengajak hadirin yang hadir meneladani nabi sebagai daie yang berkesan dan tegar dalam perjuangan dakwah baginda.

Beliau juga menekankan kepentingan dalam mendalami ilmu Bahasa Arab kerana bahasa Arab adalah bahasa al-Quran. Maka, perlu bagi kita untuk mendalami bahasa Arab agar kefahaman kita dalam mentadabbur al-Quran turut bertambah. Namun, penulis agak terkilan kerana tiada sesi soal jawab dan masa terlalu terhad. Walau bagaimanapun, pertemuan singkat ini membawa makna besar buat penulis dan sahabiah yang lain.

***********************************

Mentari kembali terbenam di ufuk barat seperti hari-hari kelmarin meninggalkan seribu kenangan dan pengajaran yang perlu dicermati sebagai pelajaran baru untuk menghadapi hari-hari mendatang. Esok bakal menyaksikan episode baru yang akan mewarnai jalan-jalan serta liku-liku kembara hidup di dunia ini dengan warna yang berlainan dengan hari kelmarin. Dan ingatllah akan kata-kata: sesiapa yang hari ini adalah lebih baik daripada hari semalam, maka ia adalah tergolong dalam golongan yang beruntung,, sesiapa yang hari ini adalah bersamaan dengan hari semalam, maka ia tergolong dalam golongan yang rugi kerana tiada hijrah atau perubahan dalam hidupnya.


Pengembaraan lughah seterusnya, insyaAllah dengan pengalaman dan pengetahuan yang baru….

Tuesday, June 2, 2009

Pengembaraan Lughah- Bahagian 1

Penulis melafazkan kesyukuran ketika kapal terbang Gulf Air selamat mendarat di Kapal Terbang Antarabangsa Muscat, Oman. Setelah lebih 12jam perjalanan daripada Malaysia seawal jam 11.30 pagi lagi,kemudian transit selama 6jam di lapangan terbang Bahrain, akhirnya penulis serta 14 orang akhwat yang lain sampai ke Bandar Muscat.

Gambar di KLIA bersama Pengarah APIUM dan Ustaz Fakhrudin, penyelaras Kursus Bahasa Arab


Gambar yang sempat dirakam semasa penerbangan


Sementara menunggu sahabiah yang lain tiba di balai ketibaan, penulis disapa oleh seorang Arab yang tinggi dan sedikit gempal.

Min Malizi? Dia menyapa sambil menunjukkan papan tanda Universiti Malaya kepada penulis.

Penulis mengangguk. Mungkin inilah orang yang menyambut kami dari pihak Oman, penulis meneka. Urusan imigresen berjalan lancar dan mudah, kerana dibantu oleh seorang lelaki Melayu dan dua orang Arab. Penulis meneka mereka daripada Kedutaan Malaysia dan orang besar Oman, kerana hanya orang-orang yang berkenaan sahaja boleh menyambut kami di dalam lapangan kapal terbang.

Kami menolak bagasi ke luar lapangan terbang. Penulis dapat melihat ramai yang menunggu bersama papan tanda masing-masing. Dari jauh penulis dapat melihat seorang lagi lelaki Melayu sedang menunggu ketibaan kami bersama sekumpulan orang Arab.

Mungkin itu Dr Hassan Basri, pensyarah UM yang bertanggungjawab menyambut kami di sini, penulis membuat andaian, dan andaian tersebut sama sekali tepat.

Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum…”

Itulah lafaz yang terucap oleh kebanyakan yang kami temui. Setelah bersalaman, kami bergambar kenang-kenangan di Lapangan terbang. Kemudian kami meneruskan perjalanan selama 2 jam ke tempat pembelajaran kami di wilayah Rustaq.




Di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat, Oman



Tetamu yang Dirai

Dua orang pelajar Oman yang akan sentiasa bersama-sama dengan kami sepanjang Kursus Intensif Bahasa Arab selama sebulan kami di Oman, iaitu Amirah dan Naemah. Tiada bahasa pertuturan melainkan bahasa Arab, itulah pesan seorang lelaki Arab, mungkin daripada pihak Kedutaan kepada kami.

Kami disediakan tempat penginapan yang cukup mewah, pada kiraan penulis, sebuah bilik yang mampu memuatkan 4orang pelajar hanya diberikan kepada setiap seorang daripada kami, bersama kemudahan-kemudahan lain, namun kami memilih untuk berkongsi bilik kerana lebih selesa berteman.

Tempat makan yang selesa

Kenangan bersama Ustazah Syikhah dan Ustazah Mahfuzah yang sangat mesra dan prihatin

Pengembaraan lughah kami bermula pada keesokan harinya dengan pengenalan kepada program dan tempat pembelajaran kami di Kuliyyah al-Ulum al-Tathbiqiyah, di wilayah Rustaq, iaitu 150km daripada Bandar Muscat, Oman. Kemudian, kami dibawa bertemu dengan wakil daripada Menteri Pengajian Tinggi Oman di Muscat. Pertemuan meraikan ketibaan kami dan merupakan pertemuan pertama yang amat bermakna buat kami. Tidak kami menyangka, program pertukaran pelajar ini mendapat perhatian serius daripada Kementerian Pengajian Tinggi Oman dan media. Rupa-rupanya pertemuan dengan wakil Pengajian Tinggi Oman disiarkan di akhbar Oman, begitu juga dengan ketibaan kami di lapangan terbang Muscat semalam. Dua hari berturut-turut berita tentang kami disiarkan melalui akhbar, dan sekali kami ditemuramah di radio Oman, bukan populariti yang kami cari, tapi penghargaan itu yang membuatkan kami terharu sehingga tiada kata yang dapat kami ungkapkan.

Semasa pertemuan bersama wakil Menteri Pengajian Tinggi Oman di Muscat



Kenangan bersama wakil Menteri Pengajian Tinggi Oman



Memuliakan tetamu, itulah keutamaan masyarakat Arab khasnya masyarakat di Oman ini. Selain keramahan para pensyarah dan kakitangan Kuliyyah, kami disambut baik oleh pelajar-pelajar di sini. Tidak kami menyangka, mereka mengadakan persembahan teater khas buat kami. Terima kasih dan syukran lakum



Begitu juga dengan Pengarah Kuliyyah ini, beliau amat prihatin, sehinggakan seorang sahabat kami yang baru sembuh daripada demam diberikan hadiah. Inilah pelajaran pertama kami ketika sampai di sini iaitu memuliakan tetamu.


Sunday, May 17, 2009

Tandusnya Sebuah Kehidupan


Sedih bila tengok pelajar Tingkatan 5 pun tak tahu membaca al-Quran

Seorang sahabat memulakan bicara pada suatu hari. Penulis mengangguk tanda setuju.

Inilah fenomena yang berlaku pada hari ini. Alhamdulillah adik tu ada kemahuan juga untuk belajar, daripada orang yang sombong tiada kemahuan untuk belajar sungguhpun buta al-Quran…”

Penulis menambah. Topik perbincangan kami berkisar mengenai kejahilan masyarakat sekarang pada al-Quran. Perkara ini benar-benar memberi insaf dan sedih kepada penulis.

Masyarakat hari ini dihidangkan dengan pelbagai juadah kemewahan dunia, diajar hidup dalam kehidupan yang materialistik, mengejar pangkat, harta, diberi kenal gaya hidup yang serba mewah, seakan-akan kehidupan di dunia ini adalah segala-galanya. Masyarakat menjadi buta pada permata berharga iaitu agama. Inilah kejayaan masyarakat Barat dalam membentuk masyarakat pada hari ini dalam acuan mereka atas nama sekularisme. Masyarakat terus hidup dalam khayalan dunia yang serba indah, mematikan kehidupan akhirat yang kekal abadi sehingga menyampingkan urusan agama.

Namun, bertuah bagi mereka yang mendapat nur dan hidayah daripada Allah, manusia yang dibukakan hatinya untuk mengenal kembali kehidupan seorang muslim, sungguhpun sudah berpuluh-puluh tahun hidup atas nama muslim.

Saya jemput seorang ustaz ke rumah mengajar kami sekeluarga mengajar Quran…” .

Kata seorang perempuan free hair, yang umurnya pada perkiraan penulis adalah dalam lingkungan 40-an pada suatu hari ketika kami duduk bersebelahan di dalam bas menuju ke Johor. Dia bercerita mengenai hal ehwal keluarganya yang baru setahun lebih mula berinisiatif mempelajari al-Quran. Mereka menjemput seorang ustaz mengajari mereka setiap minggu. Bukan keluarganya sahaja, malah keluarga adik-beradiknya yang lain, yang tinggal berdekatan juga turut sama mempelajari al-Quran. Itu menjadi jadual keluarga mereka sejak setahun lalu. Alhamdulillah Allah memberi kesedaran kepada dia dan keluarganya untuk memahami agama dan al-Quran. Mudah-mudahan daripada langkah permulaan itu akan membuka lebih banyak petunjuk Allah kepada keluarga ini untuk memahami kehidupan seorang muslim yang sempurna.

Inilah realiti masyarakat pada hari ini. Al-Quran terus dikesampingkan. Bermula dengan pendidikan dan pembentukan anak-anak sedari kecil. Apakah perkara yang menjadi halwa telinga anak-anak zaman millenium ini? Apakah didendangkan selawat dan diajari ayat-ayat al-Quran atau dihidangkan dengan muzik kontemporari, hip hop dan hard rock yang nilai moralnya boleh dipertikaikan.

Pantun Melayu yang terkenal sewaktu ketika dahulu ada menyebut:

Buai tinggi-tinggi, sampai cucur atap,

Belum tumbuh gigi, sudah pandai baca kitab.

Pada hemat penulis, pantun-pantun Melayu yang digarap oleh masyarakat dahulu adalah berdasarkan kepada suasana sekeliling, alam semula jadi dan pengamalan masyarakat dahulu. Namun, pada hari ini, frasa “Belum tumbuh gigi, sudah pandai baca kitab” yang menjadi kiasan kepada anak-anak kecil zaman dahulu yang diajar membaca kitab dan al-Quran lebih sesuai ditukar menjadi “Belum tumbuh gigi, sudah pandai hafal lirik” sebagai tamsilan kepada anak-anak zaman mutakhir ini.

Jika kita cermati pendidikan dan pembentukan anak-anak zaman sekarang ini, penulis boleh simpulkan begini:

Anak-anak terlebih dahulu:

diajar menyanyi dan menghafal lirik-lirik lagu,

sebelum diajar membaca dan menghafaz al-Quran.

diberi kenal akan artis-artis,

sebelum diperkenalkan dengan Rasulullah dan tokoh-tokoh Islam.

disibukkan dengan play station,

sebelum diberi kenal kepada tikar sembahyang.

Lalu apakah garapan tarbiyah dan nilai pendidikan yang diberi kepada anak-anak pada masa ini? Anak-anak ini Rasulullah ibaratkan seperti sehelai kain putih, ibu dan bapalah yang mencorakkan kehidupannya. Maka, hasil tarbiyah dan asuhan anak-anak ini sedari kecil oleh ibu bapa mereka yang semacam ini, yang seterusnya melahirkan anak-anak yang tiada dalam jiwanya, nilai penghayatan agama apatah lagi pembinaan ruh Quran dalam diri anak-anak ini. Maka, lahirlah pemuda dan pemudi yang punya pelbagai ragam dan gaya hidup tanpa didasari batasan agama. Inilah yang mewarnai masyarakat kita pada hari ini. Maka, ruh al-Quran yang hilang dalam jiwa anak-anak muda ini, akhirnya membentuk masyarakat yang jauh daripada kehidupan beragama dan berkembangbiaklah kebejatan sosial bagaikan tumbuhnya cendawan selepas hujan. Begitulah yang penulis dapat gambarkan.

Hal yang hampir sama juga yang berlaku di peringkat pendidikan formal atau sekolah. Sekolah adalah tempat pembinaan dan pembentukan pelajar untuk menjadi insan berilmu dan berguna kepada agama, masyarakat. Namun, amat menyedihkan kerana kebanyakan guru atau lebih tepatnya ustaz dan ustazah hanya mengajar pelajaran berdasarkan silibus, tanpa ada inisiatif mengajar perkara asas Islam kepada anak murid terutama berkaitan al-Quran dan solat. Pendidikan Islam hanya dianggap sebagai subjek yang sama seperti subjek-subjek lain, tanpa dilihat sebagai pengetahuan asas yang penting untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian dan utama sebagai panduan hidup untuk kecemerlangan dunia dan akhirat.

Maka, masyarakat perlu sedar bahawa al-Quran adalah panduan hidup dan sumber ilmu yang utama yang dikurniakan oleh Allah hanya kepada umat nabi Muhammad S.A.W yang mengandungi pelbagai ilmu dan pelajaran sebagai panduan kepada kehidupan yang bermakna. Mempelajari dan meneliti al-Quran perlu dijadikan sebagai keutamaan kepada ibu bapa dalam pendidikan kepada anak-anak, juga oleh para guru kepada anak didik mereka agar generasi baru yang lahir adalah generasi yang mampu mempraktikkan dan menghayati isi kandungan serta pelajaran daripada al-quran, seterusnya menjadi pemimpin yang segala gerak geri, kata-kata dan perbuatannya adalah berpandukan al-Quran, bukannya akal semata-mata. Kita impikan generasi al-Quran sebagaimana lahirnya jiilul quran pada zaman Rasulullah S.A.W.

Tuesday, April 21, 2009

SALAM IMTIHAN


Salam imtihan buat semua sahabat-sahabat mahasiswa, moga diberikan kemudahan oleh Allah dalam menghadapi imtihan ini, juga dalam agama, hidup di dunia dan di akhirat. Mohon kemaafan atas segala kesilapan.

"Ya rabbi, yassir wala tu'assir....Aku mohon dari keampunan-Mu, dan berkatilah ilmu yang telah aku pelajari, berilah taufiq dan hidayah-Mu dalam urusanku ini, ya Allah. Hanya kepada-Mu aku menyembah dan hanya kepada-Mu aku mohon pertolongan..."

Sunday, April 12, 2009

Menjelang Saat Itu...

Bertambahlah usia penulis pada penghujung bulan Mac yang lalu, sungguhpun jika dikira pada kalendar Hijri masih lama lagi. Ucapan terima kasih buat sahabat-sahabat yang mendoakan kesejahteraan diri, peningkatan iman dan taqwa, dipermudahkan urusan hidup. Syukran lakum! Syukran kepada seorang sahabat yang menghadiahkan sebuah buku berkaitan dengan wanita kepada penulis. Moga buku itu memberi makna yang mendalam kepada penulis dan menjadi cabaran untuk meraih muslimah solehah di sisi Allah, ameen.

Apabila berbicara soal kelahiran, pastinya akan mengingatkan kita kepada kematian kerana Allah telah berfirman "Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.." Setiap kali pertambahan usia, tidak kisah sama ada bertambah usianya setahun atau dihitung umurnya pada setiap hari, pasti saat menemui Tuhan itu akan kita ingati. Sejauh mana persediaan kita menghadapinya, tepuk dada tanya iman. Jika kita tergolong dari kalangan orang yang bijaksana, maka kita akan sentiasa mengingati mati dan bersedia menghadapinya. Kematian adalah satu muhasabah kepada kita yang masih hidup...

MUHASABAH SEBUAH KEMATIAN

Sekadar Hiasan

Pulang ke rumah agak lewat pada malam itu kerana ada pertemuan dan diskusi dengan sahabat-sahabat UPM yang bertandang ke UM. Berdiskusi berkaitan hal-hal pembinaan rijal al-dakwah. Walaupun masanya agak terbatas, tetapi pertemuan itu amat bermakna. Mata sudah minta dilelapkan, badan sudah lama memberi isyarat keletihan, seharian memerah keringat sungguhpun bukan membanting tulang sepersis petani-petani di ladang atau juga membajak seperti pesawah di bendang. Keringat minda dan penyediaan fizikal menuntut ilmu juga memberikan keletihan pada badan. Penulis gagahkan diri mencapai laptop, dengan hajat untuk menyiapkan kerja-kerja kuliah yang masih bersisa. Sebaik sahaja ke udara melalui Yahoo Messenger yang terbuka secara automatik, seorang sahabat ana menghantar pesanan.

"Nenek kita (pengganti diri untuk sahabat ana) dah meninggal..."

"
Innalillahi wa innailaihiraaji'uun..."

Penulis tersentak. Baru isya' tadi sahabat itu menghantar pesanan bertanyakan mengenai hal neneknya yang sudah lama terlantar sakit.

"Nenek dah lama terlantar sakit dan beberapa kali nazak..."

"..
mungkin kerana sebelum ni dia tak laksanakan @ selalu tinggalkan solat..."
sahabat itu menyambung.


Pesanan yang dihantar isya' tadi melalui Yahoo Messenger yang membuatkan penulis betul-betul insaf. jauh di sudut hati, penulis bersyukur kepada Tuhan dengan perkhabaran terbaru ini kerana Allah telah memudahkan urusan arwah pergi menghadap-Nya. Mudah-mudahan ruhnya mendapat keampunan daripada Allah. Mata yang tadinya minta dilelapkan, kembali celik. Keletihan badan bukan perkara pokokbuat masa ini. Penulis gagahi diri menemani sahabat itu menuju ke utara tanah air, menemaninya pulang dengan kereta. Jam 4pagi, kami tiba di kampungnya. Alhamdulillah, sebelum solat Jumaat jenazah arwah selamat disemadikan.

Sesungguhnya kematian ini adalah satu muhasabah yang sangat besar buat kita yang masih hidup. Apakah agaknya kesudahan untuk sebuah kehidupan kita di dunia? Apakah kita akhiri hayat kita dengan kesudahan yang baik, yang bertemu Tuhan dalam keadaan tenang dan menggembirakan, atau apakah akhirnya hayat kita dengan keadaan yang sebaliknya? Rasulullah kekasih Allah yang maksum juga terasa sakit hingga tidak tertahan ketika sakaratul maut, sedangkan malaikat Izrail mencabut ruh baginda dengan cara yang paling halus, apatah lagi kita umatnya yang punya berbukit-bukit dosa ini.

Wahai jiwa-jiwa yang masih hidup, ingatlah sesungguhnya mati itu adalah pasti. Hitunglah bagaimana keadaan amalan kita kepada Allah? Apakah solat kita selama ini hanya memenuhi sekadar melepaskan batuk di tangga atau solat sebagai seorang hamba yang bersyukur? Bagaimanakah dengan dosa yang kita lakukan? Apakah semakin bertambah atau sudah mula kita kurang dan jauhkan larangan Allah? Ya, sesungguhnya mengingati kematian adalah satu perkara yang baik, namun bersiap sedia menghadapi kematian adalah bukti kebijaksanaan kita.

WARKAH BUAT DIRI



Salamullahi 'alaik…

Buat jiwa yang sentiasa merindui Allah, mengharapkan kecintaan daripada-Nya, sesungguhnya telah bertambah usiamu pada 28hb Mac yang lepas, menjadikan engkau semakin dewasa dan semakin menghampiri kematian. Pada tahun 2009 ini, maka usiamu bertambah menjadi 23tahun. Sudah 23 tahun engkau menghirup udara yang Allah kurniakan, menikmati nikmat daripada-Nya, juga entah berapa banyak dosa yang engkau himpunkan sepanjang kembara hidup ini. berapa banyak pula sumbangan dan amalan yang engkau lakukan untuk Islam dalam meraih redha-Nya?


Wahai jiwa yang rindukan cinta Allah,


Apakah cukup dengan amalanmu sebelum ini untuk meraih cinta Allah?Apakah dosamu yang bertimbun mampu menagih kasih sayang-Nya? Apakah engkau sudah bersedia menemui Tuhanmu sebagai seorang hamba-Nya yang soleh? Sedarlah jiwa yang masih lena. Jangan cepat berpuas hati dengan amalanmu. Jangan menyangka sedikit dosamu, tapi bertaubatlah wahai jiwa yang masih hidup sebelum tiba saat itu. Jadilah hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dan bukannya kufur.


Ikhlaskan hatimu dalam setiap amalanmu

Basahilah bibirmu dengan zikir
memuji dan mengagung Tuhanmu Rukuk dan sujudlah kepada Tuhanmu
Di kala susah mahupun dalam senang

Memohon ampun dan mengharap redha-Nya

Moga lembayung rahmat dan kasih sayang-Nya

menaungi sepanjang kembara hidupmu

Monday, March 16, 2009

Teladan Sebuah Kehidupan

Perjalanan malam yang panjang agak meletihkan. Ini baru perjalanan berkereta dengan jalan raya yang berturap. Bagaimana perjalanan nabi Muhammad S.A.W serta para sahabat yang berhijrah ke Yathrib, menjelajah pelusuk negeri untuk membuka kota-kota, menyebarkan dakwah Islam? Penulis bermonolog sendirian. Menginsafi kegigihan para Rasul dan para sahabat yang tidak mengenal erti perit dan jerih, jemu dan muak untuk menyebarkan tauhid. Jika semangat dan kefahaman itu ada pada setiap rijal ad-dakwah pada hari ini, pasti umat Islam itu bukan berada ditakuk ini. Penulis kemudian menghadiahkan al-Fatihah buat pejuang-pejuang Islam.


Penulis memandang ke luar tingkap kereta. Sejuk mata memandang. Tumbuhan yang tumbuh menghijau membuat hati penulis tenang. Langit yang membiru dihiasi awanan putih menambah rasa kagum dan cinta kepada Sang Pencipta.

Menyorot kembali sirah perjalanan Rasulullah S.A.W dengan para sahabat tentang tarbiyah mereka, perjuangan dan pengorbanan yang mereka curahkan untuk meninggikan agama Allah membuat hati penulis insaf dengan banyaknya kekurangan diri dalam perjuangan Islam. Sempat penulis kongsikan sorotan teladan yang ditonjolkan oleh Rasulullah dan para sahabat kepada sahabat-sahabat Fakulti Perubatan beberapa minggu yang lepas dalam satu pengisian bersama mereka. Walaupun sekejap, namun diharapkan ilmu yang diberikan dalam masa singkat itu terkesan pada hati penulis sendiri dan juga sahabat-sahabat. Mengimbau kembali perjalanan hidup nabi Muhammad S.A.W sejak dari dilahirkan hinggalah wafat baginda banyak sangat suri teladan yang boleh kita ikuti. Allah Ta'ala berfirman dalam al-Quran:

قل ان كنتم تحبون الله فاتبعوني يهببكم الله ويغفر لكم ذنوبكم والله غفور رحيم
"Katakanlah: Jika kamu mengasihi Allah, ikutilah aku (Muhammad) nescaya Allah akan mengasihimu dan mengampuni dosamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" Surah Ali Imran:ayat 31

DINAMIKA TARBIYAH


Rasulullah ditarbiyah terus oleh Allah Ta'ala, begitu juga para sahabat yang bersama-sama Rasulullah. Tarbiyah daripada Allah bukan dalam konteks tamrin, kem bina atau sebagainya seperti pelaksanaan dan pengamalan kita hari ini, akan tetapi dalam bentuk praktikal yang realiti. Jika kita cermati bagaimana perjalanan hidup Rasulullah S.A.W daripada sebelum menjadi Rasul sehinggalah baginda berdakwah melaksanakan amanah yang ditaklifkan oleh Allah kepada baginda. Didikan Allah kepada kekasih ini adalah didikan yang merangkumi segala aspek kehidupan. Rasulullah dididik untuk bersabar dalam pelbagai keadaan bukan setakat baginda dan para sahabat dipulaukan bahkan Rasulullah sendiri diuji ketahanan mental baginda dengan cercaan dan pelbagai lagi ancaman sehingga Rasulullah diancam untuk dibunuh. Hijrah baginda dan para sahabat ke Thaif yang disambut dengan lontaran batu sehingga diceritakan bahawa berkocak kasut baginda dengan darah. Tarbiyah

Rasulullah dan para sahabat adalah sangat berbeza dengan tarbiyah buat para du'at masa ini. Ini kerana tarbiyah hari ini bukan datang terus daripada Allah. Pelaksanaan tamrin, mukhayyam, rehlah, katibah dan seumpamanya adalah merupakan ijtihad masa kini dalam membentuk dan mentarbiyah
rijal al-dakwah untuk terus menegakkan agama Allah. Namun, konsep dan kandungan dalam program-program tersebut adalah berdasarkan kepada ajaran Rasulullah, tidak lari daripada membicarakan bab aqidah, ibadah, perjuangan Islam sama ada dalam konteks tarbiyah ruhaniyyah, tarbiyah jasadiyyah (fizikal), tarbiyah thaqafiyyah (ilmu) juga tarbiyah khuluqiyyah (akhlak dan sikap). Semua ramuan ini diadun dalam program seperti yang telah penulis sebutkan tadi.

Tarbiyah inilah yang membentuk dan membina
rijal al-dakwah yang punya keimanan yang tinggi kepada Allah, memberi faham tanggungjawab sebagai seorang muslim sama ada untuk beribadah kepada Allah dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Maka, program-program seperti ini perlu menjadi budaya masyarakat pada hari ini bahkan bukan pula menjadi momokan yang mengerikan. Perkataan tamrin sama seperti Latihan PLKN, kem bina insan, Biro Tata Negara, namun modus operandinya sahaja berbeza. Pengisian yang dibawa lebih memberi kenal kepada masyarakat tentang Islam. Mukhayyam, seminar, simposium dan banyak lagi wacana ilmiah yang boleh digarap dan diaplikasi dalam konteks pendidikan anak-anak muda khususnya, agar mereka ini lahir dalam keadaan faham akan Islam dan perjuangan Rasulullah. Ini hanya satu ijtihad yang menjadi manhaj dalam kebanyakan gerakan Islam. Bahkan Ikhwan muslimin juga mempelopori manhaj tarbiyyah ini.


Pelaksanaan usrah yang semakin lesu di mana-mana tempat dilihat sebagai suatu yang menyedihkan. Jika pada zaman Rasulullah, pada awal perkembangan Islam, umat Islam terpaksa bersembunyi untuk berusrah dengan baginda di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam, dan mereka bersungguh-sungguh untuk mengetahui mengenai Islam, namun pada hari ini usrah tidak menjadi budaya kepada masyarakat hari ini. Bahkan ramai yang fobia apabila mendengar perkataan usrah. Usrah adalah medan percambahan ilmu dan mendalami agama Allah. Penerapan konsep aqidah, ibadah, akhlak, dakwah dan sebagainya adalah asas pengetahuan tentang Islam. Pada hemat penulis, pendekatan usrah perlu lebih kreatif dan fleksibel. Bukan hanya dilaksanakan dalam halaqah-halaqah semata-mata, bahkan dalam konteks mad'u kita yang pelbagai latar belakang pelaksanaannya perlu lebih dinamik. Mungkin pelaksanaan usrah boleh dilakukan dalam bentuk riadhah, atau di kafetaria atau apa sahaja asalkan pengisian sebenar dapat disampaikan dan difahami secara baik oleh mad'u.


Satu ketumbukan baru dalam pelaksanaan dan pendekatan tarbiyah perlu dicermati agar tarbiyah Islam ini boleh dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan kepada segelintir masyarakat sahaja memandangkan masyarakat pada hari ini berada dalam kebejatan gejala sosial yang teruk dan semakin jauh daripada agama. Tarbiyah ini perlu bermula daripada rumah dan seterusnya dilaksanakan dalam peringkat pendidikan di sekolah dan kampus. Masalah disiplin pelajar yang semakin meningkat dan telah menjadi barah dalam masyarakat boleh dikurangkan dan menjadi sifar jika penerapan pemahaman asas-asas Islam ini diberikan secara serius kepada masyarakat.

Sunday, March 15, 2009

Kenangan & Motivasi Kehidupan



SEBUAH CERITA

Selepas menyemak beberapa buah esei yang ditulis oleh sahabat-sahabat, jari-jemari menekan pada nasyid Aeman berjudul Ayah. Di luar, hujan lebat membasahi bumi yang kian kontang dengan pelaksanaan syariat Islam, mengejutkan umat Islam yang terlena dalam keasyikan dunia. Namun, berapa ramai yang sedar?


Dia mengamati setiap bait lirik lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan adik-adik kecil ini. Hatinya sayu. Perkataan AYAH yang telah lama dia tidak tuturkan daripada bibir ini. Insan bernama AYAH yang hampir 2 dekad tidak berjumpa, dan pastinya tidak akan berjumpa lagi selepas ini. Apakah punya kesempatan bertemu di syurga nanti, ayah? Dia bermonolog sendirian.

Ya Allah apakah kami akan ditemukan semula di syurga nanti?

Bertemu dengan insan yang kusayang?

Insan yang telah lama tidak kutemukan…

Namun,

Jauh di sudut hati

Apakah layak hamba-Mu ini menjejakkan kaki ke syurga itu?

Ayah, lama sungguh tidak bertemu. Apakah ayah tenang bertemu Allah di alam baqa’? Dia menyorot kembali detik-detik akhir bersama beliau sebelum beliau menghadap Ilahi. Kisah Disember 1991 mengetuk kotak ingatannya. Saat itu dia yang masih kanak-kanak mengikut atuk pulang ke rumahnya, meninggalkan ayah bersama ahli keluarga yang lain. Ayah terlantar sakit.

Pulang cepat ya dik, nanti ayah rindu..”

Ungkapan itu terngiang-ngiang di corong telinganya. Bagaikan baru beberapa hari kata-kata itu dilafazkan. Wajah ayah terlukis pada hamparan minda. Dia mengangguk. Dia bersalaman dan mengucup dahi ayah. Dia membelek-belek cincin pemberian ayahnya beberapa bulan lepas. Dia kucup cincin itu tanda menghargai pemberian ayah.

Beberapa hari di rumah atuk, seorang perempuan awal 30-an datang ke warung atuk. Dia adalah ibu saudaranya. Sewaktu itu dia sedang bergurau senda dengan atuk.

Mak ngah, kak Salmah telefon. Katanya bang Ismail meninggal…”

Luruh jantung dia mendengar kalimat itu. Wajah ayah yang dia tinggalkan beberapa hari lalu menerjah kembali ke ruangan minda. Atuk terus pulang masuk ke rumah bersiap-siap. Kemudian, atuk ke rumah adiknya, Tok Teh (panggilan kepada atuk saudaranya) di belakang rumah atuk, mengajak melawat jenazah ayah.

Pak Long yang juga sedang sakit sewaktu itu, diminta untuk mengurus warung.

Atuk, boleh ke saya nak ikut? Saya nak tengok ayah..”

Suaranya tersekat-sekat.

Mestilah ikut…”

Selepas menghantar sepupu yang masih kecil ke rumah saudara yang lain di Segamat, mereka menuju ke Gemas, di mana ayah meninggal dunia. Gemas adalah rumah anak angkat ayah, dan ayah ke Gemas beberapa hari lalu kerana mudah untuk berulang-alik berubat.

Sampai di rumah itu, wajah tenang ibunya menyambut kedatangan dia dan atuknya. Dia bergegas naik ke rumah. Sekujur tubuh terbujur kaku di ranjang rumah itu. Di kelilingnya adalah jiran-jiran yang sedang membacakan Yaasin. Matanya terpaku pada satu sudut di ruang itu. Itu anak angkat ayah, dia menangis semahu-mahunya sambil ditenangkan oleh beberapa orang yang lain.

Air mata bergenang di kolam matanya. Dia merapati ke tubuh ayahnya yang sudah dikafankan.

Siapa anak-anaknya, atau kaum keluarganya dipersilakan menatap wajah arwah buat kali terakhir..”

Seorang pak cik yang usianya dalam lingkungan 50-an membuat pengumuman. Dia kemudiannya duduk di sebelah jenazah ayah.

Kamu menangis, tak boleh cium jenazah…”

Dia agak kecewa. Bukan dia sengaja untuk menangis, bentak hatinya. Itulah kali terakhir dia menatap wajah ayah. Selepas dari waktu itu ungkapan AYAH hanya diucap dalam doanya.

Lagu AYAH nyanyian Aeman habis bersama-sama teduhnya hujan di luar sana.

MOTIVASI KEHIDUPAN

Ingat, Rasulullah itu anak yatim, lagi tak pernah melihat wajah ayah baginda sejak dilahirkan. Ibu baginda pula meninggal dunia sewaktu baginda kecil. Bersyukurlah kita sebab masih dapat lihat ayah walaupun sekejap, dan masih punya ibu. Anak yatim pun boleh berjaya…”

Kata-kata motivasi daripada seorang kakak kepada adiknya pada satu hari sewaktu adiknya bakal menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Darjah Khas (sekolah agama kerajaan negeri). Kata-kata motivasi itu adiknya pegang dan alhamdulillah cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan tersebut.

Buat pembaca yang budiman, Rasulullah adalah contoh teladan yang paling baik yang perlu kita cermati dan kaji sirahnya agar menjadi ikutan serta memberi motivasi dan inspirasi kepada kita dalam mengemudi sebuah kehidupan di dunia yang fana ini.

قل ان كنتم تحبون الله فاتبعوني يهببكم الله ويغفر لكم ذنوبكم والله غفور رحيم
"Katakanlah: Jika kamu mengasihi Allah, ikutilah aku (Muhammad) nescaya Allah akan mengasihimu dan mengampuni dosamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" Surah Ali Imran:ayat 31

Seorang kekasih Allah yang ditarbiyah secara langsung daripada-Nya sebelum dilantik secara rasmi menjadi seorang Rasul. Menyelusuri kehidupan yang penuh kepayahan, keperitan membesar tanpa ibu bapa di sisi menjadikan baginda seorang yang cepat matang dalam menilai kehidupan. Segala pengalaman dan tarbiyah inilah menjadikan baginda mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran selain keimanan yang sangat tinggi kepada Allah.

Setiap daripada kita dikurniakan oleh Allah jalan hidup yang berbeza-beza, maka segala apa yang kita jumpai sepanjang perjalanan hidup ini perlu kita kutip dan nilai sebagai seorang hamba yang bijak dan matang. Kembalilah kepada dua khazanah agung yang dibekalkan kepada kita selepas wafatnya Rasulullah S.A.W iaitu al-Quran dan As-Sunnah. Berapa ramai di antara kita yang mencermati dan meneliti kandungan al-Quran dan al-Hadith.

InsyaAllah ana akan lanjutkan bicara dalam siri entri yang akan datang. Berbicara mengenai Rasulullah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...