Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.

Tuesday, December 30, 2008

Intifada Tahun Baru Bermula

Salam Ma'al Hijrah buat sahabat-sahabat seperjuangan..1429H telah pun melabuhkan tirainya dengan pelbagai coretan cerita dan sejarah yang tersimpan kemas dalam poket ingatan kita. Pastinya segala cerita dan pengalaman lepas yang menarik mahupun perit menjadi pengajaran berharga untuk terus mengemudi pelayaran hidup di dunia yang fana ini dalam erti mencari keredhaan Ilahi.


Bandar Gaza selepas dibedil jet pejuang Israel

Ma'al Hijrah 1430 ini kita digemparkan dengan pencerobohan oleh Israel laknatullah secara zalim ke atas Gaza. Sehingga hari ini ratusan umat Islam yang terkorban, 21% yang terkorban dan cedera parah adalah di kalangan kanak-kanak manakala 14% adalah wanita. sebanyak 14 buah masjid juga musnah dengan serangan yang tidak berperikemanusiaan itu.

Isu berkaitan Palestin ini sudah hampir 60 tahun berlaku sehingga umat Islam yang lainnya seakan-akan lali dengan berita pengeboman dan serangan ini. Apakah kita juga sudah terkena bius tersebut? Apakah tiada rasa marah dengan tindakan Israel ini? Apakah tiada rasa simpati dan kasihan dalam diri kita melihat saudara seagama kita diperlakukan sedemikian?

Pemimpin negara-negara Islam yang punya kuasa, apakah cukup dengan hanya mengecam tindakan Israel tersebut semata-mata menjaga periuk nasi negara sendiri? Hari ini Israel, malah sejak dahulu lagi Israel bertindak zalim dan kejam ke atas umat Islam, dan pemimpin-pemimpin di negara-negara Islam bersidang dan hanya sekadar mengecam tindakan Israel tersebut tanpa ada tindakan yang teguh daripada umat Islam seluruhnya.

Maruah Islam dihinjak-hinjak tanpa rasa belas oleh Israel. Apa perasaan kita? Apa tindakan kita? Ya, kalau ratusan tahun dahulu Salahudin al-Ayubi menyatukan kembali amir-amir negara umat Islam, bersatu menentang tentera Salib dan akhirnya diberi kemenangan oleh Allah, apakah tidak akan berlaku pada masa sekarang?

Renunglah kembali, di mana peranan kita? Gerakan dakwah di Malaysia ini tidak diuji dengan serangan secara terang-terangan, sedang saudara seagama kita di Palestin diseru dengan jihad al-qithal. Janganlah kita sekali-kali terlena dengan kondisi sekarang, tapi tetaplah berazam untuk terus mara menegakkan agama Allah. Dua sahaja pilihan yang perlu ditanam dalam diri kita sama ada gugur sebagai syahid atau hidup dalam kemenangan Islam.

Sunday, December 21, 2008

Bila Terkena Batang Hidung Sendiri...




Bila penulis menyelak surat khabar di internet semalam dan hari ni, ada satu topik yang membuatkan penulis tergelak. Bukan cerita pasal perkahwinan Mawi dan Ekin, bukan juga pasal status janda Abby, tapi cerita pasal lirik lagu Dr Asri (Mantan Mufti Perlis) yang telah diharamkan oleh RTM.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Adilah Shek Omar, mengesahkan RTM mengharamkan penyiaran lagu Aku Bukan Musuh Harta. Sebabnya kerana lirik lagu itu dikatakan tidak sesuai dan kasar.

"Kita tidak luluskan lagu ini kerana liriknya kasar…"

Lagu itu merupakan satu daripada lapan lagu puisi Dr. Asri yang dimuatkan di dalam album ‘Yang Benar Tetap Benar’ nyanyian Kopratasa dan beberapa penyanyi lain.

Saraf-saraf di otak penulis berputar ligat. Apa sebenarnya lirik lagu tersebut yang dikatakan tidak sesuai dan keras? Penulis terus membaca…

Antara lirik yang penulis dipetik daripada akhbar tersebut…

Ya telah kaya para pendusta,

syarat mereka lupakan Yang Esa,

harta rakyat semua disebat,

harta awam semua dibekam,

hukum syaitan mereka bertuhan..

Jika lirik tersebut menyelewengkan aqidah atau ada unsur-unsur yang tidak sepatutnya penulis bersetuju diharamkan. Penulis masih bingung, apakah kerana liriknya terkena batang hidung orang yang mengharamkan atau menjaga kepentingan orang di sekilingnya? Memang jika dicermati lirik lagu ini bersifat telus sebab penggunaan bahasanya bukanlah berbunga-bunga atau menggunakan kaedah bahasa yang sastera, tapi isinya jelas berkaitan gejala rasuah yang melanda masyarakat kita hari ini. Dalam masa sekarang pun kerajaan memang sedang berusaha ke arah itu seperti yang diuar-uarkan (wallahu ‘alam).

Penulis terus berfikir, apakah yang sedang melanda masyarakat hari ini? Buat penggerak dakwah Islam, teruslah berdakwah moga nur Islam menyinari bumi ini..

Friday, December 12, 2008

Inzar di Eid Adha

Eid adha yang disambut pada kali ini memperlihatkan kepada kita beberapa kebesaran Allah yang maha hebat..Jika 26 Disember dahulu kita digemparkan dengan tsunami, namun Disember pada kali ini Allah memperlihatkan kekuasaan-Nya dengan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan di Selangor. Bermula dengan tanah runtuh di Hulu Yam yang mengorbankan 2orang adik-beradik, diikuti dengan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang merupakan kediaman golongan-golongan elit.

Dalam kejadian terbaru di Bukit Antarabangsa ini 4 orang telah disahkan terkorban manakala seorang lagi mangsa dipercayai masih hilang. 14 buah banglo di Taman Mewah dan Taman Bukit Utama juga habis tertimbus.

Antara rumah yang terkorban

Inilah satu lagi bencana alam yang Allah turunkan kepada kita sebagai inzar dan peringatan buat kita. Jika peringatan pertama telah Allah berikan dengan runtuhnya Highland Towers pada 11 Disember 1993, namun tangan-tangan manusia ini masih rakus menggondolkan gunung-ganang dan bukit-bukau yang menjadi pasak bumi ini. Nah! Allah beri isyarat kedua kepada kita supaya kita berfikir yang sedar akan kesilapan kita.

"Dia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu dan Dia biakkan padanya berbagai jenis binatang; dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat"
Surah Luqman: ayat 10


Saban hari ana menatap wajah-wajah hiba di kaca televisyen kerana terkorbannya nyawa dan harta benda. "Ini mesti ada yang tak bayar zakat..." seorang saudara ana memberi komen bila mana melihat kejadian di kaca televisyen.

"Biarlah golongan elit ni tau pula penderitaan orang-orang miskin..selalu hidup senang..biar diorang rasa pula apa yang orang miskin rasa..." seorang lagi menambah.

Ana yang berada di situ hanya mendengar pandangan mereka. Ada benarnya..Mungkin juga ini adalah salah satu pembersihan harta oleh Allah untuk orang yang tidak membayar zakat atau dosa-dosa yang terpalit pada harta benda mereka.

Ana agak terkilan bila beberapa orang menteri ada mengeluarkan kenyataan.."Jika ini adalah kesilapan manusia kenapa ia tidak terjadi 15 tahun dahulu.." Kenyataan ini seolah-olah menyalahkan Allah yang menurunkan bencana alam kepada masyarakat Malaysia pada hari ini.

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
Surah al-Ahzab:72

Orang-orang yang beriman akan melihat bencana alam ini sebagai bukti kekuasaan Allah serta peringatan untuk diambil pengajaran oleh manusia agar tangan-tangan manusia ini tidak rakus merosakkan bumi ini kerana halobanya pada nikmat dunia. Fikir dan nilailah sebagai seorang yang beraqidah dengan Allah, serta pandanglah setiap sesuatu itu dengan teliti agar kita tidak terpesong dari jalan yang benar.

Dalam mentadbir bumi ini kita sebagai khalifah yang ditaklifkan oleh Allah perlu mengimarahkan bumi ini dengan sebaik-baiknya agar dapat memberi manfaat kepada manusia dan hidupan lainnya.

Patri Istana Kasih Hingga ke Puncak

(Tazkirah untuk mereka yang sudah ke gerbang perkahwinan)

Hujung tahun ini nampaknya ramai dianugerahkan oleh Allah kelapangan dan rahmat-Nya untuk membina istana kasih (perkahwinan). Ramai sahabat dan orang-orang terdekat dengan ana sudah pun merintis sunnah Rasulullah itu.

Pertamanya buat akak ana sendiri...
Ana ucapkan jutaan tahniah! Ana mendoakan semoga pernikahan ini membawa nur Islam dan mendapat limpah rahmat serta kasih sayang daripada Allah. Semoga pernikahan ini membawa sakinah, rahmah dan mawaddah dalam mencari cinta Ilahi.


Foto yang sempat ana adobe buat akak ana (baru trial & error)


Buat sahabat ana Fatin dan Haafizuddin...
alfu mabruk! Moga pernikahan antum membawa sinar dan gerakan dakwah jua membina generasi dakwah. Semoga dilimpahi rahmat serta kasih sayang-Nya dalam meneruskan gerak kerja Islam, insyaAllah...


Kenangan sahabat-sahabat muslimat di walimah Fatin & Haafizuddin 29 Nov lalu

Buat junior ana (Hidayah) dan senior ana (Ust Hisom, Ust Hafiz Habil, Kak Shahidra dll) yang bakal melangsungkan pernikahan juga ana ucapkan tahniah semoga dipermudahkan oleh Allah dalam membina bait muslim ini. Mudah-mudahan segalanya mendapat redha Allah...



Istana kasih bukan Tembok Pemisah

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir"
Surah ar-Rum: ayat 21


Allah memberi anugerah perkahwinan kepada manusia agar manusia ini mendapat rahmat dan menyempurnakan fitrah hidupnya. Namun, kadang-kadang perkahwinan itu hanya dipandang terlalu kecil dengan membayangkan hanya cukup sekadar hidup suami isteri, anak-anak tanpa melihat keluarga sebagai nukleus untuk membentuk masyarakat muslim. Janganlah sekali-kali menjadikan perkahwinan itu sebagai tembok besar untuk orang Islam hari ini meneruskan gerak kerja dakwah Islam. Jangan terlalu cepat menikmati kehijauan pohon perkahwinan sehingga lupa membantu menebas lalang dan semak disekelilingnya, seterusnya memperbanyak pohon hijau itu menjadi ladang Islam yang besar untuk dipetik hasilnya sebagai mujtama' muslim. Menundukkan atau mematikan kemungkaran dalam masyarakat yang berada dalam biah jahiliyyah ini. Pandulah bahtera kasih itu menuju destinasi cinta yang hakiki, moga-moga senantiasa membuahkan keredhaan-Nya.

Allah turut berfirman dalam al-Quran:

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
Surah at-Taubah: ayat 24


Kasih Hingga ke Puncak

Lihatlah perkahwinan itu adalah satu anugerah yang Allah berikan kepada hamba-Nya untuk kita sama-sama berfikir. Pandanglah perkahwinan itu sebagai satu rahmat daripada Allah untuk hamba-Nya. Rahmat untuk menguatkan umat Islam hari ini dengan Islam. Perkahwinan yang menyulam kasih sayang hingga ke puncak cinta agung Ilahi dan redha-Nya insyaAllah..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...