SEBUAH CERITA
Selepas menyemak beberapa buah esei yang ditulis oleh sahabat-sahabat, jari-jemari menekan pada nasyid Aeman berjudul Ayah. Di luar, hujan lebat membasahi bumi yang kian kontang dengan pelaksanaan syariat Islam, mengejutkan umat Islam yang terlena dalam keasyikan dunia. Namun, berapa ramai yang sedar?
Dia mengamati setiap bait lirik lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan adik-adik kecil ini. Hatinya sayu. Perkataan AYAH yang telah lama dia tidak tuturkan daripada bibir ini. Insan bernama AYAH yang hampir 2 dekad tidak berjumpa, dan pastinya tidak akan berjumpa lagi selepas ini. Apakah punya kesempatan bertemu di syurga nanti, ayah? Dia bermonolog sendirian.
Ya Allah apakah kami akan ditemukan semula di syurga nanti?
Bertemu dengan insan yang kusayang?
Insan yang telah lama tidak kutemukan…
Namun,
Jauh di sudut hati
Apakah layak hamba-Mu ini menjejakkan kaki ke syurga itu?
Ayah, lama sungguh tidak bertemu. Apakah ayah tenang bertemu Allah di alam baqa’? Dia menyorot kembali detik-detik akhir bersama beliau sebelum beliau menghadap Ilahi. Kisah Disember 1991 mengetuk kotak ingatannya. Saat itu dia yang masih kanak-kanak mengikut atuk pulang ke rumahnya, meninggalkan ayah bersama ahli keluarga yang lain. Ayah terlantar sakit.
“Pulang cepat ya dik, nanti ayah rindu..”
Ungkapan itu terngiang-ngiang di corong telinganya. Bagaikan baru beberapa hari kata-kata itu dilafazkan. Wajah ayah terlukis pada hamparan minda. Dia mengangguk. Dia bersalaman dan mengucup dahi ayah. Dia membelek-belek cincin pemberian ayahnya beberapa bulan lepas. Dia kucup cincin itu tanda menghargai pemberian ayah.
Beberapa hari di rumah atuk, seorang perempuan awal 30-an datang ke warung atuk. Dia adalah ibu saudaranya. Sewaktu itu dia sedang bergurau senda dengan atuk.
“Mak ngah, kak Salmah telefon. Katanya bang Ismail meninggal…”
Luruh jantung dia mendengar kalimat itu. Wajah ayah yang dia tinggalkan beberapa hari lalu menerjah kembali ke ruangan minda. Atuk terus pulang masuk ke rumah bersiap-siap. Kemudian, atuk ke rumah adiknya, Tok Teh (panggilan kepada atuk saudaranya) di belakang rumah atuk, mengajak melawat jenazah ayah.
Pak Long yang juga sedang sakit sewaktu itu, diminta untuk mengurus warung.
“Atuk, boleh ke saya nak ikut? Saya nak tengok ayah..”
Suaranya tersekat-sekat.
“Mestilah ikut…”
Selepas menghantar sepupu yang masih kecil ke rumah saudara yang lain di Segamat, mereka menuju ke Gemas, di mana ayah meninggal dunia. Gemas adalah rumah anak angkat ayah, dan ayah ke Gemas beberapa hari lalu kerana mudah untuk berulang-alik berubat.
Sampai di rumah itu, wajah tenang ibunya menyambut kedatangan dia dan atuknya. Dia bergegas naik ke rumah. Sekujur tubuh terbujur kaku di ranjang rumah itu. Di kelilingnya adalah jiran-jiran yang sedang membacakan Yaasin. Matanya terpaku pada satu sudut di ruang itu. Itu anak angkat ayah, dia menangis semahu-mahunya sambil ditenangkan oleh beberapa orang yang lain.
Air mata bergenang di kolam matanya. Dia merapati ke tubuh ayahnya yang sudah dikafankan.
“Siapa anak-anaknya, atau kaum keluarganya dipersilakan menatap wajah arwah buat kali terakhir..”
Seorang pak cik yang usianya dalam lingkungan 50-an membuat pengumuman. Dia kemudiannya duduk di sebelah jenazah ayah.
“Kamu menangis, tak boleh cium jenazah…”
Dia agak kecewa. Bukan dia sengaja untuk menangis, bentak hatinya. Itulah kali terakhir dia menatap wajah ayah. Selepas dari waktu itu ungkapan AYAH hanya diucap dalam doanya.
Lagu AYAH nyanyian Aeman habis bersama-sama teduhnya hujan di luar sana.
MOTIVASI KEHIDUPAN
“Ingat, Rasulullah itu anak yatim, lagi tak pernah melihat wajah ayah baginda sejak dilahirkan. Ibu baginda pula meninggal dunia sewaktu baginda kecil. Bersyukurlah kita sebab masih dapat lihat ayah walaupun sekejap, dan masih punya ibu. Anak yatim pun boleh berjaya…”
Kata-kata motivasi daripada seorang kakak kepada adiknya pada satu hari sewaktu adiknya bakal menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Darjah Khas (sekolah agama kerajaan negeri). Kata-kata motivasi itu adiknya pegang dan alhamdulillah cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan tersebut.
Buat pembaca yang budiman, Rasulullah adalah contoh teladan yang paling baik yang perlu kita cermati dan kaji sirahnya agar menjadi ikutan serta memberi motivasi dan inspirasi kepada kita dalam mengemudi sebuah kehidupan di dunia yang fana ini.
Seorang kekasih Allah yang ditarbiyah secara langsung daripada-Nya sebelum dilantik secara rasmi menjadi seorang Rasul. Menyelusuri kehidupan yang penuh kepayahan, keperitan membesar tanpa ibu bapa di sisi menjadikan baginda seorang yang cepat matang dalam menilai kehidupan. Segala pengalaman dan tarbiyah inilah menjadikan baginda mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran selain keimanan yang sangat tinggi kepada Allah.
Setiap daripada kita dikurniakan oleh Allah jalan hidup yang berbeza-beza, maka segala apa yang kita jumpai sepanjang perjalanan hidup ini perlu kita kutip dan nilai sebagai seorang hamba yang bijak dan matang. Kembalilah kepada dua khazanah agung yang dibekalkan kepada kita selepas wafatnya Rasulullah S.A.W iaitu al-Quran dan As-Sunnah. Berapa ramai di antara kita yang mencermati dan meneliti kandungan al-Quran dan al-Hadith.
InsyaAllah ana akan lanjutkan bicara dalam siri entri yang akan datang. Berbicara mengenai Rasulullah...
0 comments:
Post a Comment