Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.

Saturday, February 28, 2009

Generasi Harapan

Berjalan di bandar metropolitan seperti di Kuala Lumpur, memperlihatkan pelbagai ragam dan gaya manusia. Ya, sesungguhnya manusia ini penuh dengan ragam dan kerenah, sehingga ada pepatah Melayu mengatakan "banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam". Pelbagai fesyen yang digayakan sehingga tidak kenal itulah muslim, orang Malaysia dan sebagainya. Berpakaian seperti orang Barat, bahkan lebih lagi. Penulis tunduk tak sanggup melihat keruntuhan akhlak umat manusia ini. Jika dalam tren LRT yang kadang-kadang bersesak-sesak keadaannya, menyebabkan penulis resah. Hendak pandang ke bawah maksiat, pandang ke atas dosa. Lalu penulis mengambil keputusan memandang pemandangan luar tren. Tetapi itu pun jika bernasib baik berada di posisi itu. Kalau berada dicelah-celah manusia bagaimana gamaknya?


Penulis berfikir sendiri. Apakah biah jahiliyyah ini bisa ditukar suatu hari nanti menjadi biah solehah? Apakah generasi ini masih boleh dipulihkan? Timbul rasa kasihan kepada mereka-mereka yang terjebak dalam masalah keruntuhan akhlak ini. Mereka ini perlu dibantu. Keadaan ini perlu dipersalahkan kepada siapa? Diri mereka?Ibu bapa mereka?Guru-guru mereka sewaktu di sekolah? Atau siapa? Pada hemat penulis semuanya ada peranan tersendiri dalam membentuk suasana dan masyarakat yang Islamik dan terarah. Namun di sana penulis perlu menambah peranan paling utama adalah kita...ya kita sebagai Da'ie.

KITA AGEN PERUBAHAN

Biah yang masih jahiliyyah membuktikan gerakan dakwah di Malaysia masih kurang berkesan. Maka siapakah yang perlu melaksanakan tugas dakwah ini? Maka sudah barang pasti adalah diri kita sendiri, orang yang punya kesedaran agama ini perlu bertindak. Gerakan dakwah perlu lebih kencang. Jika di kampus modus operandinya perlu lebih efisien dalam mendekati mad'u kita. Mahasiswa, dan pelajar-pelajar perlu disuntik kesedaran dan kejutkan dari mimpi mereka bahawa mereka punya tugas dan tanggungjawab yang besar. Dakwah fardiyyah juga perlu diperhebat, jangan menunggu orang lain yang melaksanakan tugas daie ini, tapi bermulalah dari diri kita. Gerakkan dakwah secara jamai'e dengan lebih kencang dan berkesan, agar dakwah yang disampaikan meresap ke hati-hati mad'u kita.

Golongan yang terjebak dalam masalah keruntuhan akhlak ini tidak boleh disisihkan, bahkan perlu didekati dan diberi kefahaman yang jelas kepada mereka. Sebagai seorang da'ie sepatutnya kita lebih ke hadapan dalam merangsang mereka untuk berminat mengenal Islam. Bukan hanya berpeluk tubuh menunggu mad'u datang kepada kita. Ringankan mulut kita untuk berbicara dengan mereka tentang apa sahaja yang mengajak kepada Islam. Mengenal konteks agama yang lebih jelas.


Pendekatan dakwah ialah apa sahaja cara yang boleh kita lakukan untuk menarik minat mereka kepada Islam. Koreksi diri, kenali potensi diri dan bertindak mengembangkan potensi diri untuk Islam.

Jika hari ini kita punya bakat dalam berkata-kata, maka gunakan ucapan itu untuk dakwah.

Jika hari ini kita punya potensi multimedia dan penerbitan, jadikan dakwah kita lebih menarik dengan hasil-hasil multimedia yang bersifat teknologi untuk Islam.

Jika hari ini kita punya potensi dalam penulisan, maka garaplah menjadi bingkisan dakwah yang memberi ingat kepada manusia tentang Islam.

Jika hari ini kita punya potensi dalam melukis, berkaryalah mengetengahkan mesej dakwah melalui komik atau apa sahaja lukisan kita untuk mencerminkan keindahan Islam dan beragama.

Semuanya perlu kita gunakan untuk mengembangkan lagi sayap dakwah ini agar boleh diterima oleh mad'u kita yang punya pelbagai latar belakang kehidupan. Kenalilah diri kita...

PEMBENTUKAN GENERASI AMANAH KITA

Kita perlu sedar bahawa generasi yang punya penglibatan dalam masalah sosial ini, sebahagiannya bermula daripada pembentukan keluarga itu sendiri. Dalam matlamat tarbiyah ada disebutkan peringkat-peringkat tarbiyah sebelum mencapai daulah Islamiyyah itu sendiri iaitu fardu muslim, bait muslim, mujtama' muslim, daulah Islamiyyah. Maka pembinaan individu muslim perlu kita bentuk dalam diri kita sebelum melangkah ke peringkat yang seterusnya. Individu yang punya keimanan dan dipersiap dengan nilai tambah lain sebagai seorang da'ie adalah nukleus penting dalam pembentukan bait muslim dan seterusnya mujtama' muslim.
Dalam membentuk generasi dakwah, Islam juga menggariskan panduan bermula dengan pemilihan pasangan sebelum melangkah ke peringkat bait muslim.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda;
“Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya,kerana kecantikannya,kerana keturunannya,dan agamanya.Oleh itu,utamakan wanita beragama nescaya kamu akan beruntung”
(Hadith riwayat Muslim)

Memilih pasangan yang punya agama, perlu diberi keutamaan daripada aspek yang lain. Akhlak dan peribadi yang soleh solehah akan membawa kepada pembentukan generasi yang dikehendaki Islam.

Pembentukan dan pendidikan generasi Islam adalah tanggungjawab ibu dan bapa. Pada kebiasaannya, ibu sangat sinonim dengan mengasuh anak-anak dan tarbiatul aulad. Manakala bapa pula jarang disebut-sebut demikian. Namun sebenarnya dalam konteks pendidikan anak-anak kedua-duanya memainkan peranan utama dalam memastikan pembinaan generasi Islam yang terbaik. Terutama kepada penggerak-penggerak dakwah. Kebanyakan isu yang berlaku pada hari ini ialah anak kepada penggerak dakwah ini tidak mahu mengikut jejak langkah ibu bapa mereka. Timbul persoalan apakah punca sebenarnya?Puncanya ialah kerana ibu bapa yang sangat sibuk dengan komitmen dakwah sehingga mengabaikan pembentukan anak-anak mereka.

Maka sebagai abna al-harakah, kita perlu sedar bahawa anak-anak adalah amanah paling berharga yang dikurniakan Allah, yang perlu dibentuk agar menjadi generasi yang mampu meneruskan kelangsungan dakwah Islam.


Teringat kisah Hassan al-Banna yang merupakan pengasas kepada jemaah Ikhwan Muslimin yang dirakamkan dalam sebuah buku "Cinta di Rumah Hassan al-Banna". Bukan menjadikan Hassan al-Banna sebagai kiblat untuk dijadikan teladan, namun untuk contoh dekat dalam gerakan dakwah muta'akhir ini, maka penulis merasakan Hassan al-Banna ini boleh dijadikan salah satu contoh selain contoh utama iaitu Rasulullah S.A.W.

Walaupun beliau mempunyai komitmen namun, soal pendidikan anak-anak sangat dititikberatkan. Sehinggakan beliau mempunyai catatan untuk setiap kondisi anak-anaknya (tarikh dan sejarah kelahiran, no kelahiran, jadual pemberian ubat dan makanan, surat keterangan doktor, catatan mengenai keadaan penyakit secara terperinci, ijazah anak-anak, catatan prestasi anak-anak di sekolah dan lain-lain). Dalam keterbatasan waktu, beliau masih sempat makan bersama anak-anaknya (dijadikan perkara ini sebagai keutamaan), kerana waktu inilah masa untuk bermesra dengan anak-anaknya. Dan banyak lagi yang diceritakan dalam buku tersebut.

Maka, penulis melihat, ibu dan bapa perlu bersama-sama menjadi pengasuh kepada anak-anak, mendidik mereka dengan nilai-nilai keimanan serta penerapan nilai-nilai estetika yang lain, dan tidak meletakkan tugas mendidik anak ini 100% kepada ibu semata-mata. Perkara inilah yang perlu diambil perhatian terutama kepada golongan Adam di luar sana.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, kita adalah agen perubahan masyarakat, menafkahkan harta, keringat, masa dan segala-galanya untuk Islam. Maka perkara yang perlu kita beri perhatian adalah soal persediaan kita. Persiapkanlah diri kita dengan ilmu, kekuatan rohani dan kemahiran-kemahiran semasa untuk menghadapi masyarakat era ini. Kepada mahasiswa, penulis teringat pesanan Ustaz Ramadhan Fitri (mantan Perwakilan Mahsiswa UM dan mantan Presiden PMIUM sesi 2004) dalam Simposium Perdana Mahasiswa Islam Malaysia (SIDANA'09) mengenai end product yang perlu mahasiswa capai iaitu character, competency and commitment.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...