Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.

Tuesday, February 24, 2009

Kembara Ilmu

Penulis menghela nafas lega, menapak ke ruang legar Akademi Pengajian Islam yang berhawa dingin. Cuaca panas di luar sana membuatkan penulis mencari air untuk membasahkan kerongkong. Penulis berjalan menyelusuri deretan jualan di ruang legar APIUM itu. Memang sudah menjadi kebiasaan jualan kitab-kitab dan buku-buku agama juga beberapa gerai lain yang turut menjual kain tudung serta cermin mata memenuhi ruang legar itu. Penulis lebih berminat membelek kitab-kitab yang boleh dibeli. Lazimnya, selepas perolehi biasiswa pasti kitab dan buku juga menjadi perkara utama dalam senarai perbelanjaan penulis. Bagaikan hokum WAJIB bagi penulis membeli sekurang-kurangnya sebuah.

Bercerita mengenai kitab dan buku-buku agama ini, memugarkan semula ingatan penulis pada kembara ilmu beberapa tahun lalu di bumi serambi Mekah. Bumi yang memberi kenal kepada penulis akan tarbiyah dan biah solehah. Memuncakkan keinginan penulis pada mencintai ilmu, mengutip mutiara-mutiara berharga dari sesiapa sahaja. Penulis masih ingat seawal minggu pertama menjejakkan kaki ke sana, penulis berpeluang mengikut akhawat ke kuliah Tok Guru di Kota Bharu. Diberi kenal dengan pengajian mingguan itu sehingga menjadi satu kewajipan kepada penulis untuk menghadirinya. Mengutip mutiara-mutiara berharga dari seorang ‘alim. Mengingat kembali rutin mingguan tersebut membuatkan hati penulis bertambah rindu untuk kembali ke sana. Bila masa dan ketika wallahu ‘alam.

Seawal 8pagi menunggu bas awam di hadapan kolej, penulis dan sahabat2 lain bersesak-sesak menaiki bas sehingga ada yang terpaksa berdiri di tepi pintu masuk bas. Perjalanan 30minit ke Kota Bharu bagaikan 10minit perjalanan. Mungkin inilah yang dikatakan alah bias tegal biasa. Mendengar kuliah Tuan Guru yang walaupun kadang-kadang dialek bahasa Kelantan agak sukar penulis tanggapi, mula menjadi kebiasaan halwa telinga ini. Selepas mengutip permata ilmu melalui kuliah ilmu itu, penulis akan ke Toko buku Jaafar Rawas yang menjual pelbagai jenis kitab dan buku agama. itulah tempat yang dituju pada kebiasaannya. Membelek buku-buku dan kitab-kitab, dan kalau punya kewangan yang mencukupi biasanya ada sahaja buah tangan yang dibawa balik ke kampus. Sungguhpun buku yang sebelumnya belum habis dibaca. Itulah hobi penulis.

Beberapa minggu kebelakangan ini, menjadi satu kegilaan kepada penulis untuk membeli buku. 2minggu ini sahaja 4buah buku penulis beli dalam waktu berasingan, hanya buku bacaan sampingan belum dikira buku rujukan lagi. Mudah sahaja duit saku dikeluarkan kalau perkaranya adalah buku, namun untuk perkara lain penulis pasti berfikir beberapa kali. Penulis yakin Knowledge is power..” selama kita punya keupayaan dan kemampuan untuk lakukan sesuatu, sewaktu itulah kita lakukan perkara tersebut,jangan bertangguh hingga ke waktu lain. Penulis juga selalu memegang kata-kata Hikmah itu barang yang hilang bagi orang mukmin, di mana sahaja ia dijumpai, maka ia adalah kepunyaannya…”

Berkesempatan berkunjung ke negeri serambi Mekah beberapa minggu yang lalu, tidak penulis sia-siakan untuk mengutip permata berharga daripada orang ‘alim yang punya ilmu dan pengalaman luas. Bersama sahabat-sahabat, kami mengatur pertemuan secara spontan menemui Ust Yahya Othman dengan tujuan untuk berusrah dengan beliau walaupun sebentar. Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan kepada kami untuk bertemu dengan ustaz Yahya. Pelbagai ilmu yang dikongsi walaupun dalam masa yang terhad. Selepas ‘Asar hinggalah kepada sebelum Maghrib. Berkesempatan juga menziarahi kediaman beliau juga menemui isterinya.


Kenangan


Allah telah mengurniakan manusia dengan akal, maka jika ada di antara manusia yang tidak menggunakan akal dengan sebaiknya, bagaikan haiwan bahkan lebih teruk lagi- Sekadar foto hiasan (yang sempat diambil ketika ziarah ke Kelantan)

BAGAI POHON TIDAK BERBUAH

Ilmu atau hikmah atau wisdom adalah harta yang sangat bernilai. Sehingga Allah berfirman di dalam al-Quran dengan mengangkat martabat orang yang berilmu.

Menjadikan ilmu sebagai pendamping adalah langkah bijak yang perlu diambil kerana ilmu boleh digunakan pada bila-bila diperlukan. Ilmu yang bersulamkan keimanan akan meneguhkan keyakinan dan memandu manusia ke arah kebenaran. Orang yang mempunyai ilmu tanpa punya iman di dadanya bagaikan orang sesat dan tanpa arah panduan. Ada ilmu berkaitan mekanik contohnya, akan tetapi tidak tahu bila waktu yang sesuai digunakan. Hidupnya terkapai-kapai dalam arus kehidupan yang mencabar ini. Destinasi akhirat tidak menjadi sasaran pengembaraan hidup di dunia. Ada satu kata-kata:

Orang Barat maju kerana mereka meninggalkan agamanya,akan tetapi orang Islam mundur kerana mereka meninggalkan agamanya

Ini bermakna ilmu dan agama tiada tembok yang memisahkan antara satu sama lain. Bahkan ilmu yang dimiliki akan menambah rasa iman dan taqwa kepada Allah. Namun, dalam konteks hari ini kebanyakan orang yang berilmu tidak menjadikan ilmu itu untuk tujuan menambah kemanisan iman, akan tetapi hanya memandu ilmu dengan akal semata-mata tanpa sandaran wahyu Ilahi. Teringat pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Yahya Othman kepada kami sewaktu usrah minggu lalu. Beliau menekankan kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang ‘alim. Antaranya ialah orang ‘alim yang tidak beramal dengan ilmu. Ramai orang punya ilmu pengetahuan, namun sedikit orang yang mampu dan mahu beramal dengan ilmu yang dimiliki. Maka amat rugilah orang yang tidak beramal itu. Mereka tidak ubah seperti pohon yang tidak berbuah sebagaimana satu kata-kata: Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah”. Disemai benih, dibaja pohonnya, namun hanya tumbuh subur tanpa buah untuk dipetik hasilnya. Hanya mampu dijadikan tempat berteduh, namun tidak punya buah yang boleh dipetik mengisi perut yang kelaparan. Abu Hatim al-Razi yang merupakan seorang ahli sufi mengatakan bahawa: Orang yang bijaksana ialah orang yang menggabungkan ilmu dan amal”.

Berkaitan dengan amalan ini, satu kata-kata yang ustaz Yahya Othman tinggalkan kepada kami iaitu qalilun qarra khairun min kathirin farra…maksudnya: sedikit yang berulang-ulang (istiqamah) lebih baik daripada banyak yang lari (sekejap).

Align Center

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


KESIMPULAN

Isilah ruang hidup di dunia ini dengan mencari serta menimba ilmu tanpa rasa jemu kerana sesungguhnya hanya orang yang mati sahaja terpisah hidupnya dengan ilmu. Ilmu adalah antara amalan yang berterusan pahalanya walaupun sesudah kita menemui Ilahi selagi mana ilmu itu kita sampaikan kepada orang lain. Maka ringan-ringankan mulut kita dengan tazkirah mengingatkan diri dan orang lain dengan ilmu dan mengingati Allah. Sesungguhnya awalnya jihad itu dengan kalam dan akhirnya dengan mata pedang. Jika kita masih merasakan diri kita belum layak untuk berdakwah kepada orang lain kerana kurangnya ilmu, ingatlah sesungguhnya tidak ada seorang pun yang mempunyai ilmu yang cukup melainkan Allah. Ilmu Allah itu Maha lLuas, sehingga jika ditulis ilmu-ilmu Allah dengan berdakwatkan lautan di dunia ini, maka akan keringlah dakwat itu sebelum habisnya ilmu-ilmu Allah. Itulah perumpamaan yang Allah berikan seperti mana tercatat dalam al-Quran.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...