Dalam kejadian terbaru di Bukit Antarabangsa ini 4 orang telah disahkan terkorban manakala seorang lagi mangsa dipercayai masih hilang. 14 buah banglo di Taman Mewah dan Taman Bukit Utama juga habis tertimbus.
Inilah satu lagi bencana alam yang Allah turunkan kepada kita sebagai inzar dan peringatan buat kita. Jika peringatan pertama telah Allah berikan dengan runtuhnya Highland Towers pada 11 Disember 1993, namun tangan-tangan manusia ini masih rakus menggondolkan gunung-ganang dan bukit-bukau yang menjadi pasak bumi ini. Nah! Allah beri isyarat kedua kepada kita supaya kita berfikir yang sedar akan kesilapan kita.
"Dia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu dan Dia biakkan padanya berbagai jenis binatang; dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat"
Surah Luqman: ayat 10
Surah Luqman: ayat 10
Saban hari ana menatap wajah-wajah hiba di kaca televisyen kerana terkorbannya nyawa dan harta benda. "Ini mesti ada yang tak bayar zakat..." seorang saudara ana memberi komen bila mana melihat kejadian di kaca televisyen.
"Biarlah golongan elit ni tau pula penderitaan orang-orang miskin..selalu hidup senang..biar diorang rasa pula apa yang orang miskin rasa..." seorang lagi menambah.
Ana yang berada di situ hanya mendengar pandangan mereka. Ada benarnya..Mungkin juga ini adalah salah satu pembersihan harta oleh Allah untuk orang yang tidak membayar zakat atau dosa-dosa yang terpalit pada harta benda mereka.
Ana agak terkilan bila beberapa orang menteri ada mengeluarkan kenyataan.."Jika ini adalah kesilapan manusia kenapa ia tidak terjadi 15 tahun dahulu.." Kenyataan ini seolah-olah menyalahkan Allah yang menurunkan bencana alam kepada masyarakat Malaysia pada hari ini.
Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
Surah al-Ahzab:72
Surah al-Ahzab:72
Orang-orang yang beriman akan melihat bencana alam ini sebagai bukti kekuasaan Allah serta peringatan untuk diambil pengajaran oleh manusia agar tangan-tangan manusia ini tidak rakus merosakkan bumi ini kerana halobanya pada nikmat dunia. Fikir dan nilailah sebagai seorang yang beraqidah dengan Allah, serta pandanglah setiap sesuatu itu dengan teliti agar kita tidak terpesong dari jalan yang benar.
Dalam mentadbir bumi ini kita sebagai khalifah yang ditaklifkan oleh Allah perlu mengimarahkan bumi ini dengan sebaik-baiknya agar dapat memberi manfaat kepada manusia dan hidupan lainnya.
0 comments:
Post a Comment