Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.

Friday, July 4, 2008

Apakah Petanda Ini Ya Allah???

Penulis mencapai handset yang berirama di sisinya. Alunan ringtone membuat dia tersentak dan terjaga. Matanya terpana pada skrin handset. Tertera nama "Bapa Sedara" pada skrin handsetnya. 3 panggilan tidak berjawab. Hatinya berdegup kencang. Tidak pernah bapa sedaranya menelefon pada waktu-waktu begini. Sel-sel neuron di mindanya berputar ligat. Dia pantas menekan butang hijau menjawab panggilan itu. Dadanya makin berdegup kencang. Air matanya mula bergenang dan sukar diempang tatkala mendengar suara di hujung talian. Hatinya luruh.

"Mak dah meninggal..."

Suara yang hinggap ke gegendang telinganya dirasakan bagai halilintar. Handset di tangannya terjatuh ke lantai. Wajah ibunya terawang-awang di benak fikirannya. Ingatannya berputar pada seminggu lepas, tatkala dia sempat pulang menjenguk ibunya walaupun dalam kebutuhan waktu. Air matanya makin banyak membasahi pipi. Namun, dibiarkan sahaja mengalir tanpa dikesat.

Wajah ibu kembali dalam kotak ingatannya. Dia teringat akan kesempatan pulang ke rumah hari itu. Belum pernah ibunya meminta dia pulang ke rumah sepanjang perantauannya menimba ilmu. Berkesempatan makan tengah hari bersama ibunya menyebabkan dia tidak dilepaskan peluang untuk menatap wajah ibu yang kian dimamah usia yang sudah lama tidak ditatapnya. Mudah sungguh air matanya mengalir. Cepat-cepat dikesat dengan hujung lengan bajunya, risau kalau- kalau ibunya perasan. Sayunya melihat wajah yang banyak berkorban sepanjang hidupnya.

Imbauan sejarah Disember 1991, membuat hatinya bertambah sayu. Wajah tenang ibu itu yang menyambutnya ketika dia sampai bersama neneknya pada hari pemergian ayahnya. Kagum sungguh dia pada ibu sewaktu itu. Ketenangan mengiringi pemergian ayah. Sewaktu itu dia masih budak hingusan, yang belum mengerti erti kehidupan sebenar.

Tak tergambar ketabahan ibunya membesarkan dia bersama 2orang kakaknya yang juga sewaktu itu masih mentah lagi. Berbelas tahun memerah keringat membesarkan dia dan kakaknya seorang diri membuatkan dia meletakkan idola hidupnya pada suatu ketika dahulu adalah insan bernama ibu. dan sekarang ketiga-tiga anak ibunya berjaya ke menara gading berkat doa dan usahanya juga.

Lembaran-lembaran kenangan bersama ibunya diselak satu per satu dari dairi ingatannya. Air matanya meluncur deras. Dia menangis tanpa bicara. Kenangan 2hari terakhir bersama ibunya itu terus menjengah kotak ingatannya. Dia sempat solat berjemaah bersama ibu. Dia berdoa kepada Allah untuk kesejahteraan ibu, ayah, keluarga dan seluruh umat Islam dunia dan akhirat. Juga kesihatan yang baik untuk mendambakan kasih pada Allah sehari-hari baik dari segi fizikal mahupun mentalnya. Doanya diaminkan ibu. Syukur sungguh dia pada hari itu. Lalu, selesai solat dia bersalaman dengan ibu dan mengucup dahi ibunya penuh kasih sayang. jarang-jarang dia dapat lakukan sedemikian dan bukan senang diberi nikmat waktu untuk pulang menziarahi ibu.

Masih ingat lagi, tatkala bersalaman dengan ibunya sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Dia tergocoh-gocoh bersalaman dan mencium dahi ibunya kerana sudah terlambat untuk ke stesen bas. Dia hanya ada 10minit untuk menapak ke stesen yang tidak jauh dari rumahnya. Bimbang akan ketinggalan bas. Namun, dia sempat berpesan pada ibu untuk menjaga kesihatan dengan baik.

1 Julai hari itu adalah hari ulang tahun ibunya yang ke-60. Tapi dia tak berkesempatan mengucapkan selamat pada ibunya. hanya sempat berpesan kepada kakaknya yang sulung untuk menyampaikan salam ulang tahun buat ibunya tercinta.
membilang hari-hari yang akan diharunginya tanpa insan bernama ibu di sisi menambahkan kepiluan pada hatinya.

"Ya Allah, berilah kekuatan pada hamba ini untuk menghadapi ujian-Mu..amiin. Tetapkanlah hati hamba-Mu ini dengan musibah yang Engkau timpakan ke atas hamba-Mu ini agar hatinya sentiasa berpaut dan mengharapkan redha-Mu..." Dia berdoa dalam hati. Dipandang sekeliling yang masih gelap. Oh ya Allah, hamba-Mu ini hanya bermimpikah? Dia menekan butang pada handsetnya melihat peti panggilan yang masuk. Tiada panggilan baru yang masuk. Astaghfirullah...Dia mengucap panjang. Air matanya terasa hangat di pipi. Lalu dikesatnya. Dia mengucap lafaz syukur kerana itu hanyalah mimpi. Dia buka peti pesanan yang masuk. Dia baru menerima pesanan ringkas dari sahabatnya Nasirah.
" Slm.nenek sdara nas kat seksyen 17/2, baru je menggl kul 4 td. Alfatihah, semoga ruhnya dicucuri rahmat."
Innalillah....
Walaupun hanya mimpi namun perasaannya masih tidak menentu. Mimpi itu segar sungguh dalam ingatannya. Bila diceritakan kepada sahabat-sahabat serumahnya, ramai yang bersyukur kerana itu hanyalah mimpi. Ada juga sahabatnya yang berasa pelik kerana sejak kebelakangan ini dia sering kali menerima mimpi yang buruk. Walaupun dia tahu tiada keperluan untuk mempercayai mimpi-mimpinya, tapi tetap timbul persoalan pada dirinya. Apakah petanda ini ya Allah? Hanya kepada Allah dia memanjatkan doa dan berserah. Bersangka baik dengan Allah walau apa ujian yang Allah kurniakan kepada kita selaku hamba-Nya. Tak semua mimpi membawa petanda. Dia menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi. Hargai insan dan nikmat yang kita ada sebelum tibanya saat tiada.
Teringat pada bait kata-kata...
"Cintakan manusia, manusia kan mati..
Cintakan bunga, bungakan layu..
Cintalah Allah, cinta yang kekal hakiki..
Itulah cinta sejati...."

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...