Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.

Wednesday, January 6, 2010

Pelajaran Sekolah Pertama

Lama sudah tidak menulis di laman blog penulis sehinggakan sudah bertukar tahun, baik tahun Hijriah mahu pun tahun Masehi. Kanak-kanak juga sudah memulakan persekolahan, begitu juga dengan sahabat-sahabat mahasiswa yang baru memulakan pengajian untuk semester baru. Selamat meneruskan langkah dalam mencari ilmu buat kita semua.


Apabila bercerita mengenai persekolahan, penulis teringat akan zaman persekolahan dahulu. Zaman kanak-kanak yang penuh keriangan dan warna-warni. Mungkin setiap daripada kita mempunyai cerita tersendiri. Mengikut diari hidup penulis, penulis memulakan persekolahan secara formal ketika usia penulis 6 tahun, iaitu setahun selepas perginya ayah buat selama-lamanya. Akan tetapi bukan sekolah Tadika seperti sahabat-sahabat yang lain. Penulis serta adik-beradik yang lain tidak pernah ke sekolah tadika. Terus sahaja melangkah ke Darjah 1. Mungkin kerana kehidupan di kampung penulis di daerah Segamat pada waktu itu belum pun mempunyai tadika. Setelah berhijrah ke bandar Tangkak, penulis dimasukkan terus ke Kelas Fardhu A'in (KAFA). Biasanya KAFA ini untuk pelajar Darjah 1, namun ibu penulis tetap juga mendaftarkan penulis ke kelas KAFA pada usia 6 tahun. Maka, belajarlah penulis di kelas KAFA selama 3 tahun (sepatutnya hanya 2tahun).


Pada tahun 1993, penulis memulakan persekolahan sekolah rendah. Penulis masih ingat lagi waktu hari pertama persekolahan. Penulis berjalan kaki bersama-sama dengan kedua-dua orang kakak penulis ke sekolah yang tidak jauh daripada rumah kami. Ibu penulis tidak dapat hadir untuk sesi pendaftaran pagi itu. Penulis faham, bukan niat ibu untuk membiarkan penulis pergi sendirian, namun dia terpaksa berkerja.

"Nanti sampai sekolah, tunggu depan bilik guru, nanti kalau ada cikgu tanya, nak masuk Darjah 1, ikut cikgu tu.." Ibu penulis berpesan.

Penulis berasa sungguh seronok bercampur gemuruh, kerana hari itu adalah hari pertama persekolahan. Kakak penulis ketika itu masing-masing Darjah 4 dan 5. Kami melangkah ke sekolah bersama-sama. Mereka menghantar penulis di hadapan bilik guru dan terpaksa meninggalkan penulis sendirian tatkala mendengar loceng berbunyi. Dari jauh, penulis dapat melihat sahabat-sahabat yang sebaya penulis beratur sambil diperhatikan oleh seorang guru. Mereka berjalan dalam barisan, di hadapan penulis.

"Nak masuk Dajah 1 ke?" Seorang guru perempuan menegur penulis.
Penulis hanya mengangguk. Dia meminta penulis turut serta dalam barisan tersebut. Setelah tamat perhimpunan, kami ke kelas yang terletak bersebelahan dengan bilik guru. Ramai ibu bapa yang hadir untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pendaftaran.

Seorang kanak-kanak lelaki yang mempunyai wajahnya seperti Cina begitu mencuit hati penulis. Kanak-kanak itu menangis tatkala bapanya meninggalkan kelas selepas selesai urusan pendaftaran. Akibatnya, cikgu penulis terpaksa memujuknya, namun tidak berjaya. Akhirnya, bapa kanak-kanak itu terpaksa menunggunya sehingga tamat waktu sekolah.

Penulis bersyukur kerana pelajaran pertama yang penulis terima pada hari pertama persekolahan adalah BERDIKARI (berdiri di atas kaki sendiri). Pelajaran pertama itu penulis semat dalam diri untuk terus digunakan pada hari-hari mendatang. Pengalaman itulah antara pelajaran terbaik untuk sebuah kehidupan. Jalan-jalan hidup yang bengkak-bengkok dan berliku-liku pasti akan membuatkan diri seseorang itu cepat matang dalam hidup. Namun, pengalaman ketika menempuh jalan-jalan itu tidak cukup untuk membuatkan seseorang itu bijak menilai sebuah kehidupan jika tiada ilmu dan iman yang memandu untuk menuju sebuah destinasi yang diredhai.

Esok pasti datang, lusa pasti tiba selagi Allah belum meniupkan sangkakala, melenyapkan semua ciptaan-Nya dalam sekelip mata. Selama nyawa itu masih bersatu dengan jasad selagi itu juga kaki akan terus melangkah untuk menuju jalan pulang. Pandanglah kehidupan dengan pandangan mata hati orang-orang yang beriman, mudah-mudahan kita akan mendapat nur dan rahmat-Nya, insyaAllah.

1 comments:

aan_az said...

salam..tahniah kepada ibu anda..beliau berjaya mendidik anda menjadi anak yang berdikari..patutla yati ok je sorang2 praktikal kat lab PJ tu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...