Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.

Wednesday, November 25, 2009

Nafas yang Bersambung


Segala puji-pujian jualah buat Sang Pencipta yang Maha Esa lagi Berkuasa, sehingga tiadalah tandingan selayaknya untuk Dia. Maha Suci Allah dari memiliki persamaan dengan segala sesuatu pun. Maka tekuni dan hayatilah firman Allah yang dinukilkan dalam surah al-Ikhlas itu.

”Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Allah itu Esa. Dialah tempat bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan Dia setara dengan segala sesuatu pun”.

Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta kaum kerabat baginda, juga kepada para sahabat, dan seterusnya buat sekalian hamba yang menundukkan diri mereka kepada al-Khaliq, moga-moga sentiasa dalam lembayung rahmat-Nya.

Maka, tiadalah perkataan yang dapat menggambarkan perasaan ini, tatkala jari-jemari ini menari-nari menekan papan kekunci, menitipkan sesuatu buat para pembaca, seterusnya mewarnakan kembali laman yang kian usang ini, lantaran tiada santapan minda untuk pembaca yang berkunjung sejak beberapa lamanya. Kemaafan jualah penulis pohonkan atas segalanya.


Adapun hampir sepurnama sudah mengikut ilmu hisab, penulis membiarkan laman ini kosong tanpa tamu pena, sedangkan pelbagai cerita jualah yang ingin penulis kongsikan bersama para pembaca. Cerita yang sedikit sebanyak terkandungnya pengajaran yang boleh kita petik sebagai panduan hidup akan datang. Sememangnya pengajaran dan pelajaran itu sentiasalah berlegar-legar dalam kehidupan kita sehari-hari, maka amat rugilah jika kita tidak melihat, merenung dan mengambilnya sebagai hikmah yang hilang.

Teringat penulis akan syair yang dikarang oleh Imam as-Syafi'e atas sebab cintanya yang begitu mendalam terhadap ilmu;

" Tidak patut aku bersikap ghairah terhadap sesuatu,

apabila aku tidak punya ghairah terhadap ilmu,

Bagaimana tidak, selama tiga puluh tahun,

ia merupakan pengubat hati, penenang otak

dan penyelamatku dalam duka cita..."


Begitu juga dengan cita-cita yang pernah diungkapkan oleh Ibn Hazm;

"Cita-citaku adalah ingin mendapatkan ilmu yang banyak. Lalu ilmu itu aku sebarkan ke seluruh pelusuk negeri ini. Aku juga akan menyeru orang-orang untuk mengikuti al-Quran dan hadis di saat kita lupa. Aku juga akan pergi ke seluruh pelusuk negeri ini untuk berjuang tidak kenal menyerah".

Terkesanlah hati penulis pada kata-kata itu sehingga penulis sendiri pun merenung dan mencari-cari di manakah hikmah itu tersembunyi di sebalik helaian kisah kehidupan dan berusaha juga mencari dan menyebarkan ilmu itu walaupun sedikit.

Adapun menurut ilmu hisab itu, tiga puluh hari itu bukanlah angka yang kecil jika dibandingkan dengan angka satu atau jua angka dua puluh sembilan. Maka apabila disandarkan tiga puluh hari pada peredaran bulan, sudah banyak kali bertukar fasanya, dari anak bulan, bulan sabit, bulan separa, bulan purnama dan berputar semula sehingga bertemu semula dengan anak bulan. Maka untuk angka tiga puluh hari yang telah berlalu dalam diari hidup penulis itu, pastinya sudah banyak juga tercatatnya peristiwa-peristiwa yang mewarnai kehidupan ini, mungkin ada peristiwa yang menggembirakan, juga peristiwa yang membuat hati pilu, sedih, marah atau juga pelbagai lagi emosi lain yang banyaknya hasil tindak balas sistem saraf pada aktiviti dan tindakan serta persekitaran.

Namun, bukanlah hajat penulis ini untuk mencoret setiap aktiviti atau memberi maklum akan diari kehidupan penulis pada tiga puluh hari yang sudah. Penulis lebih suka menyaring dan memilih cerita yang pada kiraan penulis boleh memberi ingat dan diambil intipati pengajaran oleh pembaca berkenaan cerita atau peristiwa tersebut.

InsyaAllah untuk entri yang seterusnya akan penulis berkongsi pengalaman dan ilmu berkaitan kehidupan sebulan lalu, agar sedikit sebanyak dapat diambil iktibar. Adapun untuk entri pada kali ini, sukalah penulis berkongsi ilmu barang sedikit berkaitan keperluan sebagai penuntut ilmu yang sempat penulis baca karangan Dr. 'Aidh bin Abdullah al-Qarni, dalam buku beliau "Aku, Buku dan Cinta". Dalam buku beliau ada mengatakan bahawa Imam al-Mawardi menukilkan dalam kitabnya yang berjudul Adab al-Dunya wa al-Din;

"Ketahuilah setiap sesuatu yang diinginkan pasti memiliki penggerak dan penggerak itu ada dua macam; hasrat dan rasa takut. Seseorang penuntut ilmu, harus memiliki hasrat dan rasa takut; hasrat untuk mendapatkan pahala daripada Allah bagi orang yang mengharapkan keredhaan dan menjaga perintah-Nya, dan rasa takut daripada hukuman Allah bagi orang yang meninggalkan perintah dan memandang remeh ancaman-Nya.

Ketika hasrat dan rasa takut itu bersatu, ia akan membawa kita kepada kewujudan ilmu dan hakikat zuhud, kerana hasrat adalah pendorong terkuat untuk belajar dan rasa takut adalah penyebab utama dalam berzuhud.

Orang bijak pernah berkata:

"Inti dari ilmu adalah hasrat keinginan. Buahnya adalah kebahagiaan dan inti daripada zuhud adalah rasa takut."

Ketika ilmu disertakan dengan zuhud, maka sempurnalah kebahagiaan seseorang manusia dan kemuliaan pun akan dia perolehi. Dan bila mana keduanya tercerai berai, maka alangkah celakanya nasib seseorang manusia. Keduanya akan merosak bila terpisah. Alangkah buruknya bila kita memiliki salah satunya sahaja."

Mudah-mudahan perkongsian yang sedikit ini mampu memberi kesan pada hati kita, melonjakkan rasa mahu, dan menggerakkan anggota kita untuk tindakan bagi memenuhi hasrat kita. Wallahu'alam.



p/s: Maka pastinya para pembaca tertanya-tanya mengapa gaya bahasa penulis ini, agak berlainan dari tulisan-tulisan penulis yang terdahulu. Adalah diceritakan bahawa gaya penulisan kali ini agak terpengaruh dengan bahan bacaan yang baru selesai penulis baca. Mungkin 0.0001% sahaja sama dengan gaya tulisan novel seorang penulis tersohor tanah air, Faisal Tehrani, karyanya “Ketupat Cinta”. Sungguhpun buku itu pada hakikatnya, sudah lama juga dalam simpanan penulis, iaitu sejak dibeli pada pesta buku yang lepas di PWTC Kuala Lumpur, sewaktu terserempak dengan Faisal Tehrani di pesta buku tersebut (29 Rabiul Akhir 1430H bersamaan 25 April 2009) sehinggalah novelis itu selamat bergelar suami. Sudah sekian lama, baru kini juga sempat penulis cermati tulisan beliau.

Friday, October 9, 2009

Salam Bahagia

Salam bahagia buat sahabat-sahabat yang telah melangkah ke alam rumah tangga, mengambil satu lagi sunnah Nabi Muhammad S.A.W baru-baru ini. Buat sahabat-sahabat perjuangan,ukhti Rabihah dan pasangannya,ukhti Noor Hanan dan pasangannya, akh Rahimi dan pasangannya, sahabat lama, Siti Nor Azrin dan pasangannya, juga tidak dilupa kepada junior penulis, akh Fahmi dan pasangan serta senior, ukhti Khairul Izza dan pasangannya, yang selamat diijabqabulkan dalam bulan Syawal ini. Banyak sekali berita gembira yang sampai ke pengetahuan penulis berkenaan sahabat-sahabat seperjuangan yang akan membina istana bahagia tidak lama lagi. Maka, penulis juga berasa gembira untuk menyampaikan ucapan salam bahagia buat semua bakal suami dan isteri yang akan melaksanakan sunnah Rasulullah itu pada tahun ini. Semoga melangkahnya kalian ke fasa seterusnya akan menumbuhkan benih-benih Islam dan seterusnya melahirkan generasi dakwah yang akan menyambung mata rantai perjuangan Islam kelak. Bertambahnya bilangan baitulmuslim ini, penulis mendoakan akan berkembangbiaklah mujtama’ muslim yang dapat menghayati nilai-nilai Islam dalam hidup seterusnya memudahkan jalan untuk pembinaan daulah Islamiyyah.

Jutaan tahniah juga buat kakanda penulis sendiri, Nooranizah Ismail yang selamat melahirkan cahaya mata kembar pada 17 Ramadhan lepas, juga buat ukhti Noor Syuhada Mustafa dan ukhti Nurul Ainain yang juga selamat melahirkan permata berharga masing-masing pada Ramadhan dan Syawal ini. Buat pasangan sahabat seperjuangan penulis yang baru sahaja bergelar ibu dan ayah iaitu Fatin Nuraini dan Muhamad Haafizuddin, semoga zuriat yang lahir ini akan menjadi permata yang akan bersama-sama berjuang menegakkan kalimah Allah di bumi ini.

Anak saudara penulis yang selamat dilahirkan pada 17 Ramadhan 1430H yang lalu

Sunday, August 30, 2009

MENUJU JALAN PULANG


SEBUAH BERITA

Baru beberapa hari umat Islam menjalani ibadah puasa, memasuki madrasah tarbiyah pada Ramadhan kali ini. Tahun ini penulis bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa bersama ibu dan keluarga di kampung, berbanding tahun-tahun sudah yang hanya berkesempatan sehari dua sahaja berpuasa bersama mereka. Sudah pastinya suasana berbeza dengan suasana kampus dahulu. Kalau di kampus, untuk hampir empat tahun syang lalu, pastinya penulis sibuk mengurus program bersama sahabat-sahabat untuk mengisi Ramadhan kepada warga kampus, juga keliling Kuala Lumpur, menunaikan ibadah sunat Tarawih di masjid-masjid, dan kadang kala berbuka puasa di sana bersama sahabat-sahabat seperjuangan.

Lain pula suasana di kampung, menyediakan juadah berbuka dan bersahur sendiri untuk keluarga.

Atuk saudara tiba-tiba muncul ketika penulis sedang mengemas rumah. Hati penulis berdebar-debar.

“Dari mana tuk busu? (panggilan kepada atuk saudara)” Tanya penulis sambil bersalaman.

“Dari ziarah orang meninggal. Tak ada orang maklumkan ke, mak long Lah kamu meninggal malam tadi. Baru lepas kebumi…”

Penulis menggeleng kepala, tanda tiada maklumat yang sampai kepada kami sekeluarga.

“Innalillahi wa innailaihi raajiuun…”

Lembaran diari lepas diselak kemas oleh minda penulis. Bermula dengan kepulangan penulis dari Oman beberapa bulan yang lalu, penulis disambut dengan pemergian isteri kepada atuk saudara di Muar,diikuti dengan suami arwah sebulan selepasnya. Kemudian, perginya jiran terdekat dengan penulis, juga berita-berita kematian mengejut daripada orang-orang yang terdekat dengan penulis.

“ Ya Allah, ramainya yang telah Engkau jemput pulang bertemu dengan-Mu, bila pula hamba-Mu ini ingin Kau jemput?”Penulis bermonolog sendirian.


TIKA CAHAYA MENYINAR


Di hujung kamar itu, di bawah samar-samar cahaya, dia merintih sendirian di atas sejadah cintanya. Butir-butir mutiara jernih jatuh berguguran bersama penyesalan atas sikap dan perilakunya pada hari-hari sebelumnya. Dia masih ingat, ketika dalam kembara dalam menuju negeri-Nya, dia terjelepuk di pertengahan jalan, dan disapa oleh seekor rama-rama yang indah. Rama-rama yang berwarna-warni yang menari riang di hadapannya begitu memukau dan mempesona, sehingga membawa dia ke satu daerah yang tidak pernah dia temui sebelum ini. Daerah yang dihiasi bunga-bungaan indah berkembang mekar dan mengharumkan, juga tumbuh-tumbuhan yang tumbuh subur menghijau sehingga membuatkan pemandangan tampak begitu indah. Sedang asyik menikmati keindahan alam, mentari yang bersinar mulai melabuhkan tirainya, dan tiada lagi cahaya yang menerangi daerah itu.

Dia mencari-cari jalan untuk keluar dari daerah itu, namun dia kebuntuan. Jalan yang dia lalui siang tadi, belum pun ditemui. Dia baru tersedar, rama-rama indah bersama taman yang mengasyikkan itu hanyalah nikmat dunia yang berjaya melalaikan dia dari tujuan asalnya, mengembara menuju negeri-Nya. Dia menangis, menyesali kesilapan dan kealpaannya. Dia sedar bahawa nikmat dunia itu telah berjaya melupakan dia pada Kekasihnya. Dia merintih sayu, memohon keampunan pada Tuhannya. Banyak kali dia beristighfar, dan memohon petunjuk dari Tuhannya. Dalam sujudnya, dia merayu dikembalikan pada jalan asalnya.

“Ya Allah, jangan Engkau biarkan aku terus dalam kesesatan dan kehinaan di sisi-Mu, maka ya Allah tunjukilah aku jalan yang lurus, kurniakan aku taufiq dan hidayah-Mu…”

Dalam esak tangis itu dia terlihat cahaya putih yang bersinar, seakan tersenyum padanya. Dia berjalan mengikut cahaya itu sehingga menemukan dia kembali pada jalan pertama yang dia lalui. Dia mengucapkan syukur pada Tuhannnya, dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Dia meneruskan perjalanannya seperti biasa dengan semangat yang baru dan lebih berhati-hati dalam mengecapi nikmat dunia di sepanjang perjalanan kembara ini.

Air mata taubat berlinangan membasahi pipi dan sejadah cintanya, biarlah dosa lalu yang menodai cintanya pada Tuhan berguguran. Dia perlu memugarkan kembali cinta dia pada Tuhannya, agar sepanjang kembara menuju negeri-Nya itu sentiasa mendapat lembayung rahmat dan kasih sayang Ilahi. Dia sedar dengan bekalan ilmu dan amal yang sedikit, belum cukup untuk sampai kepada negeri yang ditujunya. Langkahnya perlu diteruskan dan dia pasti perlu berusaha lagi. Dia menengadah ke langit dan menadah tangan memohon agar Tuhannya memberi kekuatan kepadanya untuk meneruskan perjalanan kembara ini, menunjukinya jalan kebenaran dan membalikkan kebatilan.

Kupancarkan karya indahku di ufuk-Nya,

Kusegerakan langkahku menuju negeri-Nya,

Indahnya pemandangan dan suasana malam

gembira, takkan pernah menggoyahhkan tekadku.

Kutinggalkan lembah cinta dengan hati yang berat.

Tapi, kuyakin kelak tidak lagi merasa kesepian dan penderitaan itu.

Kuseru nama Allah Yang Maha Mulia.

Kudakap segenap tulang rusukku kerana takut akan panggilan-Nya.

(Dr. ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni)

Hari esok pasti datang, namun nyawanya belum tentu panjang. Dia kembali tenggelam dalam asyik mengagung Tuhannya.

Sunday, August 23, 2009

Ramadhan Terakhir


"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan bagi orang-orang sebelummu, agar kamu bertakwa"

[Al Baqarah:183]

Ramadhan kembali menjengah diari hidup muslim saat ini. Hadir dengan menawarkan ganjaran yang tiada tolok bandingnya kepada umat Islam untuk berlumba-lumba meraih perhatian dan kasih sayang Allah. Semalam sudah pun bermula ibadah sunat tarawih, yang pastinya hanya ketemu dalam bulan yang mulia ini sahaja. Dan siangnya, bermulalah ibadah puasa buat umat Islam di Malaysia. Alhamdulillah, dapat ketemu Ramadhan al-karim sekali lagi dalam hayat penulis.

Bulan Ramadhan biasanya terkenal dengan jolokan madrasah tarbiyah. Ya madrasah tarbiyah yang mendidik umat Islam untuk menundukkan hawa nafsu dan mentarbiyah umat Islam untuk kembali kepada Sang Pencipta. Fenomena biasa yang kita temui di bulan Ramadhan,

“Jika sebelum Ramadhan tiada tudung menutupi kepala, bila tiba bulan Ramadhan bertudung kerana alasannya puasa, nak pahala lebih,

Jika sebelum Ramadhan surau dan masjid-masjid lengang, sehinggakan nak mendapatkan satu saf penuh pun susah, namun bila tiba bulan Ramadhan berduyun-duyun umat Islam ke masjid-masjid, nak tunaikan solat sunat tarawih berjemaah seperti yang dituntut,

jika sebelum Ramadhan nak bersedekah seringgit pun susah, tapi bila tiba Ramadhan sudah jadi pemurah dan derwaman,

dan banyak lagi fenomena yang kita jumpa…”

Memang bagus jika ada golongan yang menghormati bulan Ramadhan seperti yang penulis gambarkan seperti di atas, namun hakikatnya amat malang untuk golongan seperti ini kerana selepas berlalunya Ramadhan, keadaan mereka kembali seperti asal yakni sebelum Ramadhan. Lalu tarbiyah yang diterima dan pengorbanan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan juga berlalu sahaja seperti berlalunya Ramadhan. Maka sudah barang pasti perkara ini sia-sia untuk insan yang benar-benar ingin meraih cinta dan kasih sayang daripada Allah.

Maka, para pembaca yang budiman, apakah maksud madrasah tarbiyah? Adakah hanya terima tarbiyah dan didikan dalam bulan Ramadhan, namun bila habis Ramadhan segalanya kembali asal seperti kehidupan dahulu atau bagaimana? Umat Islam atau muslim yang berjaya dalam bulan Ramadhan ialah apabila dia dapat mengambil peluang mendekatkan dirinya kepada Allah serta merasai penghayatan Ramadhan dan sehingga mencorakkan dirinya ke arah yang lebih baik selepas berlalunya bulan Ramadhan iaitu dalam mengharungi bulan-bulan yang lain dalam konteks mengaplikasikan tarbiyah Ramadhan.

Ambillah peluang keemasan yang Allah khususkan untuk hamba-hambaNya, yang tiada kita temui melainkan dalam bulan yang barakah ini sahaja. Biarlah nafas ini menjadi tasbih, tidur kita menjadi ibadah, tiap tutur menjadi zikir agar setiap laku, perbuatan, dan perkataan serta diam kita ini dikira oleh Allah Ta’ala sebagai amalan soleh. Perbanyakkan doa, dan mohon keampunan daripada Allah kerana bulan Ramadhan itu adalah rahmat, pengampunan dan dihindarkan kita daripada api neraka. Bulan ini, Allah bukakan untuk hamba-hambaNya pintu syurga seluas-luasnya agar hamba-hambaNya merebut peluang ini dalam mendekatkan diri kepada-Nya dan menjadi hamba-Nya yang bersyukur.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:

"Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu neraka dan setan-setan dibelenggu "

(Nombor hadis dalam kitab Sahih Muslim: 1793)

Penulis mengingatkan diri penulis sendiri dan para pembaca sekalian, bahawa Ramadhan yang hadir ini mungkin merupakan Ramadhan terakhir buat kita, kerana bila-bila masa sahaja, malaikat Izrail akan datang menjemput kita untuk bertemu Tuhan. Maka, sebelum tiba saat itu, rebutlah peluang selagi ada ruang, berusahalah meraih cinta-Nya selagi kita masih berupaya sebelum pergi selama-lamanya, ya pergi yang tidak akan kembali. Maka, janganlah kita tergolong dalam golongan yang rugi yang menangisi dan menyesali kehidupan di dunia kerana perbuatan kita yang culas dan alpa daripada mengingatinya.

Semoga Ramadhan ini akan memberi seribu penghayatan dan keinsafan kepada kita untuk terus menambahbaik dan memperbaiki amalan dalam jalan menuju redha Ilahi.

Saturday, July 18, 2009

RANCAKKAN USRAH


Hati penulis berbelah bahagi. Ada tiga pilihan untuk penulis. Pilihan pertama adalah perancangan asal penulis, kedua pula keinginan penulis, dan pilihan ketiga pula, pada perkiraan penulis adalah tanggungjawab penulis. Penulis akhirnya untuk memilih yang ketiga, menjadi fasilitator untuk Kursus Nuqaba’ di salah sebuah universiti swasta. Melewatkan perancangan asal untuk pulang ke Johor dan memadamkan hasrat untuk mengikuti kongres Pendidikan Islam (KO-SPINS) anjuran GAMIS di Shah Alam. Pilihan kali ini dirasakan tepat kerana pembinaan nuqaba’ untuk kelangsungan tarbiyah di universiti tersebut lebih utama.

Penulis bersyukur kerana ditemukan dengan adik-adik serta sahabat-sahabat daripada universiti tersebut, yang dengan rela hati untuk menjadi nuqaba’. Tanpa kesedaran yang tinggi untuk dakwah Islam, pastinya tidak mudah untuk mereka ke program seperti ini. Lebih-lebih lagi mengorbankan waktu cuti semester yang biasanya diisi dengan aktiviti bersama keluarga, juga semester pendek yang sudah hampir kepada peperiksaan akhir. Alhamdulillah, kesedaran Islam itulah yang mengikat hati mereka untuk berdakwah. Penulis sedikit cemburu dengan universiti tersebut kerana program seperti ini mendapat sokongan daripada pihak HEP sendiri. Alangkah bahagianya jika UM seperti itu juga. Namun, semuanya ada hikmah yang Allah ingin kita perhalusi dalam setiap perkara dalam hidup ini. Kita yang perlu merebut setiap peluang yang hadir dalam hidup kita.


USRAH BERSIFAT DINAMIK

Usrah bukanlah perkara yang wajib untuk tarbiyah. Namun, pada waktu ini usrah dilihat sebagai sistem yang terbaik untuk mengukuhkan kefahaman dan mentarbiyah generasi pada masa ini serta membentuk individu muslim yang baik. Usrah merupakan medan dakwah yang dapat memberi kefahaman Islam kepada mad’u di samping mengikat serta mengukuhkan ikatan ukhuwwah, membangunkan kemahiran diri serta bertukar-tukar pandangan mengenai banyak perkara.

Dalam lapangan masyarakat yang dihimpit dengan kehidupan Jahiliyyah dan dipakaikan pakaian mewah sehingga melupakan indahnya kehidupan sebagai seorang muslim, maka para daie pada hari ini perlu bijak dalam mengenal dan memilih pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat.

Tarbiyah itu adalah bersifat dinamik, maka usrah itu juga perlu dipelbagaikan method pelaksanaannya, agar bersesuaian dengan mad’u. Usrah bukan hanya halaqah di surau-surau bahkan konsep usrah ini perlu diperluas, sehingga para daie perlu keluar daripada kepompong minda yang lapuk. Mengenalpasti dan memperhalusi pendekatan usrah berdasarkan mad’u yang punya pelbagai watak dan gaya perlu dipandang serius kerana dakwah ini adalah melalui method yang berhikmah dan sangat halus sehingga mampu terkesan pada hati mad’u seterusnya mengetuk pintu hati mereka untuk terus mendalami ilmu Islam.

Kelesuan usrah pada hari ini dilihat daripada kurangnya kesungguhan para naqib dan rigidnya pendekatan sehingga wujud jurang di antara mad’u dan naqib. Naqib perlu mencari titik sepunya di antara dirinya dan anak-anak usrahnya agar titik sepunya itu menjadi suis agar dapat menyalakan lampu ukhuwwah dan seterusnya menerangi jalan penyampaian dakwah yang lebih berkesan.


ANDA MAMPU MENJADI NAQIB

Naqib memainkan peranan dalam menyampaikan mesej dakwah kepada mad’u dalam membentuk individu muslim yang sebenar. Dalam hal ini, naqib perlu bijak menarik hati mad’u dengan pelbagai pendektan. Naqib perlu mencungkil bakat dan potensi diri yang ada seterusnya mengembangkannya untuk memaknakan dakwah agar terkesan pada hati mad’u.

Pengalaman menjadi naqib menjadikan seseorang mempelajari dan mempraktikkan sendiri ilmu psikologi kerana dalam menarik perhatian mad’u yang pelbagai latar belakang kehidupan kepada dakwah Islam sangat memerlukan psikologi agar dakwah yang kita sampaikan berkesan dan bersesuaian dengan sasaran dakwah.

Sudah menjadi kelaziman bahawa naqib akan menjadi qudwah kepada anak usrahnya. Maka, “islah nafsak wad’u ghairak” sangat perlu diberi perhatian oleh setiap naqib. Diri kita bukanlah sempurna, namun kita sentiasa perlu berusaha menjadi yang terbaik dalam kehidupan seorang muslim baik dari segi ilmu, hubungan dengan Allah akhlak dan sebagainya. Jangan sesekali menjadikan alasan (diri saya masih teruk…saya belum soleh lagi…) sebagai penghalang untuk menjadi seorang daie. Usaha untuk berhijrah dengan kefahaman Islam yang benar perlu diseiringkan dengan penyampaian dakwah. Rasulullah S.A.W bersabda: “Ballighu ‘anni walau ayyah…

KESIMPULAN

Dalam membentuk seorang muslim dan penyampaian dakwah Islam, kita perlu mengambil partisipasi bagi mengubah keadaan masyarakat kita pada hari ini yang kontang dan gersang dengan pengetahuan serta kesedaran beragama. Kita perlu menggembleng tenaga, bersama-sama berganding bahu mengislah masyarakat ini agar kembali kepada Allah. Tiadalah insan lain yang perlu kita harapkan untuk meneruskan perjuangan nabi Allah ini melainkan diri kita sendiri. Gerakan dakwah perlu dirancakkan, gerakan tarbiyah perlu bersifat dinamik agar masyarakat ini mampu diislahkan, insyaAllah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...