Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Sunday, August 23, 2009

Ramadhan Terakhir


"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan bagi orang-orang sebelummu, agar kamu bertakwa"

[Al Baqarah:183]

Ramadhan kembali menjengah diari hidup muslim saat ini. Hadir dengan menawarkan ganjaran yang tiada tolok bandingnya kepada umat Islam untuk berlumba-lumba meraih perhatian dan kasih sayang Allah. Semalam sudah pun bermula ibadah sunat tarawih, yang pastinya hanya ketemu dalam bulan yang mulia ini sahaja. Dan siangnya, bermulalah ibadah puasa buat umat Islam di Malaysia. Alhamdulillah, dapat ketemu Ramadhan al-karim sekali lagi dalam hayat penulis.

Bulan Ramadhan biasanya terkenal dengan jolokan madrasah tarbiyah. Ya madrasah tarbiyah yang mendidik umat Islam untuk menundukkan hawa nafsu dan mentarbiyah umat Islam untuk kembali kepada Sang Pencipta. Fenomena biasa yang kita temui di bulan Ramadhan,

“Jika sebelum Ramadhan tiada tudung menutupi kepala, bila tiba bulan Ramadhan bertudung kerana alasannya puasa, nak pahala lebih,

Jika sebelum Ramadhan surau dan masjid-masjid lengang, sehinggakan nak mendapatkan satu saf penuh pun susah, namun bila tiba bulan Ramadhan berduyun-duyun umat Islam ke masjid-masjid, nak tunaikan solat sunat tarawih berjemaah seperti yang dituntut,

jika sebelum Ramadhan nak bersedekah seringgit pun susah, tapi bila tiba Ramadhan sudah jadi pemurah dan derwaman,

dan banyak lagi fenomena yang kita jumpa…”

Memang bagus jika ada golongan yang menghormati bulan Ramadhan seperti yang penulis gambarkan seperti di atas, namun hakikatnya amat malang untuk golongan seperti ini kerana selepas berlalunya Ramadhan, keadaan mereka kembali seperti asal yakni sebelum Ramadhan. Lalu tarbiyah yang diterima dan pengorbanan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan juga berlalu sahaja seperti berlalunya Ramadhan. Maka sudah barang pasti perkara ini sia-sia untuk insan yang benar-benar ingin meraih cinta dan kasih sayang daripada Allah.

Maka, para pembaca yang budiman, apakah maksud madrasah tarbiyah? Adakah hanya terima tarbiyah dan didikan dalam bulan Ramadhan, namun bila habis Ramadhan segalanya kembali asal seperti kehidupan dahulu atau bagaimana? Umat Islam atau muslim yang berjaya dalam bulan Ramadhan ialah apabila dia dapat mengambil peluang mendekatkan dirinya kepada Allah serta merasai penghayatan Ramadhan dan sehingga mencorakkan dirinya ke arah yang lebih baik selepas berlalunya bulan Ramadhan iaitu dalam mengharungi bulan-bulan yang lain dalam konteks mengaplikasikan tarbiyah Ramadhan.

Ambillah peluang keemasan yang Allah khususkan untuk hamba-hambaNya, yang tiada kita temui melainkan dalam bulan yang barakah ini sahaja. Biarlah nafas ini menjadi tasbih, tidur kita menjadi ibadah, tiap tutur menjadi zikir agar setiap laku, perbuatan, dan perkataan serta diam kita ini dikira oleh Allah Ta’ala sebagai amalan soleh. Perbanyakkan doa, dan mohon keampunan daripada Allah kerana bulan Ramadhan itu adalah rahmat, pengampunan dan dihindarkan kita daripada api neraka. Bulan ini, Allah bukakan untuk hamba-hambaNya pintu syurga seluas-luasnya agar hamba-hambaNya merebut peluang ini dalam mendekatkan diri kepada-Nya dan menjadi hamba-Nya yang bersyukur.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:

"Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu neraka dan setan-setan dibelenggu "

(Nombor hadis dalam kitab Sahih Muslim: 1793)

Penulis mengingatkan diri penulis sendiri dan para pembaca sekalian, bahawa Ramadhan yang hadir ini mungkin merupakan Ramadhan terakhir buat kita, kerana bila-bila masa sahaja, malaikat Izrail akan datang menjemput kita untuk bertemu Tuhan. Maka, sebelum tiba saat itu, rebutlah peluang selagi ada ruang, berusahalah meraih cinta-Nya selagi kita masih berupaya sebelum pergi selama-lamanya, ya pergi yang tidak akan kembali. Maka, janganlah kita tergolong dalam golongan yang rugi yang menangisi dan menyesali kehidupan di dunia kerana perbuatan kita yang culas dan alpa daripada mengingatinya.

Semoga Ramadhan ini akan memberi seribu penghayatan dan keinsafan kepada kita untuk terus menambahbaik dan memperbaiki amalan dalam jalan menuju redha Ilahi.

Sunday, April 12, 2009

Menjelang Saat Itu...

Bertambahlah usia penulis pada penghujung bulan Mac yang lalu, sungguhpun jika dikira pada kalendar Hijri masih lama lagi. Ucapan terima kasih buat sahabat-sahabat yang mendoakan kesejahteraan diri, peningkatan iman dan taqwa, dipermudahkan urusan hidup. Syukran lakum! Syukran kepada seorang sahabat yang menghadiahkan sebuah buku berkaitan dengan wanita kepada penulis. Moga buku itu memberi makna yang mendalam kepada penulis dan menjadi cabaran untuk meraih muslimah solehah di sisi Allah, ameen.

Apabila berbicara soal kelahiran, pastinya akan mengingatkan kita kepada kematian kerana Allah telah berfirman "Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.." Setiap kali pertambahan usia, tidak kisah sama ada bertambah usianya setahun atau dihitung umurnya pada setiap hari, pasti saat menemui Tuhan itu akan kita ingati. Sejauh mana persediaan kita menghadapinya, tepuk dada tanya iman. Jika kita tergolong dari kalangan orang yang bijaksana, maka kita akan sentiasa mengingati mati dan bersedia menghadapinya. Kematian adalah satu muhasabah kepada kita yang masih hidup...

MUHASABAH SEBUAH KEMATIAN

Sekadar Hiasan

Pulang ke rumah agak lewat pada malam itu kerana ada pertemuan dan diskusi dengan sahabat-sahabat UPM yang bertandang ke UM. Berdiskusi berkaitan hal-hal pembinaan rijal al-dakwah. Walaupun masanya agak terbatas, tetapi pertemuan itu amat bermakna. Mata sudah minta dilelapkan, badan sudah lama memberi isyarat keletihan, seharian memerah keringat sungguhpun bukan membanting tulang sepersis petani-petani di ladang atau juga membajak seperti pesawah di bendang. Keringat minda dan penyediaan fizikal menuntut ilmu juga memberikan keletihan pada badan. Penulis gagahkan diri mencapai laptop, dengan hajat untuk menyiapkan kerja-kerja kuliah yang masih bersisa. Sebaik sahaja ke udara melalui Yahoo Messenger yang terbuka secara automatik, seorang sahabat ana menghantar pesanan.

"Nenek kita (pengganti diri untuk sahabat ana) dah meninggal..."

"
Innalillahi wa innailaihiraaji'uun..."

Penulis tersentak. Baru isya' tadi sahabat itu menghantar pesanan bertanyakan mengenai hal neneknya yang sudah lama terlantar sakit.

"Nenek dah lama terlantar sakit dan beberapa kali nazak..."

"..
mungkin kerana sebelum ni dia tak laksanakan @ selalu tinggalkan solat..."
sahabat itu menyambung.


Pesanan yang dihantar isya' tadi melalui Yahoo Messenger yang membuatkan penulis betul-betul insaf. jauh di sudut hati, penulis bersyukur kepada Tuhan dengan perkhabaran terbaru ini kerana Allah telah memudahkan urusan arwah pergi menghadap-Nya. Mudah-mudahan ruhnya mendapat keampunan daripada Allah. Mata yang tadinya minta dilelapkan, kembali celik. Keletihan badan bukan perkara pokokbuat masa ini. Penulis gagahi diri menemani sahabat itu menuju ke utara tanah air, menemaninya pulang dengan kereta. Jam 4pagi, kami tiba di kampungnya. Alhamdulillah, sebelum solat Jumaat jenazah arwah selamat disemadikan.

Sesungguhnya kematian ini adalah satu muhasabah yang sangat besar buat kita yang masih hidup. Apakah agaknya kesudahan untuk sebuah kehidupan kita di dunia? Apakah kita akhiri hayat kita dengan kesudahan yang baik, yang bertemu Tuhan dalam keadaan tenang dan menggembirakan, atau apakah akhirnya hayat kita dengan keadaan yang sebaliknya? Rasulullah kekasih Allah yang maksum juga terasa sakit hingga tidak tertahan ketika sakaratul maut, sedangkan malaikat Izrail mencabut ruh baginda dengan cara yang paling halus, apatah lagi kita umatnya yang punya berbukit-bukit dosa ini.

Wahai jiwa-jiwa yang masih hidup, ingatlah sesungguhnya mati itu adalah pasti. Hitunglah bagaimana keadaan amalan kita kepada Allah? Apakah solat kita selama ini hanya memenuhi sekadar melepaskan batuk di tangga atau solat sebagai seorang hamba yang bersyukur? Bagaimanakah dengan dosa yang kita lakukan? Apakah semakin bertambah atau sudah mula kita kurang dan jauhkan larangan Allah? Ya, sesungguhnya mengingati kematian adalah satu perkara yang baik, namun bersiap sedia menghadapi kematian adalah bukti kebijaksanaan kita.

WARKAH BUAT DIRI



Salamullahi 'alaik…

Buat jiwa yang sentiasa merindui Allah, mengharapkan kecintaan daripada-Nya, sesungguhnya telah bertambah usiamu pada 28hb Mac yang lepas, menjadikan engkau semakin dewasa dan semakin menghampiri kematian. Pada tahun 2009 ini, maka usiamu bertambah menjadi 23tahun. Sudah 23 tahun engkau menghirup udara yang Allah kurniakan, menikmati nikmat daripada-Nya, juga entah berapa banyak dosa yang engkau himpunkan sepanjang kembara hidup ini. berapa banyak pula sumbangan dan amalan yang engkau lakukan untuk Islam dalam meraih redha-Nya?


Wahai jiwa yang rindukan cinta Allah,


Apakah cukup dengan amalanmu sebelum ini untuk meraih cinta Allah?Apakah dosamu yang bertimbun mampu menagih kasih sayang-Nya? Apakah engkau sudah bersedia menemui Tuhanmu sebagai seorang hamba-Nya yang soleh? Sedarlah jiwa yang masih lena. Jangan cepat berpuas hati dengan amalanmu. Jangan menyangka sedikit dosamu, tapi bertaubatlah wahai jiwa yang masih hidup sebelum tiba saat itu. Jadilah hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dan bukannya kufur.


Ikhlaskan hatimu dalam setiap amalanmu

Basahilah bibirmu dengan zikir
memuji dan mengagung Tuhanmu Rukuk dan sujudlah kepada Tuhanmu
Di kala susah mahupun dalam senang

Memohon ampun dan mengharap redha-Nya

Moga lembayung rahmat dan kasih sayang-Nya

menaungi sepanjang kembara hidupmu

Monday, March 16, 2009

Teladan Sebuah Kehidupan

Perjalanan malam yang panjang agak meletihkan. Ini baru perjalanan berkereta dengan jalan raya yang berturap. Bagaimana perjalanan nabi Muhammad S.A.W serta para sahabat yang berhijrah ke Yathrib, menjelajah pelusuk negeri untuk membuka kota-kota, menyebarkan dakwah Islam? Penulis bermonolog sendirian. Menginsafi kegigihan para Rasul dan para sahabat yang tidak mengenal erti perit dan jerih, jemu dan muak untuk menyebarkan tauhid. Jika semangat dan kefahaman itu ada pada setiap rijal ad-dakwah pada hari ini, pasti umat Islam itu bukan berada ditakuk ini. Penulis kemudian menghadiahkan al-Fatihah buat pejuang-pejuang Islam.


Penulis memandang ke luar tingkap kereta. Sejuk mata memandang. Tumbuhan yang tumbuh menghijau membuat hati penulis tenang. Langit yang membiru dihiasi awanan putih menambah rasa kagum dan cinta kepada Sang Pencipta.

Menyorot kembali sirah perjalanan Rasulullah S.A.W dengan para sahabat tentang tarbiyah mereka, perjuangan dan pengorbanan yang mereka curahkan untuk meninggikan agama Allah membuat hati penulis insaf dengan banyaknya kekurangan diri dalam perjuangan Islam. Sempat penulis kongsikan sorotan teladan yang ditonjolkan oleh Rasulullah dan para sahabat kepada sahabat-sahabat Fakulti Perubatan beberapa minggu yang lepas dalam satu pengisian bersama mereka. Walaupun sekejap, namun diharapkan ilmu yang diberikan dalam masa singkat itu terkesan pada hati penulis sendiri dan juga sahabat-sahabat. Mengimbau kembali perjalanan hidup nabi Muhammad S.A.W sejak dari dilahirkan hinggalah wafat baginda banyak sangat suri teladan yang boleh kita ikuti. Allah Ta'ala berfirman dalam al-Quran:

قل ان كنتم تحبون الله فاتبعوني يهببكم الله ويغفر لكم ذنوبكم والله غفور رحيم
"Katakanlah: Jika kamu mengasihi Allah, ikutilah aku (Muhammad) nescaya Allah akan mengasihimu dan mengampuni dosamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" Surah Ali Imran:ayat 31

DINAMIKA TARBIYAH


Rasulullah ditarbiyah terus oleh Allah Ta'ala, begitu juga para sahabat yang bersama-sama Rasulullah. Tarbiyah daripada Allah bukan dalam konteks tamrin, kem bina atau sebagainya seperti pelaksanaan dan pengamalan kita hari ini, akan tetapi dalam bentuk praktikal yang realiti. Jika kita cermati bagaimana perjalanan hidup Rasulullah S.A.W daripada sebelum menjadi Rasul sehinggalah baginda berdakwah melaksanakan amanah yang ditaklifkan oleh Allah kepada baginda. Didikan Allah kepada kekasih ini adalah didikan yang merangkumi segala aspek kehidupan. Rasulullah dididik untuk bersabar dalam pelbagai keadaan bukan setakat baginda dan para sahabat dipulaukan bahkan Rasulullah sendiri diuji ketahanan mental baginda dengan cercaan dan pelbagai lagi ancaman sehingga Rasulullah diancam untuk dibunuh. Hijrah baginda dan para sahabat ke Thaif yang disambut dengan lontaran batu sehingga diceritakan bahawa berkocak kasut baginda dengan darah. Tarbiyah

Rasulullah dan para sahabat adalah sangat berbeza dengan tarbiyah buat para du'at masa ini. Ini kerana tarbiyah hari ini bukan datang terus daripada Allah. Pelaksanaan tamrin, mukhayyam, rehlah, katibah dan seumpamanya adalah merupakan ijtihad masa kini dalam membentuk dan mentarbiyah
rijal al-dakwah untuk terus menegakkan agama Allah. Namun, konsep dan kandungan dalam program-program tersebut adalah berdasarkan kepada ajaran Rasulullah, tidak lari daripada membicarakan bab aqidah, ibadah, perjuangan Islam sama ada dalam konteks tarbiyah ruhaniyyah, tarbiyah jasadiyyah (fizikal), tarbiyah thaqafiyyah (ilmu) juga tarbiyah khuluqiyyah (akhlak dan sikap). Semua ramuan ini diadun dalam program seperti yang telah penulis sebutkan tadi.

Tarbiyah inilah yang membentuk dan membina
rijal al-dakwah yang punya keimanan yang tinggi kepada Allah, memberi faham tanggungjawab sebagai seorang muslim sama ada untuk beribadah kepada Allah dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Maka, program-program seperti ini perlu menjadi budaya masyarakat pada hari ini bahkan bukan pula menjadi momokan yang mengerikan. Perkataan tamrin sama seperti Latihan PLKN, kem bina insan, Biro Tata Negara, namun modus operandinya sahaja berbeza. Pengisian yang dibawa lebih memberi kenal kepada masyarakat tentang Islam. Mukhayyam, seminar, simposium dan banyak lagi wacana ilmiah yang boleh digarap dan diaplikasi dalam konteks pendidikan anak-anak muda khususnya, agar mereka ini lahir dalam keadaan faham akan Islam dan perjuangan Rasulullah. Ini hanya satu ijtihad yang menjadi manhaj dalam kebanyakan gerakan Islam. Bahkan Ikhwan muslimin juga mempelopori manhaj tarbiyyah ini.


Pelaksanaan usrah yang semakin lesu di mana-mana tempat dilihat sebagai suatu yang menyedihkan. Jika pada zaman Rasulullah, pada awal perkembangan Islam, umat Islam terpaksa bersembunyi untuk berusrah dengan baginda di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam, dan mereka bersungguh-sungguh untuk mengetahui mengenai Islam, namun pada hari ini usrah tidak menjadi budaya kepada masyarakat hari ini. Bahkan ramai yang fobia apabila mendengar perkataan usrah. Usrah adalah medan percambahan ilmu dan mendalami agama Allah. Penerapan konsep aqidah, ibadah, akhlak, dakwah dan sebagainya adalah asas pengetahuan tentang Islam. Pada hemat penulis, pendekatan usrah perlu lebih kreatif dan fleksibel. Bukan hanya dilaksanakan dalam halaqah-halaqah semata-mata, bahkan dalam konteks mad'u kita yang pelbagai latar belakang pelaksanaannya perlu lebih dinamik. Mungkin pelaksanaan usrah boleh dilakukan dalam bentuk riadhah, atau di kafetaria atau apa sahaja asalkan pengisian sebenar dapat disampaikan dan difahami secara baik oleh mad'u.


Satu ketumbukan baru dalam pelaksanaan dan pendekatan tarbiyah perlu dicermati agar tarbiyah Islam ini boleh dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan kepada segelintir masyarakat sahaja memandangkan masyarakat pada hari ini berada dalam kebejatan gejala sosial yang teruk dan semakin jauh daripada agama. Tarbiyah ini perlu bermula daripada rumah dan seterusnya dilaksanakan dalam peringkat pendidikan di sekolah dan kampus. Masalah disiplin pelajar yang semakin meningkat dan telah menjadi barah dalam masyarakat boleh dikurangkan dan menjadi sifar jika penerapan pemahaman asas-asas Islam ini diberikan secara serius kepada masyarakat.

Friday, December 12, 2008

Inzar di Eid Adha

Eid adha yang disambut pada kali ini memperlihatkan kepada kita beberapa kebesaran Allah yang maha hebat..Jika 26 Disember dahulu kita digemparkan dengan tsunami, namun Disember pada kali ini Allah memperlihatkan kekuasaan-Nya dengan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan di Selangor. Bermula dengan tanah runtuh di Hulu Yam yang mengorbankan 2orang adik-beradik, diikuti dengan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang merupakan kediaman golongan-golongan elit.

Dalam kejadian terbaru di Bukit Antarabangsa ini 4 orang telah disahkan terkorban manakala seorang lagi mangsa dipercayai masih hilang. 14 buah banglo di Taman Mewah dan Taman Bukit Utama juga habis tertimbus.

Antara rumah yang terkorban

Inilah satu lagi bencana alam yang Allah turunkan kepada kita sebagai inzar dan peringatan buat kita. Jika peringatan pertama telah Allah berikan dengan runtuhnya Highland Towers pada 11 Disember 1993, namun tangan-tangan manusia ini masih rakus menggondolkan gunung-ganang dan bukit-bukau yang menjadi pasak bumi ini. Nah! Allah beri isyarat kedua kepada kita supaya kita berfikir yang sedar akan kesilapan kita.

"Dia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu dan Dia biakkan padanya berbagai jenis binatang; dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat"
Surah Luqman: ayat 10


Saban hari ana menatap wajah-wajah hiba di kaca televisyen kerana terkorbannya nyawa dan harta benda. "Ini mesti ada yang tak bayar zakat..." seorang saudara ana memberi komen bila mana melihat kejadian di kaca televisyen.

"Biarlah golongan elit ni tau pula penderitaan orang-orang miskin..selalu hidup senang..biar diorang rasa pula apa yang orang miskin rasa..." seorang lagi menambah.

Ana yang berada di situ hanya mendengar pandangan mereka. Ada benarnya..Mungkin juga ini adalah salah satu pembersihan harta oleh Allah untuk orang yang tidak membayar zakat atau dosa-dosa yang terpalit pada harta benda mereka.

Ana agak terkilan bila beberapa orang menteri ada mengeluarkan kenyataan.."Jika ini adalah kesilapan manusia kenapa ia tidak terjadi 15 tahun dahulu.." Kenyataan ini seolah-olah menyalahkan Allah yang menurunkan bencana alam kepada masyarakat Malaysia pada hari ini.

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
Surah al-Ahzab:72

Orang-orang yang beriman akan melihat bencana alam ini sebagai bukti kekuasaan Allah serta peringatan untuk diambil pengajaran oleh manusia agar tangan-tangan manusia ini tidak rakus merosakkan bumi ini kerana halobanya pada nikmat dunia. Fikir dan nilailah sebagai seorang yang beraqidah dengan Allah, serta pandanglah setiap sesuatu itu dengan teliti agar kita tidak terpesong dari jalan yang benar.

Dalam mentadbir bumi ini kita sebagai khalifah yang ditaklifkan oleh Allah perlu mengimarahkan bumi ini dengan sebaik-baiknya agar dapat memberi manfaat kepada manusia dan hidupan lainnya.

Friday, October 10, 2008

Kemenangan untuk yang bersyukur

Masih tidak terlambat kiranya untuk menyampaikan Salam lebaran buat teman-teman dan sahabat-sahabat seperjuangan...

Dalam kebutuhan waktu menyiapkan assignment, sempat juga mencuri masa mencoret sesuatu dalam teratak maya yang usang dan tandu
s dengan penulisan dan hasil karya ini. teringat akan ayat Allah, "Berilah peringatan sesungguhnya ia berguna untuk orang mukmin.." menulis sesuatu yang berguna buat teman-teman juga memberi manfaat selagi hasil penulisannya berbentuk inzar atau memberi input berguna.



MUHASABAH RAMADHAN

Bahang Syawal membawa pergi Ramadhan Karim yang penuh barakah. Berlalu sudah madrasah tarbiyah, muncul pula medan menifestasi iman kita selama sebelas bulan, menguji sejauh mana kekuatan rohani kita melawan segala macam bentuk ujian di dunia fana ini. Berlalunya Ramadhan, apakah seperti berlalunya bulan-bulan lain dalam hidup ini...apakah terkesan tarbiyah selama sebulan yang dikurniakan Allah kepada kita? Apakah kita berpuas hati dengan pencapaian ibadah atau taqarrub kita pada Ramadhan lalu?Memang tidak layak untuk kita menilai amalan kita cuma sebagai pembakar semangat dalam meneruskan pencarian cinta Ilahi dan redha-Nya.. Kita pun tidak dapat menjangka apakah kita berpeluang ditemukan semula dengan bulan Ramdhan akan datang..kerana ajal dan maut berada dalam pengetahuan Allah dan di luar had keupayaan ilmu manusia. Ajal atau maut bakal datang menjemput kita bila-bila waktunya sebagaimana yang termaktub di Luh mahfuz..sama ada kita bersedia atau tidak..dalam keadaan sihat atau sakit..teringat akan arwah sahabat sekuliah dengan ana di UM yang dijemput pulang oleh Allah dalam sekelip mata pada hari raya ke-5 dalam satu kemalangan jalan raya. al-Fatihah untuk arwah Nur Hazwani Zakaria..moga ruhnya ditempatkan oleh Allah bersama hamba-hambaNya yang soleh, insyaAllah.


KEMENANGAN


Dalam berbicara soal kemenangan pada bulan Syawal ini, apakah erti kemenangan pada pandangan kita? Apakah kemenangan seperti kita memenangi tempat dalam suatu pertandingan atau bagaimana? Kemenangan Syawal ini adalah untuk mereka yang menggunakan sebaik-baiknya peluang Ramadhan untuk menambah rasa cinta dan taqwa kepada Allah. Hamba yang merebut peluang keemasan untuk meraih redha-Nya. Bukan setakat amalan wajib tapi amalan sunat yang mampu menampung kekurangan dalam memberi persembahan hadiah terbaik kepada Allah..inilah hamba-hamba Allah yang bersyukur dengan segala kurniaan Allah selama kita berada di dunia ini. bagaimanakah kemenangan yang diraih ini disambut oleh hamba-Nya ini? Apakah dengan hanya berpakaian segak, cantik bergaya, atau hidangan yang lazat atau juga dendangan lagu raya yang menjadi kegemaran masyarakat sekarang ini cukup untuk menyambut kemenangan ini?


Sahabat-sahabat...

Biarlah kemenangan Ramadhan ini kita sambut dengan rasa rendah diri dan bersyukur sebanyak-banyaknya kepada Khaliq, Pencipta kita. Biarlah tarbiyah selama sebulan di bulan Ramadhan menjadi batu asas untuk kemenangan Islam di bumi Allah ini. Biarlah ia membawa kepada kebangkitan Islam dan seterusnya kemenangan umat Islam secara keseluruhan dalam menegakkan kalimah Allah. Menifestasi iman ini kita tonjolkan dengan melahirkan kecintaan kita kepada Islam melalui pengorbanan untuk Islam, menyiapkan diri untuk meneruskan jihad di bumi Allah ini sehingga Islam tertegak kembali. "Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.."

Friday, June 20, 2008

Ujian Tarbiyah Dari Allah


Salam buat teman-teman. sesungguhnya hidup kita ini tidak lari daripada ujian dan cabaran yang mana memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapinya. Seawal kita terjaga dari lena hinggalah kita melelapkan mata semula, pelbagai bentuk cabaran yang kita hadapi. Namun hari ini, kebanyakan dari kita hanya menganggap ujian dan cabaran hanya dalam bentuk musibah yang menimpa kita, sedangkan ujian Allah maha luas. Ujian Allah meliputi kekayaan, kesenangan, kesakitan, kesusahan dan kesengsaraan. Manusia sering melihat ujian hanya dari sudut kesusahan sedangkan ujian kekayaan dan kesenangan, pangkat dan harta adalah ujian yang lebih hebat kerana kebanyakan kita mudah sedar dan kembali kepada Allah jika menghapai kesusahan, namun berapa ramai yang mengingati Allah ketika berada dalam kenikmatan dan kesenangan hidup???

Kesyukuran kita mudah terungkap apabila kita kecapi kesenangan setelah hadirnya kesusahan, namun sukar sekali mengungkapkan kesyukuran dengan berbuat dalam keadaan kita sentiasa berada dalam kesenangan tanpa merasai kesengsaraan. inilah yang dikatakan kufur nikmat.

Firman Allah dalam al-Quran : "Jika kamu bersyukur (dengan nikmat-Ku), maka akan Aku tambahkan lagi nikmat kepadamu, namun jika kamu kufur maka azab-Ku amatlah pedih"

Kesimpulannya, buat renungan bersama segala nikmat dan musibah yang Allah berikan kepada kita, pandanglah sebagai satu tarbiyah daripada-Nya, yang mana menuntut kesabaran yang tinggi dalam menghadapinya. Keimanan dan keyakinan yang mendalam terhadap Allah akan membuat kita berasa bahagia dalam menghadapi ujian Allah. Ingatlah, selepas kesusahan pasti akan hadirnya kesenangan. Gandakan amalan, tingkatkan keimanan moga-moga beroleh kemenangan di sisi Allah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...