Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.
Mentari bersinar cerah pagi Jumaat, sayyidul ayyam pertama dalam tahun 2014. Hari ini agak lambat ke sekolah berbanding hari semalam. Mungkin kerana berjaga untuk menyiapkan kerja-kerja yang belum dibereskan. Alhamdulillah, masih sempat mengatur murid untuk bacaan Yasin yang memang telah menjadi kelaziman setiap pagi Jumaat di sekolah ini.
Usai ustaz membaca doa selepas bacaan Yasin, tiba giliran penulis untuk memberi sedikit pengisian pada hari Jumaat pertama 2014 ini. Walaupun pada kebiasaannya Ketua Panitia yang akan memulakan sesi tazkirah dahulu, namun penulis ditaklifkan oleh beliau untuk menjadi orang pertama menyampaikan tazkirah pada tahun ini. Penulis berpendapat, mungkin ini yang Allah takdirkan yang terbaik buat penulis..dapat berbicara awal bersama anak-anak ini. Penulis bersyukur. Sebagai permulaan tahun baharu dan permulaan sekolah, penulis hanya berbicara tentang perkara-perkara asas sahaja kepada anak-anak didik agar mereka mudah untuk mempraktikkannya. Perkara yang penulis sentuh ialah rasa syukur kepada Allah, perbaharui niat dan menanamkan azam yang baik untuk tahun ini. Penulis teringat kata-kata orang bijak pandai yang dinukilkan oleh Ustaz Pahrol Mohamad Joui dalam buku beliau Di Mana DIA di Hatiku?
"Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya untuk BERUBAH, manakala orang yang gagal ialah orang yang BERUBAH kerana TERPAKSA.."
Penulis berhajat untuk bercerita tentang alim ulama dahulu dalam menuntut ilmu, namun masa tidak mengizinkan. Moga ada kesempatan waktu yang lain untuk berbicara secara terbuka kepada anak-anak didik ini di waktu yang lain.
Alhamdulillah, saat membaca bait-bait puisi yang sempat penulis beli sewaktu bertandang ke Indonesia bulan lalu, lebih tepat lagi ke Universitas Indonesia, hati penulis terdetik untuk berkongsi bacaan juga buat teman-teman blog yang sudah lama penulis biarkan sunyi tanpa apa-apa pesan. Moga-moga puisi ini dapat memberi ingatan, muhasabah buat jiwa-jiwa kita yang suram.
Kubangun Sejuta Sujud oleh:Isbedy Stiawan ZS
Dimana kusimpan syahwat Hingga pada-Mu aku khianat?
Kini aku kembali ke kalimat-kalimat Membaca dan mengingat Setiap surat demi surat Yang mengajarkan rahasia Juga patahan jalan
Dari seribu alpa Kubangun sejuta sujud Dan keluasan sesal Aku tersedu, tumpah: Airmataku jadi lautan Kubikin perahu Dengan darahku Di laut sunyi malam ini Aku layarkan Mendedah ombak Menikam angin Kubakar seribu alpaku Syahwat kutenggelamkan
Jadi buih
Perahuku penuh sayap Tak singgah di pulau itu Tapi terbang. Aku terbang Melebihi gunung Lampaui awan Lebih jauh dari pesawat terbang Tak jatuh. Tak terbakar Terus naik Ke langit
Pertamanya penulis ingin merafakkan takziah buat kerabat di raja Johor atas kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar yang sudah hampir tiga dekad memerintah jajahan takluk Johor. Penulis juga turut berduka atas pemergiaan sultan. Sungguhpun tidak pernah ketemu, namun sebagai rakyat Johor pastinya pemergian orang besar dalam negeri dirasai juga. Mungkin berita kegeringan dan kemangkatan sultan agak lambat penulis ketahui. Jam enam petang hari Jumaat lepas, baru penulis tahu bahawa almarhum sultan gering. Lewat jam 11.30 malam baru penulis tahu bahawa Sultan Johor sudah pun mangkat selepas pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Johor. Penulis mendoakan semoga ruhnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang diredhai Allah hendaknya. Teringat pengalaman saudara Aziz Desa bersama almarhum Sultan Johor yang sempat beliau kongsi bersama sewaktu siaran Nasi Lemak Kopi O di TV9. Diceritakan peribadi almarhum sultan yang sangat teliti dan derwaman, apabila melihat kasut beliau pakai semasa dalam satu majlis melawat pameran, almarhum menegur akan kasutnya yang kotor. Saudara Aziz menjawab kepada sultan bahawa dia tidak punya duit untuk membeli kasut baru. Lalu dihulurkan wang kepada saudara Aziz Desa agar dia dapat membeli kasut yang baru. Hanya perkongsian cerita, semoga segala peribadi yang baik yang ditonjolkan oleh orang lain dapat juga kita contohi.
Lama sudah tidak menulis di laman blog penulis sehinggakan sudah bertukar tahun, baik tahun Hijriah mahu pun tahun Masehi. Kanak-kanak juga sudah memulakan persekolahan, begitu juga dengan sahabat-sahabat mahasiswa yang baru memulakan pengajian untuk semester baru. Selamat meneruskan langkah dalam mencari ilmu buat kita semua.
Apabila bercerita mengenai persekolahan, penulis teringat akan zaman persekolahan dahulu. Zaman kanak-kanak yang penuh keriangan dan warna-warni. Mungkin setiap daripada kita mempunyai cerita tersendiri. Mengikut diari hidup penulis, penulis memulakan persekolahan secara formal ketika usia penulis 6 tahun, iaitu setahun selepas perginya ayah buat selama-lamanya. Akan tetapi bukan sekolah Tadika seperti sahabat-sahabat yang lain. Penulis serta adik-beradik yang lain tidak pernah ke sekolah tadika. Terus sahaja melangkah ke Darjah 1. Mungkin kerana kehidupan di kampung penulis di daerah Segamat pada waktu itu belum pun mempunyai tadika. Setelah berhijrah ke bandar Tangkak, penulis dimasukkan terus ke Kelas Fardhu A'in (KAFA). Biasanya KAFA ini untuk pelajar Darjah 1, namun ibu penulis tetap juga mendaftarkan penulis ke kelas KAFA pada usia 6 tahun. Maka, belajarlah penulis di kelas KAFA selama 3 tahun (sepatutnya hanya 2tahun).
Pada tahun 1993, penulis memulakan persekolahan sekolah rendah. Penulis masih ingat lagi waktu hari pertama persekolahan. Penulis berjalan kaki bersama-sama dengan kedua-dua orang kakak penulis ke sekolah yang tidak jauh daripada rumah kami. Ibu penulis tidak dapat hadir untuk sesi pendaftaran pagi itu. Penulis faham, bukan niat ibu untuk membiarkan penulis pergi sendirian, namun dia terpaksa berkerja.
"Nanti sampai sekolah, tunggu depan bilik guru, nanti kalau ada cikgu tanya, nak masuk Darjah 1, ikut cikgu tu.." Ibu penulis berpesan.
Penulis berasa sungguh seronok bercampur gemuruh, kerana hari itu adalah hari pertama persekolahan. Kakak penulis ketika itu masing-masing Darjah 4 dan 5. Kami melangkah ke sekolah bersama-sama. Mereka menghantar penulis di hadapan bilik guru dan terpaksa meninggalkan penulis sendirian tatkala mendengar loceng berbunyi. Dari jauh, penulis dapat melihat sahabat-sahabat yang sebaya penulis beratur sambil diperhatikan oleh seorang guru. Mereka berjalan dalam barisan, di hadapan penulis.
"Nak masuk Dajah 1 ke?" Seorang guru perempuan menegur penulis. Penulis hanya mengangguk. Dia meminta penulis turut serta dalam barisan tersebut. Setelah tamat perhimpunan, kami ke kelas yang terletak bersebelahan dengan bilik guru. Ramai ibu bapa yang hadir untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pendaftaran.
Seorang kanak-kanak lelaki yang mempunyai wajahnya seperti Cina begitu mencuit hati penulis. Kanak-kanak itu menangis tatkala bapanya meninggalkan kelas selepas selesai urusan pendaftaran. Akibatnya, cikgu penulis terpaksa memujuknya, namun tidak berjaya. Akhirnya, bapa kanak-kanak itu terpaksa menunggunya sehingga tamat waktu sekolah.
Penulis bersyukur kerana pelajaran pertama yang penulis terima pada hari pertama persekolahan adalah BERDIKARI (berdiri di atas kaki sendiri). Pelajaran pertama itu penulis semat dalam diri untuk terus digunakan pada hari-hari mendatang. Pengalaman itulah antara pelajaran terbaik untuk sebuah kehidupan. Jalan-jalan hidup yang bengkak-bengkok dan berliku-liku pasti akan membuatkan diri seseorang itu cepat matang dalam hidup. Namun, pengalaman ketika menempuh jalan-jalan itu tidak cukup untuk membuatkan seseorang itu bijak menilai sebuah kehidupan jika tiada ilmu dan iman yang memandu untuk menuju sebuah destinasi yang diredhai.
Esok pasti datang, lusa pasti tiba selagi Allah belum meniupkan sangkakala, melenyapkan semua ciptaan-Nya dalam sekelip mata. Selama nyawa itu masih bersatu dengan jasad selagi itu juga kaki akan terus melangkah untuk menuju jalan pulang. Pandanglah kehidupan dengan pandangan mata hati orang-orang yang beriman, mudah-mudahan kita akan mendapat nur dan rahmat-Nya, insyaAllah.
Salam bahagia buat sahabat-sahabat yang telah melangkah ke alam rumah tangga, mengambil satu lagi sunnah Nabi Muhammad S.A.W baru-baru ini. Buat sahabat-sahabat perjuangan,ukhti Rabihah dan pasangannya,ukhti Noor Hanan dan pasangannya, akh Rahimidan pasangannya, sahabat lama, Siti Nor Azrin dan pasangannya, juga tidak dilupa kepada junior penulis, akh Fahmi dan pasangan serta senior, ukhti Khairul Izza dan pasangannya, yang selamat diijabqabulkan dalam bulan Syawal ini. Banyak sekali berita gembira yang sampai ke pengetahuan penulis berkenaan sahabat-sahabat seperjuangan yang akan membina istana bahagia tidak lama lagi. Maka, penulis juga berasa gembira untuk menyampaikan ucapan salam bahagia buat semua bakal suami dan isteri yang akan melaksanakan sunnah Rasulullah itu pada tahun ini. Semoga melangkahnya kalian ke fasa seterusnya akan menumbuhkan benih-benih Islam dan seterusnya melahirkan generasi dakwah yang akan menyambung mata rantai perjuangan Islam kelak. Bertambahnya bilangan baitulmuslim ini, penulis mendoakan akan berkembangbiaklah mujtama’ muslim yang dapat menghayati nilai-nilai Islam dalam hidup seterusnya memudahkan jalan untuk pembinaan daulah Islamiyyah.
Jutaan tahniah juga buat kakanda penulis sendiri, Nooranizah Ismail yang selamat melahirkan cahaya mata kembar pada 17 Ramadhan lepas, juga buat ukhti Noor SyuhadaMustafa dan ukhti Nurul Ainain yang juga selamat melahirkan permata berharga masing-masing pada Ramadhan dan Syawal ini. Buat pasangan sahabat seperjuangan penulis yang baru sahaja bergelar ibu dan ayah iaitu Fatin Nuraini dan Muhamad Haafizuddin, semoga zuriat yang lahir ini akan menjadi permata yang akan bersama-sama berjuang menegakkan kalimah Allah di bumi ini.
Anak saudara penulis yang selamat dilahirkan pada 17 Ramadhan 1430H yang lalu
Salamullahi 'alaik, buat sahabat dan sahabiah ana di Malaysia. Ana mohon maaf andai terlambat mengucapkan salam bahagia buat sahabat-sahabat yang melangkah ke alam rumahtangga baru-baru ini.
Pertama buat sahabat ana, Nur Munirah Mohd Fadzir bersama pasangannya yang juga sahabat perjuangan ana, iaitu Mohd Syakir Mohd Rusdi yang selamat diijabkabulkan pada penghujung bulan 5 yang lepas. Mohon maaf ana tidak dapat menghadirkan diri ke majlis pernikahan juga walimatul urus (awal bulan 6) baru-baru ini.
Juga buat kak Syaidatul di Kelantan bersama pasangannya yang mendirikan rumah tangga pada 7hb Jun yang lepas.
Juga sekalung tahniah buat akak senior ana, ukhti Rodhiyah bersama pasangannya, akh Zulkifli yang juga walimahnya pada 7hb yang lepas.
Seuntai Doa Dititipkan
Namun, ana titipkan doa semoga bahtera yang kalian bina mendapat redha Allah dunia dan akhirat. Moga bahtera ini menjadi jambatan dalam meraih cinta Allah, dan akhirnya membina generasi dakwah yang bakal menjadi mata rantai perjuangan kelak, insyaAllah...
Selepas menyemak beberapa buah esei yang ditulis oleh sahabat-sahabat, jari-jemari menekan pada nasyid Aeman berjudul Ayah. Di luar, hujan lebat membasahi bumi yang kian kontang dengan pelaksanaan syariat Islam, mengejutkan umat Islam yang terlena dalam keasyikan dunia. Namun, berapa ramai yang sedar?
Dia mengamati setiap bait lirik lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan adik-adik kecil ini. Hatinya sayu. Perkataan AYAH yang telah lama dia tidak tuturkan daripada bibir ini. Insan bernama AYAH yang hampir 2 dekad tidak berjumpa, dan pastinya tidak akan berjumpa lagi selepas ini. Apakah punya kesempatan bertemu di syurga nanti, ayah? Dia bermonolog sendirian.
Ya Allah apakah kami akan ditemukan semula di syurga nanti?
Bertemu dengan insan yang kusayang?
Insan yang telah lama tidak kutemukan…
Namun,
Jauh di sudut hati
Apakah layak hamba-Mu ini menjejakkan kaki ke syurga itu?
Ayah, lama sungguh tidak bertemu. Apakah ayah tenang bertemu Allah di alam baqa’? Dia menyorot kembali detik-detik akhir bersama beliau sebelum beliau menghadap Ilahi. Kisah Disember 1991 mengetuk kotak ingatannya. Saat itu dia yang masih kanak-kanak mengikut atuk pulang ke rumahnya, meninggalkan ayah bersama ahli keluarga yang lain. Ayah terlantar sakit.
“Pulang cepat ya dik, nanti ayah rindu..”
Ungkapan itu terngiang-ngiang di corong telinganya. Bagaikan baru beberapa hari kata-kata itu dilafazkan. Wajah ayah terlukis pada hamparan minda. Dia mengangguk. Dia bersalaman dan mengucup dahi ayah. Dia membelek-belek cincin pemberian ayahnya beberapa bulan lepas. Dia kucup cincin itu tanda menghargai pemberian ayah.
Beberapa hari di rumah atuk, seorang perempuan awal 30-an datang ke warung atuk. Dia adalah ibu saudaranya. Sewaktu itu dia sedang bergurau senda dengan atuk.
“Mak ngah, kak Salmah telefon. Katanya bang Ismail meninggal…”
Luruh jantung dia mendengar kalimat itu. Wajah ayah yang dia tinggalkan beberapa hari lalu menerjah kembali ke ruangan minda. Atuk terus pulang masuk ke rumah bersiap-siap. Kemudian, atuk ke rumah adiknya, Tok Teh (panggilan kepada atuk saudaranya) di belakang rumah atuk, mengajak melawat jenazah ayah.
Pak Long yang juga sedang sakit sewaktu itu, diminta untuk mengurus warung.
“Atuk, boleh ke saya nak ikut? Saya nak tengok ayah..”
Suaranya tersekat-sekat.
“Mestilah ikut…”
Selepas menghantar sepupu yang masih kecil ke rumah saudara yang lain di Segamat, mereka menuju ke Gemas, di mana ayah meninggal dunia. Gemas adalah rumah anak angkat ayah, dan ayah ke Gemas beberapa hari lalu kerana mudah untuk berulang-alik berubat.
Sampai di rumah itu, wajah tenang ibunya menyambut kedatangan dia dan atuknya. Dia bergegas naik ke rumah. Sekujur tubuh terbujur kaku di ranjang rumah itu. Di kelilingnya adalah jiran-jiran yang sedang membacakan Yaasin. Matanya terpaku pada satu sudut di ruang itu. Itu anak angkat ayah, dia menangis semahu-mahunya sambil ditenangkan oleh beberapa orang yang lain.
Air mata bergenang di kolam matanya. Dia merapati ke tubuh ayahnya yang sudah dikafankan.
“Siapa anak-anaknya, atau kaum keluarganya dipersilakan menatap wajah arwah buat kali terakhir..”
Seorang pak cik yang usianya dalam lingkungan 50-an membuat pengumuman. Dia kemudiannya duduk di sebelah jenazah ayah.
“Kamu menangis, tak boleh cium jenazah…”
Dia agak kecewa. Bukan dia sengaja untuk menangis, bentak hatinya. Itulah kali terakhir dia menatap wajah ayah. Selepas dari waktu itu ungkapan AYAH hanya diucap dalam doanya.
Lagu AYAH nyanyian Aeman habis bersama-sama teduhnya hujan di luar sana.
MOTIVASI KEHIDUPAN
“Ingat, Rasulullah itu anak yatim, lagi tak pernah melihat wajah ayah baginda sejak dilahirkan. Ibu baginda pula meninggal dunia sewaktu baginda kecil. Bersyukurlah kita sebab masih dapat lihat ayah walaupun sekejap, dan masih punya ibu. Anak yatim pun boleh berjaya…”
Kata-kata motivasi daripada seorang kakak kepada adiknya pada satu hari sewaktu adiknya bakal menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Darjah Khas (sekolah agama kerajaan negeri). Kata-kata motivasi itu adiknya pegang dan alhamdulillah cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan tersebut.
Buat pembaca yang budiman, Rasulullah adalah contoh teladan yang paling baik yang perlu kita cermati dan kaji sirahnya agar menjadi ikutan serta memberi motivasi dan inspirasi kepada kita dalam mengemudi sebuah kehidupan di dunia yang fana ini.
قل ان كنتم تحبون الله فاتبعوني يهببكم الله ويغفر لكم ذنوبكم والله غفور رحيم
"Katakanlah: Jika kamu mengasihi Allah, ikutilah aku (Muhammad) nescaya Allah akan mengasihimu dan mengampuni dosamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"Surah Ali Imran:ayat 31
Seorang kekasih Allah yang ditarbiyah secara langsung daripada-Nya sebelum dilantik secara rasmi menjadi seorang Rasul. Menyelusuri kehidupan yang penuh kepayahan, keperitan membesar tanpa ibu bapa di sisi menjadikan baginda seorang yang cepat matang dalam menilai kehidupan. Segala pengalaman dan tarbiyah inilah menjadikan baginda mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran selain keimanan yang sangat tinggi kepada Allah.
Setiap daripada kita dikurniakan oleh Allah jalan hidup yang berbeza-beza, maka segala apa yang kita jumpai sepanjang perjalanan hidup ini perlu kita kutip dan nilai sebagai seorang hamba yang bijak dan matang. Kembalilah kepada dua khazanah agung yang dibekalkan kepada kita selepas wafatnya Rasulullah S.A.W iaitu al-Quran dan As-Sunnah. Berapa ramai di antara kita yang mencermati dan meneliti kandungan al-Quran dan al-Hadith.
InsyaAllah ana akan lanjutkan bicara dalam siri entri yang akan datang. Berbicara mengenai Rasulullah...
Penulis menghela nafas lega, menapak ke ruang legar Akademi Pengajian Islam yang berhawa dingin. Cuaca panas di luar sana membuatkan penulis mencari air untuk membasahkan kerongkong. Penulis berjalan menyelusuri deretan jualan di ruang legar APIUM itu. Memang sudah menjadi kebiasaan jualan kitab-kitab dan buku-buku agamajuga beberapa gerai lain yang turut menjual kain tudung serta cermin mata memenuhi ruang legar itu. Penulis lebih berminat membelek kitab-kitab yang boleh dibeli. Lazimnya, selepas perolehi biasiswa pasti kitab dan buku juga menjadi perkara utama dalam senarai perbelanjaan penulis. Bagaikan hokum WAJIB bagi penulis membeli sekurang-kurangnya sebuah.
Bercerita mengenai kitab dan buku-buku agama ini, memugarkan semula ingatan penulis pada kembara ilmu beberapa tahun lalu di bumi serambi Mekah. Bumi yang memberi kenal kepada penulis akan tarbiyah dan biah solehah. Memuncakkan keinginan penulis pada mencintai ilmu, mengutip mutiara-mutiara berharga dari sesiapa sahaja. Penulis masih ingat seawal minggu pertama menjejakkan kaki ke sana, penulis berpeluang mengikut akhawat ke kuliah Tok Guru di Kota Bharu. Diberi kenal dengan pengajian mingguan itu sehingga menjadi satu kewajipan kepada penulis untuk menghadirinya. Mengutip mutiara-mutiara berharga dari seorang ‘alim. Mengingat kembali rutin mingguan tersebut membuatkan hati penulis bertambah rindu untuk kembali ke sana. Bila masa dan ketika wallahu ‘alam.
Seawal 8pagi menunggu bas awam di hadapan kolej, penulis dan sahabat2 lain bersesak-sesak menaiki bas sehingga ada yang terpaksa berdiri di tepi pintu masuk bas. Perjalanan 30minit ke Kota Bharu bagaikan 10minit perjalanan. Mungkin inilah yang dikatakan alah bias tegal biasa. Mendengar kuliah Tuan Guru yang walaupun kadang-kadang dialek bahasa Kelantan agak sukar penulis tanggapi, mula menjadi kebiasaan halwa telinga ini. Selepas mengutip permata ilmu melalui kuliah ilmu itu, penulis akan ke Toko buku Jaafar Rawas yang menjual pelbagai jenis kitab dan buku agama. itulah tempat yang dituju pada kebiasaannya. Membelek buku-buku dan kitab-kitab, dan kalau punya kewangan yang mencukupi biasanya ada sahaja buah tangan yang dibawa balik ke kampus. Sungguhpun buku yang sebelumnya belum habis dibaca. Itulah hobi penulis.
Beberapa minggu kebelakangan ini, menjadi satu kegilaan kepada penulis untuk membeli buku. 2minggu ini sahaja 4buah buku penulis beli dalam waktu berasingan, hanya buku bacaan sampingan belum dikira buku rujukan lagi. Mudah sahaja duit saku dikeluarkan kalau perkaranya adalah buku, namun untuk perkara lain penulis pasti berfikir beberapa kali. Penulis yakin “Knowledge is power..”selama kita punya keupayaan dan kemampuan untuk lakukan sesuatu, sewaktu itulah kita lakukan perkara tersebut,jangan bertangguh hingga ke waktu lain. Penulis juga selalu memegang kata-kata “Hikmah itu barang yang hilang bagi orang mukmin, di mana sahaja ia dijumpai, maka ia adalah kepunyaannya…”
Berkesempatan berkunjung ke negeri serambi Mekah beberapa minggu yang lalu, tidak penulis sia-siakan untuk mengutip permata berharga daripada orang ‘alim yang punya ilmu dan pengalaman luas. Bersama sahabat-sahabat, kami mengatur pertemuan secara spontan menemui Ust Yahya Othman dengan tujuan untuk berusrah dengan beliau walaupun sebentar. Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan kepada kami untuk bertemu dengan ustaz Yahya. Pelbagai ilmu yang dikongsi walaupun dalam masa yang terhad. Selepas ‘Asar hinggalah kepada sebelum Maghrib. Berkesempatan juga menziarahi kediaman beliau juga menemui isterinya.
Kenangan
Allah telah mengurniakan manusia dengan akal, maka jika ada di antara manusia yang tidak menggunakan akal dengan sebaiknya, bagaikan haiwan bahkan lebih teruk lagi- Sekadar foto hiasan (yang sempat diambil ketika ziarah ke Kelantan)
BAGAI POHON TIDAK BERBUAH
Ilmu atau hikmah atau wisdom adalah harta yang sangat bernilai. Sehingga Allah berfirman di dalam al-Quran dengan mengangkat martabat orang yang berilmu.
Menjadikan ilmu sebagai pendamping adalah langkah bijak yang perlu diambil kerana ilmu boleh digunakan pada bila-bila diperlukan. Ilmu yang bersulamkan keimanan akan meneguhkan keyakinan dan memandu manusia ke arah kebenaran. Orang yang mempunyai ilmu tanpa punya iman di dadanya bagaikan orang sesat dan tanpa arah panduan. Ada ilmu berkaitan mekanik contohnya, akan tetapi tidak tahu bila waktu yang sesuai digunakan. Hidupnya terkapai-kapai dalam arus kehidupan yang mencabar ini. Destinasi akhirat tidak menjadi sasaran pengembaraan hidup di dunia. Ada satu kata-kata:
“Orang Barat maju kerana mereka meninggalkan agamanya,akan tetapi orang Islam mundur kerana mereka meninggalkan agamanya”
Ini bermakna ilmu dan agama tiada tembok yang memisahkan antara satu sama lain. Bahkan ilmu yang dimiliki akan menambah rasa iman dan taqwa kepada Allah. Namun, dalam konteks hari ini kebanyakan orang yang berilmu tidak menjadikan ilmu itu untuk tujuan menambah kemanisan iman, akan tetapi hanya memandu ilmu dengan akal semata-mata tanpa sandaran wahyu Ilahi. Teringat pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Yahya Othman kepada kami sewaktu usrah minggu lalu. Beliau menekankan kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang ‘alim. Antaranya ialah orang ‘alim yang tidak beramal dengan ilmu. Ramai orang punya ilmu pengetahuan, namun sedikit orang yang mampu dan mahu beramal dengan ilmu yang dimiliki. Maka amat rugilah orang yang tidak beramal itu. Mereka tidak ubah seperti pohon yang tidak berbuah sebagaimana satu kata-kata:“Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah”. Disemai benih, dibaja pohonnya, namun hanya tumbuh subur tanpa buah untuk dipetik hasilnya. Hanya mampu dijadikan tempat berteduh, namun tidak punya buah yang boleh dipetik mengisi perut yang kelaparan. Abu Hatim al-Razi yang merupakan seorang ahli sufi mengatakan bahawa:“Orang yang bijaksana ialah orang yang menggabungkan ilmu dan amal”.
Berkaitan dengan amalan ini, satu kata-kata yang ustaz Yahya Othman tinggalkan kepada kami iaitu qalilun qarra khairun min kathirin farra…maksudnya: sedikit yang berulang-ulang (istiqamah) lebih baik daripada banyak yang lari (sekejap).
Isilah ruang hidup di dunia ini dengan mencari serta menimba ilmu tanpa rasa jemu kerana sesungguhnya hanya orang yang mati sahaja terpisah hidupnya dengan ilmu. Ilmu adalah antara amalan yang berterusan pahalanya walaupun sesudah kita menemui Ilahi selagi mana ilmu itu kita sampaikan kepada orang lain. Maka ringan-ringankan mulut kita dengan tazkirah mengingatkan diri dan orang lain dengan ilmu dan mengingati Allah. Sesungguhnya awalnya jihad itu dengan kalam dan akhirnya dengan mata pedang. Jika kita masih merasakan diri kita belum layak untuk berdakwah kepada orang lain kerana kurangnya ilmu, ingatlah sesungguhnya tidak ada seorang pun yang mempunyai ilmu yang cukup melainkan Allah. Ilmu Allah itu Maha lLuas, sehingga jika ditulis ilmu-ilmu Allah dengan berdakwatkan lautan di dunia ini, maka akan keringlah dakwat itu sebelum habisnya ilmu-ilmu Allah. Itulah perumpamaan yang Allah berikan seperti mana tercatat dalam al-Quran.
(Tazkirah untuk mereka yang sudah ke gerbang perkahwinan)
Hujung tahun ini nampaknya ramai dianugerahkan oleh Allah kelapangan dan rahmat-Nya untuk membina istana kasih (perkahwinan). Ramai sahabat dan orang-orang terdekat dengan ana sudah pun merintis sunnah Rasulullah itu.
Pertamanya buat akak ana sendiri... Ana ucapkan jutaan tahniah! Ana mendoakan semoga pernikahan ini membawa nur Islam dan mendapat limpah rahmat serta kasih sayang daripada Allah. Semoga pernikahan ini membawa sakinah, rahmah dan mawaddah dalam mencari cinta Ilahi.
Foto yang sempat ana adobe buat akak ana (baru trial & error)
Buat sahabat ana Fatin dan Haafizuddin... alfu mabruk! Moga pernikahan antum membawa sinar dan gerakan dakwah jua membina generasi dakwah. Semoga dilimpahi rahmat serta kasih sayang-Nya dalam meneruskan gerak kerja Islam, insyaAllah...
Kenangan sahabat-sahabat muslimat di walimah Fatin & Haafizuddin 29 Nov lalu
Buat junior ana (Hidayah) dan senior ana (Ust Hisom, Ust Hafiz Habil, Kak Shahidra dll) yang bakal melangsungkan pernikahan juga ana ucapkan tahniah semoga dipermudahkan oleh Allah dalam membina bait muslim ini. Mudah-mudahan segalanya mendapat redha Allah...
Istana kasih bukan Tembok Pemisah
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir" Surah ar-Rum: ayat 21
Allah memberi anugerah perkahwinan kepada manusia agar manusia ini mendapat rahmat dan menyempurnakan fitrah hidupnya. Namun, kadang-kadang perkahwinan itu hanya dipandang terlalu kecil dengan membayangkan hanya cukup sekadar hidup suami isteri, anak-anak tanpa melihat keluarga sebagai nukleus untuk membentuk masyarakat muslim. Janganlah sekali-kali menjadikan perkahwinan itu sebagai tembok besar untuk orang Islam hari ini meneruskan gerak kerja dakwah Islam. Jangan terlalu cepat menikmati kehijauan pohon perkahwinan sehingga lupa membantu menebas lalang dan semak disekelilingnya, seterusnya memperbanyak pohon hijau itu menjadi ladang Islam yang besar untuk dipetik hasilnya sebagai mujtama' muslim. Menundukkan atau mematikan kemungkaran dalam masyarakat yang berada dalam biah jahiliyyah ini. Pandulah bahtera kasih itu menuju destinasi cinta yang hakiki, moga-moga senantiasa membuahkan keredhaan-Nya.
Allah turut berfirman dalam al-Quran:
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). Surah at-Taubah: ayat 24
Kasih Hingga ke Puncak
Lihatlah perkahwinan itu adalah satu anugerah yang Allah berikan kepada hamba-Nya untuk kita sama-sama berfikir. Pandanglah perkahwinan itu sebagai satu rahmat daripada Allah untuk hamba-Nya. Rahmat untuk menguatkan umat Islam hari ini dengan Islam. Perkahwinan yang menyulam kasih sayang hingga ke puncak cinta agung Ilahi dan redha-Nya insyaAllah..
Ana mencapai laptop pagi ni, sementara menanti kehadiran sahabat ana untuk ke Lakium. Hari ni masuk hari kedua program Lakium. Memang agak terlewat untuk ke sana tetapi tanggungjawab dan rasa semangat untuk melihat peserta dan perjalanan program membuatkan ana terpanggil untuk pergi lebih awal pagi ini. Namun apakan daya, kita merancang Allah juga merancang, dan perancangan Allah lebih lagi..Pagi tadi ditakdirkan hujan. Alhamdulillah bukan berpanjangan.LAKIUM..program kepimpinan dan ilmiah yang dianjurkan oleh PMIUM ini merupakan medium melatih intelektual muslim berlandaskan nilai-nilai Islam. Berbicara mengenai Intellektual muslim, ana bawakan beberapa ciri intelektual muslim menurut fahaman Dr. Ali Syari'ati.
Yang diberi hikmah oleh Allah (berdasarkan surah al-Baqarah, ayat 269)
Yang rukuk dan sujud kepada Allah di waktu dinihari (seperti dalam surah al-Zumar ayat 9)
Kritis (surah al-Zumar, ayat 18)
Yang gigih mencari ilmu
Bertafakkur dan berzikir kepada Allah (surah ali Imran, ayat 7)
Yang memegang amanah Allah
Menegakkan perintah Allah
Bersabar mendirikan solat
Murah hati dan menolak segala kejahatan (surah al-Ra'd, ayat 19-22)
Yang sanggup mengiktibari sejarah (surah Yusuf, ayat 111)
Yang gigih berdakwah dan menegakkan prinsip tauhidn(surah Ibrahim, ayat 52)
Yang berani kerana benar (surah al-Maidah, ayat 100)
Yang takut kepada Allah (surah al-Talaq, ayat 10)
berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan di atas menurut pendapat Dr Ali Syari'ati, cube kita nilai kembali berapa ramai intelektual muslim yang menepati ciri-ciri tersebut. Moga-moga kita juga menuju ke arah itu. wallahu 'alam..
Dalam hambatan waktu menyiapkan bekalan secukupnya ke medan jihad peperiksaan, terlintas di benak fikiran untuk meng "up date" blog yang sudah lama kiranya dibiarkan sepi. belum mampu menjadikan penulisan blog ini sebagai satu passion buat diri ana ini.
BERKUNJUNG & BERZIARAH
Kita masih lagi berada di 10 terakhir bulan Syawal, pastinya ramai yang mengambil kesempatan menjemput sahabat handai ke rumah masing-masing untuk mengeratkan silaturrahim. Buat adik Nabiilah, mohon maaf tidak dapat hadir di hari terbuka pada Ahad lepas sebab baru pulang menziarah negeri serambi Mekah, menjengah dan mengambil mutiara berharga dari Nilam Puri. dan semalam berkesempatan bersama sahabat2 yang lain ke rumah auntie kepada senior kami (Syeikh Umar) di Subang Jaya, auntie Yam dan Uncle Cui (maaf kalu tersalah eja). Turut hadir ialah saudara Muhammad Haafizudin (YDP PMIUM), saudari Nur Fariza (NYDP PMIUM) dan saudara Dzul Khairi (Presiden GAMIS).
Uncle Cui dan Auntie Yam
Pasangan ini amat memuliakan tetamunya. Walaupun undangan tidaklah ramai, namun kami disambut penuh kegembiraan seperti yang tergambar pada raut wajah mereka. Moga pasangan ini diberi keberkatan dan kemurahan rezeki oleh Allah, insyaAllah.
Kenangan muslimin bersama Uncle Cui
Kenangan muslimat bersama Auntie Yam
UJIAN BUAT KITA
Berkunjung bukan sekadar berziarah, tapi sempat menghidupkan rumah pasangan ini dengan pengisian ilmu oleh Ust Dzulkhairi. Pengisian ilmu pada malam itu bagai muhasabah berharga kepada kami. Ya..setiap kita bila diberi taklifan pastinya akan melepaskan taklifan juga pada satu masa. Maka, selepas melepaskan taklifan itu adalah medan ujian yang sangat besar untuk berjuang di jalan Allah ini. Pada waktu itulah Allah menguji sama ada selama ini kita bekerja untuk jawatan atau memang ikhlas kerana-Nya.
Dulu.. Kita punya jawatan Kini.. Kita tiada taklifan Dulu.. Kita punya portfolio tetap Kini.. Kerja kita untuk semuanya
Allah akan menguji kita sama ada kita benar-benar ingin terus berjuang di jalan-Nya atau sebaliknya..Moga-moga kita diberikan kekuatan istiqamah dalam lapangan dakwah ini.
SEDEKAH
Begitu juga dengan sedekah, yang mana amalan yang tidak akan terputus hingga ke akhirat. "Orang kaya yang bersyukur lebih baik dari orang miskin yang pemurah". Waktu senang adalah ujian terbesar buat kita kerana kita diuji dengan keselesaan dan kekayaan, berbanding kemiskinan yang biasanya membuatkan kita sering mengharapkan Allah. Jika sekarang kita sudah terbiasa tidak punya duit, namun masih mampu bersedekah fi sabililah, tapi bila kita diuji dengan wang yang banyak (selepas bekerja), kita akan berkira-kira sama ada ingin terus bersedekah atau tidak di jalan Allah kerana terbayang di fikiran kita pelbagai macam perkara yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu. Moga-moga kita sentiasa menjadi orang-orang yang besyukur sama ada waktu kita senang atau susah. Amin. " Jika kamu bersyukur (dengan nikmat-Ku), maka akan Aku tambahkan lagi (nikmat-Ku) kepada kamu, namun jika kamu ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih"
Inilah antara beberapa mutiara yang sempat ana kongsikan buat sahabat2 dari ziarah kali ini. Ziarah mengerat ukhuwwah, tazkirah mengingatkan kita pada Allah...
Perjalanan kita sehari-hari banyak mengajar kita erti kehidupan. Apa tidaknya setiap perkara baru yang datang kepada kita adalah pelajaran baru buat kehidupan kita. Belajar bukan setakat dalam bilik-bilik kuliah mahu pun kelas tutorial, bahkan pelajaran paling berharga adalah bila kita cuba menghadapi ujian setiap hari. Natijah daripada penyelesaian itu kemudiannya kita ukur untuk pelajaran akan datang. Belajar bukan seakat kita mendengar kuliah, tapi belajar juga boleh dilakukan melalui observasi atau pengalaman. Orang selalu kata, belajarlah daripada pengalaman hidup. Konteks belajar terlalu luas.Kita bukan sahaja perolehi ilmu daripada guru semata-mata, bahkan anak kecil juga mampu menjadi guru. namun hari ini, kesilapan paling besar kita ialah apabila kita belajar tapi kita tak amalkan. kita hayati apa yang kita dapat. bahkan paling sedih bila kita belajar (dalam konteks P & P) kerana segulung ijazah. Teringat ketika program Minggu Haluan Siswa sewktu di Nilam Puri, Prof. Abd Aziz yang waktu itu adalah Pengarah APIUM pernah mengatakan bahawa betulkan niat kita menuntut ilmu iaitu untuk mencapai redha Allah. Itulah perkara paling utama. Andai kita menjejakkan kaki ke universiti hanya semata-mata segulung ijazah, maka kita akan dapat ijazah sahaja. Namun, jika niat kita kerana Allah, insyaAllah kita mampu amalkan ilmu yang kita dapat ke arah meraih redha Allah. Kita ini membawa panji-panji Islam yang sentiasa diperhatikan oleh masyarakat. Maka perkara pertama adalah membetulkan niat belajar kita. Teringat hadith nabi berkaitan niat ini. "Sesungguhnya setiap amalan itu disertai dengan niat..". Masalah utama masyarakat kita hari ini bila mana persoalan niat ini masih tidak settle lagi. Ini yang terjadi bila mana pelajar tidak mengamalkan apa yang diajarkannya. Tak peliklah bila melihat ustaz yang segak berkopiah tapi masih jalan bersama bukan mahramnya. Gadis ayu terbuka auratnya sedangkan dia tahu menutup aurat itu wajib. dan macam-macam lagi. Kenapa? Sebab dia tahu tapi tak amalkan. Kata pepatah Arab: Ilmu tanpa amal ibarat pohon tak berbuah.." Dengan rasa rendah diri ana ingin berkongsi pengalaman. Bukan tujuan menunjuk, na'uzubillah..Ana berasal dari sekolah menengah kebangsaan biasa di Johor. Tapi alhamdulillah masih aliran agama.Nak diceritakan bahawa perkara-perkara berkaitan tarbiyah, ikhtilat belum pernah ana dengar sungguh pun mengaji bahasa Arab. Kehidupan sebagai muslim yang sangat basic. Masa ana berada di Tingkatan 4, dalam satu program Pembimbing Rakan Sebaya, sahabat-sahabat dari sekolah lain asyik bercerita pasal sekolah maahad di tempat ana. Bercerita pasal perbandingan pelajar agama dan bukan agama yang tiada bezanya. Sampai ana berjanji dalam diri ana untuk menonjolkan konteks pelajar Islam itu sendiri. Dalam erti kata nak clear image pelajar agama. Alhamdulillah, ana ke Nilam Puri yang terkenal dengan jolokan bumi tarbiyah. Asalnya niat untuk meneruskan dalam bidang Usuluddin atau Syariah, tapi dapat Sains Gunaan dengan Pengajian Islam. Satu kos yang ana pun tak tahu hujung pangkalnya pada masa itu. Bila ana mendengar amanat Prof. Aziz tadi, ana bagai tersentak dari lena. Ana cuba mengikhlaskan niat belajar semata-mata kerana Allah. Alhamdulillah, banyak sangat mutiara berharga yang ana perolehi terutama berkaitan agama seterusnya ana cuba aplikasikan dalam kehidupan ana. Alhamdulillah, kehidupan ana lebih terarah. Allah memudahkan ana dalam urusan belajar. Kesimpulannya, dalam kita menyelusuri perjalanan hidup ini, arahkan matlamat kita untuk meraih mardhatillah..Cinta Allah..perkara yang sukar digapai tapi nikmat hakiki pasti dirasai. Setiap rona-rona kehidupan ini dinilai hikmah di sebalik ciptaannya. "Sesungguhnya Allah tidak menjadikan langit, bumi dan di antara keduanya dengan sia-sia.." Berfikiran positif untuk belajar perkara baru, diaplikasi dalam perilaku, moga kehidupan dilimpahi redha Allah itu tujuan yang satu...
Menulis adalah antara minat ana sejak alam persekolahan. Bermula dengan tingkatan 4 sebenarnya. Dulu ana bukanlah berminat dengan bidang penulisan, nak dikatakan Penulisan (Bahasa Melayu) pun dapat B masa UPSR dulu. Kalau ada kerja sekolah untuk buat karangan tak pernah sempurna. Tapi masa di Tingkatan 4 dulu, masa tu tak masuk kelas sebab ada aktiviti lain, jadi kawan ana kata kat ana cikgu ana, namanya cikgu Baharudin Yatim suruh buat karangan dan kena hantar next weeknya. Tiba-tiba semangat menulis tu timbul dalam diri. Dia minta kami buat cerpen pendek sempena Hari Guru. Balik rumah, masa berwuduk ana dapat idea nak tulis cerpen. Jadi lepas solat Asar(Ba'da Asr), ana pun mula menulis sampai ke maghrib. then, malam tu jadilah cerpen ana yang pertama tajuknya "Setitis Embun Pagi" yang mengisahkan seorang guru dan seorang anak murid.
Kisahnya begini...Wajah guru baru yang mengajar pelajar itu serupa dengan wajah ibunya. Pengalaman pahit akibat didera oleh ibu membuat dia sangat takut pada guru baru itu sehingga guru itu mengambil tindakan untuk bertemu dengan neneknya. Setelah mengetahui cerita sebenar yang wajahnya hampir menyerupai wajah ibu pelajar teesebut dan ibu pelajar itu telah dimasukkan ke penjara kerana tuduhan mendera anak, guru itu mula mengambil hati dan berbaik dengan pelajar tersebut. Namun,segala-galanya terlalu pantas berlalu sehinggalah guru tersebut terpaksa bepindah ke tempat lain.Begitulah sinopsisnya... Masa ana sedang duduki exam mid sem, Cikgu Baharudin datang kepada ana..masa tu baru habis paper, dia kata ana dapat surat jemputan ke Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor. Rupa-rupanya cerpen ana tu dihantar ke pertandingan menulis peringkat negeri. Alhamdulillah, ana peolehi tempat pertama.
Bertitik tolak daripada situ, ana seterusnya mengikuti Perkampungan Penulis Muda Peingkat Negeri. Lepas SPM, ana banyak juga menulis puisi dan cerpen. Tapi taklah sampai dipublish. Sejak menjejakkan kaki ke Asasi Nilam Puri dan kampus Universiti Malaya, ana dah lama meninggalkan arena penulisan. dan sekarang rasanya ana cuba sekali lagi untuk berkecimpung semula dalam bidang penulisan ini. Sekarang mula belajar menulis artikel pula. Doakan ana dapat menyiapkan sebuah novel. Target ana habis belajar, maka siaplah novel ana, insyaAllah...