Salam ukhuwwah! . Ini adalah sebuah diari kehidupan seorang hamba Allah yang bermusafir di bumi Allah untuk mencari nur dan hidayah-Nya dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga tinta ini memberi manfaat buat diri ini dan diri teman-teman pembaca dalam mencari redha Allah.
Showing posts with label Cetusan Rasa. Show all posts
Showing posts with label Cetusan Rasa. Show all posts

Tuesday, November 8, 2011

Salam Eiduladha



Selamat Hari Raya Eiduladha kepada semua umat Islam. Semoga kedatangan bulan Zulhijjah ini memberi ingatan buat kita kepada pengorbanan yang dilakukan oleh nabi Ibrahim dan nabi Ismail a.s, Begitu juga mengambil iktibar daripada kisah tersebut.

Di samping itu, jangan kita lupa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W dalam menegakkan Islam di muka bumi ini. Semoga sirah perjuangan baginda dihayati.

Tuesday, March 30, 2010

Rencana Hari Esok


USIA YANG TUA

Tanggal 28 Mac 2010 yang lepas, umur penulis bertambah lagi, meninggalkan lipatan diari umur-umur yang lepas dengan satu noktah baru dalam diri. Usia pad
a angka 23 tahun sudah menjadi lipatan sejarah dalam hidup penulis, maka baki dan sisa umur yang entah berapa lama lagi Allah berikan pinjaman kepada diri ini perlu diatur secara baik agar kehidupan yang mendatang sentiasa mendapat perhatian dan rahmat-Nya, insyaAllah. Ucapan syukran jazilan buat semua teman-teman yang mendoakan penulis pada eid milad yang lepas, sama ada melalui sms, panggilan telefon, facebook mahupun ucapan secara langsung. Semoga Allah merahmati kalian juga, insyaAllah.

Apabila kita berbicara mengenai perencanaan hidup yang mendatang, sudah barang pasti adalah perkara yang belum kita laksanakan. Perkara ini ber
kait rapat dengan aturan dan pengurusan hidup kita sebagai seorang muslim. Setiap daripada kita punya keazaman, punya cita-cita dan keinginan. Keinginan dan kemahuan tidak akan tercapai jika kita tidak mampu dan tidak melaksanakan.

MENGURUS SEBUAH PERENCANAAN

Berbicara mengenai perkara ini, penulis suka untuk berkongsi ilmu yang sempat penulis kutip daripada buku yang penulis baca sewaktu di Indonesia bulan lalu, "Biarkan Dakwah Bermetamorfosa", tulisan Andree. Penulis hanya mengambil secebis ilmu dari buku ini mengenai perencanaan kita untuk mengatur hidup. Penulis tertarik dengan konsep POWER management yang meliputi beberapa katakunci pengurusan yang baik;

P-PURPOSE (tujuan)
Boleh juga disebut planning (perencanaan).

Di dalam Islam, perkara pertama sebelum memulakan pekerjaan adalah niat. Jika kita sudah berniat baik untuk melakukan kebaikan sungguhpun tidak berkesempatan untuk merealisasikannya, Allah tetap memberikan pahala untuk niat kita yang baik. Dalam urusan pengurusan, niat atau perencanaan adalah setengah daripada pekerjaan. Orang selalu berkata, "When you fail to plan, you plan to fail".

O- OBSESSION
Gelora besar di dalam dada yang membakar semangat untuk mewujudkan cita-cita. Obsesi ini boleh diibaratkan seperti bahan bakar untuk kita tetap pendirian dalam mencapai cita-cita kita sungguhpun terpaksa menempuh pelbagai rintangan.

W- WILLING TO DO MORE (keinginan untuk berbuat lebih)
Kita memerlukan keinginan untuk membuat yang terbaik, bukan hanya "ala kadar". Contohnya dalam solat, kita disuruh untuk melakukan dengan khusyu dan penuh keimanan, bukan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. "If better is possible, good is nothing"

E-EGALITY (persamaan)
Persamaan yang dimaksudkan ialah persamaan waktu; masa lalu, masa kini dan masa depan. Orang yang bijak akan menganggap bahawa masa kini adalah kenyataan dan akan berpijak pada kenyataan, namun sesekali menoleh ke belakang untuk mengambil pedoman, dan memandang lurus ke masa hadapan (membuat prediction). Inilah persamaan waktu yang harus kita perhatikan selalu.

R- RESPONSIBILTY (bertanggungjawab)
Dalam pengurusan yang baik, seseorang perlu mempunyai rasa tanggungjawab atas perkara yang dilakukan. Dalam hal ini, kita perlu membuat perkiraan (sama ada mencapai target) dan proses muhasabah. Di sini juga terdapat ganjaran (reward) dan 'uqubah (punishment) atas apa yang kita telah laksanakan. Saidina Umar al-Khatthab pernah berkata: Hitung-hitunglah dirimu sebelum Allah menghitungmu".

Di dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud;

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan walau seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula." (Surah al-Zalzalah; ayat 7-8)



JOM REALISASIKAN IMPIAN!

Ilmu penting untuk merumuskan langkah-langkah yang tepat untuk kerja yang bakal kita lakukan. Kemahuan pula mendorong ilmu yang ada di dalam fikiran keluar sebagai tenaga dan perbuatan. Kemampuan pula akan membuatkan perbuatan itu dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, efektif dan berkesan. Namun, ilmu, kemahuan dan kemampuan sahaja tidak cukup. Kita perlu bertindak untuk merealisasikan dan mengubah idea menjadi nyata.Maka, penulis teringat formula untuk melaksanakan tindakan secara maksima sebagaimana yang dinyatakan oleh K.H Toto Tasmara mengenai 10'c (penulis petik daripada buku "Biarkan Dakwah Bermetamorfosa").

  • COMMITMENT- niat kuat & tidak mudah menyerah
  • CONFIDENCE-percaya diri serta berani buat keputusan dan menghadapi segala kemungkinan
  • COOPERATIVE-terbuaka, serta mahu bekerjasama dan mengembangkan diri
  • CARE-beri perhatian pada segala sesuatu
  • CREATIVE- selalu mencari alternatif baru yang lebih baik
  • CHALLENGE-berjiwa petualang, menganggap masalah sebagai cabaran
  • CALCULATION-membuat keputusan berdasarkan hitungan yang bijak
  • COMMUNICATION-berupaya meluaskan komunikasi dan melebarkan jaringan kerja
  • COMPETIVENESS-sikap mental yang senang bersaing untuk mengukur posisi, mengetahui keadaan lingkungan dan belajar daripada pesaing
  • CHANGE- berani berubah dan punya "spirit of change"

KESIMPULAN
Maka ramuan dan perencah ilmu, mahu, mampu dan bertindak ini akan kita gunakan untuk merealisasikan sebuah cita-cita ke arah kebaikan dan menolong agama-Nya. Hidup akan lebih terarah dengan rencana dan tujuan yang kita buat, namun segalanya sia-sia jika kita tidak melaksanakan mengikut apa yang kita rancang. Walau bagaimanapun, ingatlah Allah jualah pengatur yang terbaik, jangan terlalu obses dengan apa yang kita rancang dan inginkan, kembalilah kepada-Nya. Itu yang lebih utama. Ingatlah kata-kata Saidina Ali r.a: "Kebenaran yang tidak diatur dengan baik (sistematik/berperancangan) akan dikalahkan oleh kebatilan yang bersistematik".

Wednesday, November 25, 2009

Nafas yang Bersambung


Segala puji-pujian jualah buat Sang Pencipta yang Maha Esa lagi Berkuasa, sehingga tiadalah tandingan selayaknya untuk Dia. Maha Suci Allah dari memiliki persamaan dengan segala sesuatu pun. Maka tekuni dan hayatilah firman Allah yang dinukilkan dalam surah al-Ikhlas itu.

”Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Allah itu Esa. Dialah tempat bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan Dia setara dengan segala sesuatu pun”.

Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta kaum kerabat baginda, juga kepada para sahabat, dan seterusnya buat sekalian hamba yang menundukkan diri mereka kepada al-Khaliq, moga-moga sentiasa dalam lembayung rahmat-Nya.

Maka, tiadalah perkataan yang dapat menggambarkan perasaan ini, tatkala jari-jemari ini menari-nari menekan papan kekunci, menitipkan sesuatu buat para pembaca, seterusnya mewarnakan kembali laman yang kian usang ini, lantaran tiada santapan minda untuk pembaca yang berkunjung sejak beberapa lamanya. Kemaafan jualah penulis pohonkan atas segalanya.


Adapun hampir sepurnama sudah mengikut ilmu hisab, penulis membiarkan laman ini kosong tanpa tamu pena, sedangkan pelbagai cerita jualah yang ingin penulis kongsikan bersama para pembaca. Cerita yang sedikit sebanyak terkandungnya pengajaran yang boleh kita petik sebagai panduan hidup akan datang. Sememangnya pengajaran dan pelajaran itu sentiasalah berlegar-legar dalam kehidupan kita sehari-hari, maka amat rugilah jika kita tidak melihat, merenung dan mengambilnya sebagai hikmah yang hilang.

Teringat penulis akan syair yang dikarang oleh Imam as-Syafi'e atas sebab cintanya yang begitu mendalam terhadap ilmu;

" Tidak patut aku bersikap ghairah terhadap sesuatu,

apabila aku tidak punya ghairah terhadap ilmu,

Bagaimana tidak, selama tiga puluh tahun,

ia merupakan pengubat hati, penenang otak

dan penyelamatku dalam duka cita..."


Begitu juga dengan cita-cita yang pernah diungkapkan oleh Ibn Hazm;

"Cita-citaku adalah ingin mendapatkan ilmu yang banyak. Lalu ilmu itu aku sebarkan ke seluruh pelusuk negeri ini. Aku juga akan menyeru orang-orang untuk mengikuti al-Quran dan hadis di saat kita lupa. Aku juga akan pergi ke seluruh pelusuk negeri ini untuk berjuang tidak kenal menyerah".

Terkesanlah hati penulis pada kata-kata itu sehingga penulis sendiri pun merenung dan mencari-cari di manakah hikmah itu tersembunyi di sebalik helaian kisah kehidupan dan berusaha juga mencari dan menyebarkan ilmu itu walaupun sedikit.

Adapun menurut ilmu hisab itu, tiga puluh hari itu bukanlah angka yang kecil jika dibandingkan dengan angka satu atau jua angka dua puluh sembilan. Maka apabila disandarkan tiga puluh hari pada peredaran bulan, sudah banyak kali bertukar fasanya, dari anak bulan, bulan sabit, bulan separa, bulan purnama dan berputar semula sehingga bertemu semula dengan anak bulan. Maka untuk angka tiga puluh hari yang telah berlalu dalam diari hidup penulis itu, pastinya sudah banyak juga tercatatnya peristiwa-peristiwa yang mewarnai kehidupan ini, mungkin ada peristiwa yang menggembirakan, juga peristiwa yang membuat hati pilu, sedih, marah atau juga pelbagai lagi emosi lain yang banyaknya hasil tindak balas sistem saraf pada aktiviti dan tindakan serta persekitaran.

Namun, bukanlah hajat penulis ini untuk mencoret setiap aktiviti atau memberi maklum akan diari kehidupan penulis pada tiga puluh hari yang sudah. Penulis lebih suka menyaring dan memilih cerita yang pada kiraan penulis boleh memberi ingat dan diambil intipati pengajaran oleh pembaca berkenaan cerita atau peristiwa tersebut.

InsyaAllah untuk entri yang seterusnya akan penulis berkongsi pengalaman dan ilmu berkaitan kehidupan sebulan lalu, agar sedikit sebanyak dapat diambil iktibar. Adapun untuk entri pada kali ini, sukalah penulis berkongsi ilmu barang sedikit berkaitan keperluan sebagai penuntut ilmu yang sempat penulis baca karangan Dr. 'Aidh bin Abdullah al-Qarni, dalam buku beliau "Aku, Buku dan Cinta". Dalam buku beliau ada mengatakan bahawa Imam al-Mawardi menukilkan dalam kitabnya yang berjudul Adab al-Dunya wa al-Din;

"Ketahuilah setiap sesuatu yang diinginkan pasti memiliki penggerak dan penggerak itu ada dua macam; hasrat dan rasa takut. Seseorang penuntut ilmu, harus memiliki hasrat dan rasa takut; hasrat untuk mendapatkan pahala daripada Allah bagi orang yang mengharapkan keredhaan dan menjaga perintah-Nya, dan rasa takut daripada hukuman Allah bagi orang yang meninggalkan perintah dan memandang remeh ancaman-Nya.

Ketika hasrat dan rasa takut itu bersatu, ia akan membawa kita kepada kewujudan ilmu dan hakikat zuhud, kerana hasrat adalah pendorong terkuat untuk belajar dan rasa takut adalah penyebab utama dalam berzuhud.

Orang bijak pernah berkata:

"Inti dari ilmu adalah hasrat keinginan. Buahnya adalah kebahagiaan dan inti daripada zuhud adalah rasa takut."

Ketika ilmu disertakan dengan zuhud, maka sempurnalah kebahagiaan seseorang manusia dan kemuliaan pun akan dia perolehi. Dan bila mana keduanya tercerai berai, maka alangkah celakanya nasib seseorang manusia. Keduanya akan merosak bila terpisah. Alangkah buruknya bila kita memiliki salah satunya sahaja."

Mudah-mudahan perkongsian yang sedikit ini mampu memberi kesan pada hati kita, melonjakkan rasa mahu, dan menggerakkan anggota kita untuk tindakan bagi memenuhi hasrat kita. Wallahu'alam.



p/s: Maka pastinya para pembaca tertanya-tanya mengapa gaya bahasa penulis ini, agak berlainan dari tulisan-tulisan penulis yang terdahulu. Adalah diceritakan bahawa gaya penulisan kali ini agak terpengaruh dengan bahan bacaan yang baru selesai penulis baca. Mungkin 0.0001% sahaja sama dengan gaya tulisan novel seorang penulis tersohor tanah air, Faisal Tehrani, karyanya “Ketupat Cinta”. Sungguhpun buku itu pada hakikatnya, sudah lama juga dalam simpanan penulis, iaitu sejak dibeli pada pesta buku yang lepas di PWTC Kuala Lumpur, sewaktu terserempak dengan Faisal Tehrani di pesta buku tersebut (29 Rabiul Akhir 1430H bersamaan 25 April 2009) sehinggalah novelis itu selamat bergelar suami. Sudah sekian lama, baru kini juga sempat penulis cermati tulisan beliau.

Sunday, August 30, 2009

MENUJU JALAN PULANG


SEBUAH BERITA

Baru beberapa hari umat Islam menjalani ibadah puasa, memasuki madrasah tarbiyah pada Ramadhan kali ini. Tahun ini penulis bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa bersama ibu dan keluarga di kampung, berbanding tahun-tahun sudah yang hanya berkesempatan sehari dua sahaja berpuasa bersama mereka. Sudah pastinya suasana berbeza dengan suasana kampus dahulu. Kalau di kampus, untuk hampir empat tahun syang lalu, pastinya penulis sibuk mengurus program bersama sahabat-sahabat untuk mengisi Ramadhan kepada warga kampus, juga keliling Kuala Lumpur, menunaikan ibadah sunat Tarawih di masjid-masjid, dan kadang kala berbuka puasa di sana bersama sahabat-sahabat seperjuangan.

Lain pula suasana di kampung, menyediakan juadah berbuka dan bersahur sendiri untuk keluarga.

Atuk saudara tiba-tiba muncul ketika penulis sedang mengemas rumah. Hati penulis berdebar-debar.

“Dari mana tuk busu? (panggilan kepada atuk saudara)” Tanya penulis sambil bersalaman.

“Dari ziarah orang meninggal. Tak ada orang maklumkan ke, mak long Lah kamu meninggal malam tadi. Baru lepas kebumi…”

Penulis menggeleng kepala, tanda tiada maklumat yang sampai kepada kami sekeluarga.

“Innalillahi wa innailaihi raajiuun…”

Lembaran diari lepas diselak kemas oleh minda penulis. Bermula dengan kepulangan penulis dari Oman beberapa bulan yang lalu, penulis disambut dengan pemergian isteri kepada atuk saudara di Muar,diikuti dengan suami arwah sebulan selepasnya. Kemudian, perginya jiran terdekat dengan penulis, juga berita-berita kematian mengejut daripada orang-orang yang terdekat dengan penulis.

“ Ya Allah, ramainya yang telah Engkau jemput pulang bertemu dengan-Mu, bila pula hamba-Mu ini ingin Kau jemput?”Penulis bermonolog sendirian.


TIKA CAHAYA MENYINAR


Di hujung kamar itu, di bawah samar-samar cahaya, dia merintih sendirian di atas sejadah cintanya. Butir-butir mutiara jernih jatuh berguguran bersama penyesalan atas sikap dan perilakunya pada hari-hari sebelumnya. Dia masih ingat, ketika dalam kembara dalam menuju negeri-Nya, dia terjelepuk di pertengahan jalan, dan disapa oleh seekor rama-rama yang indah. Rama-rama yang berwarna-warni yang menari riang di hadapannya begitu memukau dan mempesona, sehingga membawa dia ke satu daerah yang tidak pernah dia temui sebelum ini. Daerah yang dihiasi bunga-bungaan indah berkembang mekar dan mengharumkan, juga tumbuh-tumbuhan yang tumbuh subur menghijau sehingga membuatkan pemandangan tampak begitu indah. Sedang asyik menikmati keindahan alam, mentari yang bersinar mulai melabuhkan tirainya, dan tiada lagi cahaya yang menerangi daerah itu.

Dia mencari-cari jalan untuk keluar dari daerah itu, namun dia kebuntuan. Jalan yang dia lalui siang tadi, belum pun ditemui. Dia baru tersedar, rama-rama indah bersama taman yang mengasyikkan itu hanyalah nikmat dunia yang berjaya melalaikan dia dari tujuan asalnya, mengembara menuju negeri-Nya. Dia menangis, menyesali kesilapan dan kealpaannya. Dia sedar bahawa nikmat dunia itu telah berjaya melupakan dia pada Kekasihnya. Dia merintih sayu, memohon keampunan pada Tuhannya. Banyak kali dia beristighfar, dan memohon petunjuk dari Tuhannya. Dalam sujudnya, dia merayu dikembalikan pada jalan asalnya.

“Ya Allah, jangan Engkau biarkan aku terus dalam kesesatan dan kehinaan di sisi-Mu, maka ya Allah tunjukilah aku jalan yang lurus, kurniakan aku taufiq dan hidayah-Mu…”

Dalam esak tangis itu dia terlihat cahaya putih yang bersinar, seakan tersenyum padanya. Dia berjalan mengikut cahaya itu sehingga menemukan dia kembali pada jalan pertama yang dia lalui. Dia mengucapkan syukur pada Tuhannnya, dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Dia meneruskan perjalanannya seperti biasa dengan semangat yang baru dan lebih berhati-hati dalam mengecapi nikmat dunia di sepanjang perjalanan kembara ini.

Air mata taubat berlinangan membasahi pipi dan sejadah cintanya, biarlah dosa lalu yang menodai cintanya pada Tuhan berguguran. Dia perlu memugarkan kembali cinta dia pada Tuhannya, agar sepanjang kembara menuju negeri-Nya itu sentiasa mendapat lembayung rahmat dan kasih sayang Ilahi. Dia sedar dengan bekalan ilmu dan amal yang sedikit, belum cukup untuk sampai kepada negeri yang ditujunya. Langkahnya perlu diteruskan dan dia pasti perlu berusaha lagi. Dia menengadah ke langit dan menadah tangan memohon agar Tuhannya memberi kekuatan kepadanya untuk meneruskan perjalanan kembara ini, menunjukinya jalan kebenaran dan membalikkan kebatilan.

Kupancarkan karya indahku di ufuk-Nya,

Kusegerakan langkahku menuju negeri-Nya,

Indahnya pemandangan dan suasana malam

gembira, takkan pernah menggoyahhkan tekadku.

Kutinggalkan lembah cinta dengan hati yang berat.

Tapi, kuyakin kelak tidak lagi merasa kesepian dan penderitaan itu.

Kuseru nama Allah Yang Maha Mulia.

Kudakap segenap tulang rusukku kerana takut akan panggilan-Nya.

(Dr. ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni)

Hari esok pasti datang, namun nyawanya belum tentu panjang. Dia kembali tenggelam dalam asyik mengagung Tuhannya.

Tuesday, April 21, 2009

SALAM IMTIHAN


Salam imtihan buat semua sahabat-sahabat mahasiswa, moga diberikan kemudahan oleh Allah dalam menghadapi imtihan ini, juga dalam agama, hidup di dunia dan di akhirat. Mohon kemaafan atas segala kesilapan.

"Ya rabbi, yassir wala tu'assir....Aku mohon dari keampunan-Mu, dan berkatilah ilmu yang telah aku pelajari, berilah taufiq dan hidayah-Mu dalam urusanku ini, ya Allah. Hanya kepada-Mu aku menyembah dan hanya kepada-Mu aku mohon pertolongan..."

Wednesday, November 26, 2008

Satu Falsafah Kehidupan


Dengan perjuangan kita dilahirkan....

Di dalam gerak tangis kita mulai membuka mata,
Di dalam bedungan ibu
kita menggerakkan badan
melepaskan ikatan bedung,
Lepas dari asuhan ibu kita merangkak,
kita angsur tegak dan kita jatuh,
lalu kita tegak lagi dan jatuh lagi.
kemudian tegak untuk pergi berjuang
ke medan permainan,
lalu ke medan hidup,
lalu ke medan perjuangan dalam batin kita sendiri,
menegak yang baik dan melawan yang buruk.
Selama hidup kita kerjakan demikian,
menjalankan titah perintah Tuhan Yang Maha Esa.
Berapa pun yang dapat kita kerjakan,
harus kita syukuri.

Setiap hari dan masa kita
hitunglah laba dan rugi,
Sampai kelak datang panggilan,
Panggilan yang tidak dapat ditakkhirkan
walau satu saat dan
tidak dapat ditaqdimkan
walaupun satu saat
Panggilan yang tidak dapat dielakkan
oleh setiap yang bernyawa.

Maka terbukalah pintu kubur,
Maknanya pindahlah kita
dari hidup fana kepada hidup baqa
dari hidup dunia kepada hidup akhirat
Demikianlah kita menempuh hidup,
lahir; berjuang dan akhirnya mati.

Betapa juapun kita harus percaya
bahawa kebaikan juga yang menang
Sebab asal usul kejahatan kita bukan jahat
hanya baik semata.
Kalau kejahatan pernah menang
hanyalah lantaran dorongan nafsu
Bila nafsu telah reda
kebaikan jualah yang kita junjung.

Sebab itu hendaklah kita percaya penuh dengan iman
dan baik sangka kepada Tuhan
Itulah FALSAFAH HIDUP...

(dipetik dari rumusan buku, Falsafah Hidup, karangan Prof. Hamka)

Saturday, August 9, 2008

Its Time Begins


salam ramadhan karim buat sahabat-sahabat sekalaian..

terasa lama tak memncoret sesuaatu di ruangan ini. ucapan syukur tidak terhingga kepada Allah kerana diberikan kesempatan waktu untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadhan pada kali ini. pastinya Ramadhan kali ini membawa makna dan pengertian yang berbeza kerana usia yang meningkat dewasa dan pengalaman hidup yang ditempa selama hampir setahun berbanding pengalaman Ramadhan lepas. pastinya banyak cerita-cerita yang baru dikutip di pertengahan perjalanan hidup yang panjang ini. cerita-cerita yang mengajar erti hidup seorang hamba di hamparan bumi yang terbentang luas ini. terasa banyak lagi untuk dicore
tkan pada ruangan ini tapi masa amat mencemburui. banyak lagi kerja-kerja yang memerlukan komitmen diri.


sempena bulan mulia ini, jambangan doa buat diri kita semua semoga diberi kekuatan iman untuk menambah manisnya iman dalam diri, indahnya perjalanan mencari nur Ilahi, asyiknya dalam naungan cinta hakiki...moga-moga keredhaan-Nya bakal kita kecapi...


Banyakkan amal, tingkatkan taqwa moga beroleh cemerlang yang tiada taranya dunia dan akhirat..insyaAllah
semoga Allah memberi kesempatan waktu yang lain untuk menyampaikan sesuatu dalam ruangan ini. bab puasa pun belum habis berbicara..moga ketemu lagi dalam tulisan mendatang.

sekian..
salam Ramadhan...

Friday, July 4, 2008

Apakah Petanda Ini Ya Allah???

Penulis mencapai handset yang berirama di sisinya. Alunan ringtone membuat dia tersentak dan terjaga. Matanya terpana pada skrin handset. Tertera nama "Bapa Sedara" pada skrin handsetnya. 3 panggilan tidak berjawab. Hatinya berdegup kencang. Tidak pernah bapa sedaranya menelefon pada waktu-waktu begini. Sel-sel neuron di mindanya berputar ligat. Dia pantas menekan butang hijau menjawab panggilan itu. Dadanya makin berdegup kencang. Air matanya mula bergenang dan sukar diempang tatkala mendengar suara di hujung talian. Hatinya luruh.

"Mak dah meninggal..."

Suara yang hinggap ke gegendang telinganya dirasakan bagai halilintar. Handset di tangannya terjatuh ke lantai. Wajah ibunya terawang-awang di benak fikirannya. Ingatannya berputar pada seminggu lepas, tatkala dia sempat pulang menjenguk ibunya walaupun dalam kebutuhan waktu. Air matanya makin banyak membasahi pipi. Namun, dibiarkan sahaja mengalir tanpa dikesat.

Wajah ibu kembali dalam kotak ingatannya. Dia teringat akan kesempatan pulang ke rumah hari itu. Belum pernah ibunya meminta dia pulang ke rumah sepanjang perantauannya menimba ilmu. Berkesempatan makan tengah hari bersama ibunya menyebabkan dia tidak dilepaskan peluang untuk menatap wajah ibu yang kian dimamah usia yang sudah lama tidak ditatapnya. Mudah sungguh air matanya mengalir. Cepat-cepat dikesat dengan hujung lengan bajunya, risau kalau- kalau ibunya perasan. Sayunya melihat wajah yang banyak berkorban sepanjang hidupnya.

Imbauan sejarah Disember 1991, membuat hatinya bertambah sayu. Wajah tenang ibu itu yang menyambutnya ketika dia sampai bersama neneknya pada hari pemergian ayahnya. Kagum sungguh dia pada ibu sewaktu itu. Ketenangan mengiringi pemergian ayah. Sewaktu itu dia masih budak hingusan, yang belum mengerti erti kehidupan sebenar.

Tak tergambar ketabahan ibunya membesarkan dia bersama 2orang kakaknya yang juga sewaktu itu masih mentah lagi. Berbelas tahun memerah keringat membesarkan dia dan kakaknya seorang diri membuatkan dia meletakkan idola hidupnya pada suatu ketika dahulu adalah insan bernama ibu. dan sekarang ketiga-tiga anak ibunya berjaya ke menara gading berkat doa dan usahanya juga.

Lembaran-lembaran kenangan bersama ibunya diselak satu per satu dari dairi ingatannya. Air matanya meluncur deras. Dia menangis tanpa bicara. Kenangan 2hari terakhir bersama ibunya itu terus menjengah kotak ingatannya. Dia sempat solat berjemaah bersama ibu. Dia berdoa kepada Allah untuk kesejahteraan ibu, ayah, keluarga dan seluruh umat Islam dunia dan akhirat. Juga kesihatan yang baik untuk mendambakan kasih pada Allah sehari-hari baik dari segi fizikal mahupun mentalnya. Doanya diaminkan ibu. Syukur sungguh dia pada hari itu. Lalu, selesai solat dia bersalaman dengan ibu dan mengucup dahi ibunya penuh kasih sayang. jarang-jarang dia dapat lakukan sedemikian dan bukan senang diberi nikmat waktu untuk pulang menziarahi ibu.

Masih ingat lagi, tatkala bersalaman dengan ibunya sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Dia tergocoh-gocoh bersalaman dan mencium dahi ibunya kerana sudah terlambat untuk ke stesen bas. Dia hanya ada 10minit untuk menapak ke stesen yang tidak jauh dari rumahnya. Bimbang akan ketinggalan bas. Namun, dia sempat berpesan pada ibu untuk menjaga kesihatan dengan baik.

1 Julai hari itu adalah hari ulang tahun ibunya yang ke-60. Tapi dia tak berkesempatan mengucapkan selamat pada ibunya. hanya sempat berpesan kepada kakaknya yang sulung untuk menyampaikan salam ulang tahun buat ibunya tercinta.
membilang hari-hari yang akan diharunginya tanpa insan bernama ibu di sisi menambahkan kepiluan pada hatinya.

"Ya Allah, berilah kekuatan pada hamba ini untuk menghadapi ujian-Mu..amiin. Tetapkanlah hati hamba-Mu ini dengan musibah yang Engkau timpakan ke atas hamba-Mu ini agar hatinya sentiasa berpaut dan mengharapkan redha-Mu..." Dia berdoa dalam hati. Dipandang sekeliling yang masih gelap. Oh ya Allah, hamba-Mu ini hanya bermimpikah? Dia menekan butang pada handsetnya melihat peti panggilan yang masuk. Tiada panggilan baru yang masuk. Astaghfirullah...Dia mengucap panjang. Air matanya terasa hangat di pipi. Lalu dikesatnya. Dia mengucap lafaz syukur kerana itu hanyalah mimpi. Dia buka peti pesanan yang masuk. Dia baru menerima pesanan ringkas dari sahabatnya Nasirah.
" Slm.nenek sdara nas kat seksyen 17/2, baru je menggl kul 4 td. Alfatihah, semoga ruhnya dicucuri rahmat."
Innalillah....
Walaupun hanya mimpi namun perasaannya masih tidak menentu. Mimpi itu segar sungguh dalam ingatannya. Bila diceritakan kepada sahabat-sahabat serumahnya, ramai yang bersyukur kerana itu hanyalah mimpi. Ada juga sahabatnya yang berasa pelik kerana sejak kebelakangan ini dia sering kali menerima mimpi yang buruk. Walaupun dia tahu tiada keperluan untuk mempercayai mimpi-mimpinya, tapi tetap timbul persoalan pada dirinya. Apakah petanda ini ya Allah? Hanya kepada Allah dia memanjatkan doa dan berserah. Bersangka baik dengan Allah walau apa ujian yang Allah kurniakan kepada kita selaku hamba-Nya. Tak semua mimpi membawa petanda. Dia menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi. Hargai insan dan nikmat yang kita ada sebelum tibanya saat tiada.
Teringat pada bait kata-kata...
"Cintakan manusia, manusia kan mati..
Cintakan bunga, bungakan layu..
Cintalah Allah, cinta yang kekal hakiki..
Itulah cinta sejati...."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...